Ahad, 8 Ogos 2010

Perpaduan Melayu

Apabila mufti Perak menyarankan agar orang Melayu bersatu, timbul pertanyaan: Apakah orang Melayu tidak bersatu? Pertanyaan ini basi sebagaimana isu ini juga basi.

Saya rasa bosan apabila mendengar orang politik bercakap tentang bersatu, sedangkan kita tahu bahawa dirinya sendiri tidak amal nilai bersatu yang dilaungkan itu.  Sejak saya di sekolah rendah hingga ke universiti, dan kini sudah bekerja - isu bersatu inilah yang dijaja sehingga naik muak mendengarnya. 


Apakah kita akan bercakap lagi tentang perpaduan untuk jangka masa 20 atau 50 tahun akan datang?

Sebenarnya, orang Melayu telah lama bersatu. Tidak ada orang Melayu berbalah-cekah apabila mereka bertemu sesama Melayu. Baik di tempat kenduri, baik di dalam bas, di pusat beli-belah, di pantai mahupun di mana sahaja, tidak ada dikhabarkan mereka bergaduh apabila bertemu. 

Ahli PAS Kelantan tidak bergaduh apabila bertemu dengan ahli PAS Kedah, atau ahli PAS negeri-negeri lain. Demikian ahli UMNO Terengganu tidak bergaduh apabila bertemu dengan ahli UMNO Perak atau Johor. Demikian ahli Melayu Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak pernah bergaduh sesamanya. Mereka bertemu sesamanya atau antara parti dalam ikatan mesra kemelayuan dan agama.

Habis, atas alasan apa kita mengatakan orang Melayu tidak bersatu?

Orang Melayu PAS tidak pernah bergaduh apabila bertemu dengan orang Melayu UMNO atau orang Melayu PKR. Mereka menyertai apa sahaja aktiviti yang dianjur oleh kerajaan pusat dan kerajaan negeri mahupun badan suka rela. Tidak ada tercetus pergaduhan seperti apabila tentera terserempak dengan komunis atau polis terserempak dengan perompak.

Malah, apabila orang Melayu bertemu dengan orang Cina atau India pun mereka tidak bergaduh. Mereka telah lama menyahut seruan kerajaan agar hidup bersatu padu. 

Habis, siapakah yang tidak bersatu?

Pada pandangan saya, yang tidak bersatu ialah pemimpin politik. Pemimpin politik PAS barangkali tidak bersatu sesungguhnya. Pemimpin politik UMNO tidak bersatu sesamanya.  Kalangan pemimpin parti, mereka mengintai peluang untuk menjatuhkan rakan demi meningkatkan peluang diri dalam parti. Dan, pada pandangan saya, parti paling banyak pecah belah dan paling kuat tidak bersatu ialah parti UMNO. Dari parti UMNO lahirnya PAS, Parti Negara, Semangat 46, parti Keadilan dan sebagainya. Dari PAS lahir parti Berjasa. Walau bagaimanapun, tiada parti yang lahir daripada perut Parti Keadilan. Sebaliknya, Parti Keadilan berkhawin dengan Parti Sosialis (PRSM) pimpin Dr. Syed Hussin Ali.


Dalam sejarah, orang Melayu tidak berpecah disebabkan faktor agama, melainkan faktor politik.

Maka,  tidak salah kalau dikatakan bahawa ideologi politik yang menyebabkan orang Melayu tidak bersatu. Lebih-lebih lagi parti yang dikuasai oleh para borjouis dan korporat. Mereka tidak melihat bersatu sebagai sasaran perjuangan, sebaliknya perjuangan mereka lebih kepada nilai pulangan kepada diri dan keluarga. 

Adalah aneh, Malaysia yang dipimpin oleh orang Melayu, masih melaungkan motto perjuangan untuk memartabatkan orang Melayu. Setelah 52 tahun Malaysia dipimpin oleh orang Melayu, nasib orang Melayu masih perlu diperjuangkan. Nilai, ketuanan dan martabat Melayu juga kian rendah dan terhakis. Apakah yang dilakukan oleh pemimpin Melayu sepanjang meneraju kepimpinan hingga orang Melayu terbelakang dan terpaksa diperjuangkan hak kemelayuannya? 

