Rabu, 21 April 2010

Wacana Ilmu Negeri Kelantan


MAJLIS Wacana Ilmu Negeri Kelantan 2010 akan diadakan di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Kota Bharu (IPGMKKB), Pengkalan Chepa, Kota Bharu, pada 25 April ini, jam 9 pagi.

Ketua Bahagian Teori dan Kritikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Mohamad Daud Mohamad, berkata wacana anjuran pihaknya dengan kerjasama IPGMKKB itu, akan membicarakan kumpulan puisi Umpama Mutiara karya Nawawi Mohamad; novel Rindu Berbisik (Indah Hairani) dan kumpulan cerpen Di Bawah Unggun Api (A Rahman CM).

“Pembicara pada wacana itu ialah Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (UM), Salleh Rahamad; Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Syed Mohd Zakir Syed Othman dan Pensyarah IPGMKKB, Maniyamin Ibrahim. “Kami mengharapkan ia dapat meningkatkan apresiasi sastera kebangsaan di kalangan masyarakat melalui penganjuran wacana ilmu berdasarkan teks sastera kreatif yang bermutu tinggi,” katanya pada satu kenyataan, baru-baru ini.

Mohamad Daud berkata, wacana ilmu itu juga diharap dapat meningkatkan kefahaman teori dan kritikan sastera melalui perbincangan karya sastera, sekali gus menghasilkan manuskrip yang menggabungkan hasil kajian berupa penerapan teori terhadap teks sastera dalam pelbagai genre untuk diterbitkan sebagai bahan bacaan dan rujukan.

Maklumat lanjut hubungi Pegawai Perancang Bahasa DBP, Mohd Jusoh Majid di talian 03-21482543 atau e-mel jusoh@dbp.gov.my.
Siaran: Berita Harian: 19 April 2010

Tiada ulasan: