Isnin, 26 April 2010

Surat Kepada Muhyiddin, 2

ASSALAMUALAIKUM WBT.
Saya tulis surat ini kerana saya tidak sibuk dan saya percaya tentu YAB juga tidak sibuk kerana kalau sibuk hingga memudaratkan kesihatan, adalah lebih baik kita berhenti daripada perjawatan kita ini dan mencari kerja yang tidak sibuk. namun begitu, mana ada kerja yang tidak sibuk dan membebankan. Orang yang kerja menggoyangkan kaki pun akan berkali-kali berhenti kerana goyang kaki tanpa henti juga menjadi bebanan dan sibuk.

YAB
Ramai rakyat yang takut menulis surat kepada sekalian YAB dan YB kerana bimbang YAB/YB bertindak hingga memudaratkan hidupnya. Saya kira sikap ini menghina YAB/YB kerana menghukum tanpa memberi peluang YAB/YB berkhidmat. Saya fikir YAB tidak sedemikian ini.

YAB
Sekarang heboh pasal sebilangan pensyarah di IPG yang 'dicicirkan' oleh pegawai yang bertanggungjawab di kementerian YAB - Kementerian Pelajaran Malaysia. Walaupun ini bukan salah YAB kerana YAB telah beri tanggungjawab kepada pihak berkenaan, namun tempiasnya tetap memercik menimpa YAB. Justeru, saya menulis surat ini kepada YAB walaupun saya sedar YAB tidak akan membacanya, apalagi memberi komen.

Tidak berkerjanya pegawai di kementerian YAB bagi menyelesaikan perjawatan sebilangan pensyarah di IPG sama seperti tidak berkerjanya pegawai yang ditugaskan menjaga blog YAB yang tidak dapat saya susuri kini. Tempiasnya tetap menimpa YAB.

Ada kecederungan masalah perjawatan sebilangan pensyarah IPG itu akan terbiar dan tergantung begitu sahaja. Saya berkata demikian kerana masalah berkenaan sepatutnya sudah lama diselesaikan.

Pihak kementerian melalui BPG hanya asyik meminta maklumat baharu pensyarah daripada KUKP di IPG tanpa ada tindakan lanjut. Ada juga cerita saling 'melepaskan dan mencuci tangan' antara BPG dengn IPG induk. BPG menyatakan urusan tersebut kini berada di bawah tanggungjawab IPG induk kerana IPG induk mula ditubuhkan dan akan beroperasi sepenuhnya tidak lama lagi. Bagi pihak IPG induk pula mendakwa bahawa mereka tiada kakitangan dan dokumen para pensyarah berkenaan kerana segala dokumen itu berada  di BPG dan diuruskan oleh BPG sebelum ini. Justeru, urusan itu perlu  diteruskan hingga selesai. 

Namun, dengan sikap IPG induk dan BPG itu, siapakah yang mahu menyelesaikannya?

Sebab itu saya mengatakan bahawa masalah ini ada kecederungan terbengkalai daripada penyelesaian, yang akhirnya akan memburukkan nama dan kredibiliti YAB sendiri.

Saya membaca aduan Pensyarah Teraniaya dalam akhbar Utusan Malaysia. Pada saya, memang masalah itu menganiayakan. Tindakan BPG seumpama 'haruan makan anak sendiri,' atau 'menyusu kera di hutan anak sendiri mati kelaparan.' 
Kita tahu BPG tidak ada 'susu' namun ibu bapa yang baik akan berusaha mencari 'susu' untuk semua anaknya, bukan memilih memberi 'susu' kepada anak yang tertentu sahaja.

YAB
Kita terlalu ramai orang yang pandai bercakap dan mahu bercakap, berinspirasi tinggi, namun kita amat sedikit orang yang mahu berkerja dan menjaga kredibiliti majikan, termasuk menterinya. Salah satu cara menjaga kredibiliti majikan dan menterinya ialah dengan cara berlaku adil terhadap anak dan kakitangan sendiri.

Sekian, terima kasih.


3 ulasan:

benuasuluk berkata...

YAB pencipta kamal alan nathan,

pecah kaca pecah gelas,
sudah baca harap balas.

Tanpa Nama berkata...

banyak berlaku kebobrokan dalam sistem di bpg. yang teraniayanya ialah pensyarah. buktinya:
1.balik jam 4.30 petang tanpa pekeliling yang jelas.
2.disuruh buat kerja pemantauan praktikum, kerja luar, mesyuarat,dll tanpa dibayar tuntutan perjalanan.
3. perjawatan yang dijanjikan sekadar memancing undi.
4. jabatan di ipg lebih kurang bilik guru di sekolah rendah sahaja.
5. persediaan mqa yang entah apa-apa.

NASSURY IBRAHIM berkata...

Benar. Semua zink rumah saya, masa di KL, sudah berkarat, namun 2 keping bahagian bawah saja yang rosak. Saya pun tukar 2 keping zink yang rosak itu dengan baru dan rumah saya bersinar-sinar cerahnya. Malangnya, 6 bulan kemudian, 2 keping zink yang bersinar-sinar itu jadi berkarat juga kerana kesan zink yang di atas.

Maka, sayapun tukar semuanya. Hasilnya, zink bersinar bertahun-tahun lamanya.

Untuk IPG bersinar seperti IPT, tunggulah sekurang-kurangnya 5 tahun lagi.