Kehodohan imej orang Melayu Pulau Pinang misalnya, telah lama terpapar sejak tahun 1970-an lagi. Mereka dilabelkan ketinggalan, miskin dan tertindas. Soalnya, parti manakah yang berkuasa di Pulau Pinang hingga imej mereka demikian hodoh. Pada saya, penindasan terhadap orang Melayu yang dilakukan oleh DAP adalah melanjutkan aktiviti penindasan yang dirintis dan digerakkan oleh parti Gerakan. Parti Gerakan berada dalam Barisan Nasional. Barisan Nasional dipimpin oleh orang Melayu. Pemimpin Melayu Pulau Pinang hanya melihat sahaja terhadap penghakisan hak dan ketuanan Melayu Pulau Pinang. Mereka sedar kehilangan ketuanan dan mula bersuara setelah mereka tiada kuasa lagi dan Pulau Pinang dikuasai DAP. Sikap mereka terhadap DAP dan Gerakan seperti kuman di seberang lautan nampak, gajah di pelipis mata tidak nampak. Maka tidak salah kalau dikatakan bahawa pemimpin Melayu Pulau Pinang yang 'menjahanamkan' ketuanan orang Melayu di Pulau Pinang.

Apabila ada segelintir pemimpin Melayu Pulau Pinang yang bersuara agar  kuasa kepimpinan  dikembalikan kepada UMNO kerana majoriti DUN dimenangi parti UMNO (PRU 11), malangnya, mantan Perdana Menteri menafikannya dan mengekalkan Pulau Pinang dikuasai oleh Parti Gerakan. 
Pulau Pinang bandar baharu,
Kapten Light menjadi raja;
bila terkenang zaman dahulu,
pipi berlinang air mata.
Yang tidak bersatu ialah pemimpin dalam parti yang menyebabkan mereka kian hilang kuasa. Oleh sebab itu, mereka berusaha untuk mendapat / memulihkan kembali kuasa. Cara terbaik ialah melalui tipu daya mengatakan orang Melayu tidak bersatu agar orang Melayu berasa gerun dengan tipu daya itu.

Pada saya, istilah orang Melayu tidak bersatu itu lebih tepat menggambarkan sikap orang Melayu (terutama pemimpin) tidak bersatu memajukan orang Melayu dan kemelayuannya. Telah berapa banyak hak orang Melayu hilang dalam kuasa orang Melayu sendiri. Bukan sahaja nilai kemelayuannya hilang, malahan di bawah kuasa orang Melayu sendiri telah hilang pulau-pulau yang menjadi kedaulatan negara. Usaha membina tembok ke Singapura (dalam kawasan Malaysia) misalnya, terencat apabila pelan tersebut tidak diperkenan oleh kerajaan Singapura. Di manakah martabat dan kedaulatan pemimpin Melayu  (Malaysia) sehingga usaha pembangunan dalam negaranya terpaksa mendapatkan perkenan kerajaan asing Singapura? 

Di timur semenanjung pula, tanah-tanah milik orang Melayu dirampas songsang  oleh penguasa Melayu atas nama pembangunan diraja. Projek itu diberikan kepada bukan Melayu dan seterusnya dialihkan kepada bukan Melayu dari negeri-negara lain bermastautin untuk membesarkan tembolok dewata.


Saya tidak bersetuju dengan saranan mufti Perak agar PAS menyertai UMNO atau UMNO menyertai PAS, walaupun atas nama perpaduan. Jika PAS dan UMNO bersatu mewujudkan satu parti, ia nampak besar dari segi bilangan ahli, namun kecil dari segi kuasa dan kekuasaan. Hal ini kerana penambahan ahli atau pergabungan parti itu tidak menambahkan bilangan kerusi yang diperuntukan kepada UMNO. Katakan, peruntukan kerusi kepada UMNO kini ialah sebanyak 200. Pergabungan PAS dengan UMNO tidak akan mengubahkan bilangan kerusi itu menjadi 250 misalnya. Sedangkan, jika PAS dan UMNO berasingan, kemungkinan UMNO dapat kekal kerusinya 200 di parlimen dan PAS dapat menambahkan 100 kerusi di parlimen. Justeru, setidak-tidaknya, bilangan kerusi orang Melayu di parlimen sebanyak 300. 


Saya tidak percaya bahawa dengan pergabungan dua parti itu akan menambahkan peruntukan kerusi UMNO dalam Barisan Nasional. Parti PPP kini memohon penambahan kerusi belum lagi tertunai kerana masing-masing parti MIC dan MCA tidak mahu mengurangkan bilangan kerusinya. Jika kerajaan Barisan Nasional terpaksa memenuhi permintaan PPP, maka kerusi siapakah yang terpaksa dikorbankan? Ramai yang berkata, UMNOlah yang terpaksa berkorban. Justeru, di manakah nilai perpaduan dan pengabungan UMNO dengan PAS dapat memartabatkan dan menambahkan ketuanan orang Melayu?


Berdasarkan alasan di atas, saya berpendapat bahawa pandangan mufti Perak itu tidak perlu dilayan, baik oleh pemimpin Melayu UMNO mahupun pemimpin Melayu PAS.

Tiada ulasan: