Sabtu, 3 Mac 2012

Bahasa Sapaan: Kata Ganti Diri Melayu

Bahasa Sapaan: Kata Ganti Diri dalam Konteks Budaya Melayu
Makalah Program Bahasa, Sastera dan Budaya anjuran Faculty of Liberal Arts, Prince of Songkla University, Thailand pada 28 – 31 Januari 2008 di Prince of Songkla University, Hat Yai.

Mukadimah

Bahasa sapaan dikenali juga dengan nama bahasa panggilan atau panggilan hormat. Ia merupakan sebahagian daripada aspek kesantunan berbahasa. Bahasa sapaan terdapat dalam semua masyarakat, baik masyarakat itu terdiri daripada etnik minoriti (kelompok orang asli misalnya) mahupun etnik majoriti di sesebuah negara. Walaupun terdapat perbezaan bentuk bahasa sapaan antara satu kelompok etnik dengan satu kelompok etnik lain, namun konsep asasnya tetap sama. Bahasa sapaan yang digunakan mesti menggambarkan kesantunan. Seorang adik tidak boleh memanggil abang dengan menggunakan bahasa sapaan yang sama dengan bahasa sapaan yang digunakan terhadap rakan-rakan. Demikian juga bahasa sapaan seseorang anak terhadap ibu, atau murid terhadap guru. Kegagalan menggunakan bahasa sapaan yang betul akan menjejaskan hubungan dan ikatan sosial mereka.

Hubungan Bahasa dengan Budaya Masyarakat

Hubungan bahasa dengan masyarakat adalah saling melengkapi. Bahasa memerlukan masyarakat untuk terus hidup dan masyarakat memerlukan bahasa untuk melicinkan urusan hidupnya. Tanpa pengguna, bahasa akan mati sebagaimana bahasa Sanskrit, atau nazak sebagaimana tulisan Jawi. Daripada hubungan timbal-balik (saling melengkapi) ini akan membentuk satu budaya. Orang Thai mengucapkan sawatdi kha / sawatdi khap  sambil menyusun kedua tapak tangan ke dada dan menundukkan kepala. Orang Melayu mengucapkan selamat datang / Assalamualaikum sambil menghulurkan tangan dan bersalam. Manakala orang Inggeris mengucapkan welcame  sambil mengangkat topi.


          Ucapan dan perlakuan sedemikian melambangkan sifat, kesantunan dan budaya yang diterima dan diamalkan dalam masyarakat berkenaan. Jika orang Melayu mengucapkan selamat datang atau assalamualaikum sambil angkat topi, bererti orang Melayu itu sudah hilang jiwa dan akar budaya Melayu. Dalam budaya Melayu tidak ada perlakuan angkat topi. Jika ramai orang Melayu berbuat demikian, alamatnya bahasa dan budaya Melayu akan mati. Hal ini disebabkan bahasa hanya hidup di bibir manusia. Bahasa Melayu hidup di bibir masyarakat Melayu. Demikian, bahasa Thai hidup di bibir masyarakat Thai.

          Hubungan timbal-balik bahasa dengan budaya pernah ditegaskan oleh Charlton Laird. Katanya, tanpa bahasa tidak akan ada bangsa, dan tanpa tulisan bangsa berkenaan tidak akan bertamadun. Pendapat Charlton Laird itu merupakan penegasan betapa penting bahasa, tulisan dan budaya bangsa. Pandangan ini juga mendedahkan bahawa peranan bahasa tidak sahaja sebagai alat komunikasi, malahan bahasa berupaya membentuk, merakam, menyampaikan fikiran, perasaan dan budaya bangsa.

Bangsa merupakan penutur dan sekali gus pendakwah bahasanya. Masyarakat dan institusi asing hanyalah sebagai pembantu. Ia bukan faktor utama yang menghidupkan bahasa. Bahasa Inggeris dan peradaban Inggeris-Amerika menjadi penting pada dekad sekarang kerana penggunanya berada di serata dunia. Apabila bahasa Inggeris berkembang dan turut digunakan oleh bangsa lain, maka kepentingan material dan nonmaterial yang berkaitan dengan bahasa dan budaya Inggeris juga turut berkembang. Justeru, novel-novel berbahasa Inggeris senang mendapat pasaran. Hal sebaliknya bagi novel-novel berbahasa Thai atau Melayu. Jikalau hendak dipasarkan juga, maka novel-novel itu mesti diterjemahkan ke bahasa Inggeris. Menterjemahkan bahasa bukan sekadar memindahkan makna perkataan, sebaliknya turut dipindahkan ialah budaya bangsa pemilik bahasa berkenaan.

Maksud Bahasa Sapaan?

Menurut Prasithrathsint dan Tingsbadh (1985) yang dipetikan oleh Sumalee Nimmanupap (1994) bahasa sapaan ialah penggunaan sesuatu perkataan yang merujuk pada orang yang disapa. Walaupun bahasa dicipta sewenang-wenang (arbitrari), namun bentuk sapaan atau panggilan yang digunakan tidak sewenang-wenang. Penggunaan kata sapaan adalah bergantung pada ikatan dan hubungan sosial penutur dengan pendengar. Manakala Sumalee Nimmanupap berpendapat bahasa sapaan atau panggilan adalah merujuk pada perkataan tertentu yang digunakan oleh seseorang kepada seseorang individu dalam komunikasi mereka. Pemilihan dan penggunaan kata sapaan bergantung pada hubungan sosial antara penutur dengan pendengar. Sumalee Nimmanupap membanding bahasa sapaan dalam masyarakat Thai dengan bahasa sapaan dalam masyarakat Melayu. Beliau mendapati bahasa sapaan masyarakat Thai dan Melayu mempunyai dua lapisan, iaitu lapisan atasan (istana) dan lapisan bawahan (rakyat). Setiap lapisan itu mempunyai kata sapaan yang berbeza.  

Amat Juhari Moin (1989: xiii) yang mengkaji sistem panggilan (bahasa sapaan) dalam bahasa Melayu mendapati sistem panggilannya lebih halus dan kompleks. Beliau mendapati sistem panggilan masyarakat Melayu membezakan golongan, pangkat dan keturunan orang yang disapa. Bagi S. Nathesan (2007), sistem panggilan merupakan cara sopan yang digunakan untuk bercakap atau menulis semasa merujuk kepada seseorang individu atau kumpulan ketika berkomunikasi.

Daripada pandangan di atas, dapat dirumuskan beberapa konsep penting berkenaan bahasa sapaan. Pertama, perkataan yang digunakan sebagai ganti nama diri seseorang atau kata-kata yang digunakan sebagai merujuk maklumat asal yang dimaksudkan. Kedua, perkataan yang digunakan itu menggambarkan kesantunan penutur. Kedua, bentuk perkataan yang digunakan itu bergantung pada faktor-faktor tertentu. Misalnya, faktor hubungan sosial penutur dengan pendengar. Justeru, maksud bahasa sapaan ialah kata-kata rujukan yang digunakan oleh penutur terhadap seseorang atau rujukan maklumat yang dimaksudkan dalam komunikasi mereka.

Kata Ganti Nama dan Kata Ganti Nama Diri

Berdasarkan maklumat di atas, yang dimaksudkan bahasa sapaan ialah penggunaan kata ganti nama bagi merujuk nama asal, sama ada ia merujuk kepada manusia, bukan manusia atau maklumat. Timbul pertanyaan, apakah maksud kata ganti nama? Bagi Liaw Yock Fang (1985) kata ganti nama ialah kata-kata yang menggantikan, menanyakan serta menunjukkan kata nama atau frasa nama dalam ayat. Abdullah Hassan (1993) pula menjelaskan kata ganti nama ialah perkataan yang digunakan untuk menggantikan nama orang, nama benda, nama tempat atau nama perkara. Contoh penggunaan kata ganti nama sebagaimana dalam ayat di bawah.

(1)  Ali ialah pelajar baharu di sekolah saya. Dia rajin membaca buku.

Kata ganti nama dalam ayat (1) ialah saya dan dia. Maksud dia ialah merujuk kepada diri Ali dan nama Ali. Nama Ali dalam ayat (1) telah digantikan dengan kata dia. Justeru, dia ialah kata-kata sapaan yang menggantikan nama Ali.

Terdapat beberapa jenis kata ganti nama, iaitu ganti nama diri, ganti nama tunjuk (Nik Safiah Karim et. Al. ((2004), ganti nama tanya (Asmah Haji Omar (1993), ganti nama umum, dan ganti nama hubungan / relatif (penentu) (Abdullah Hassan (1993) dan Arbak Othman (1989)). Dalam makalah ini hanya dibincangkan kata ganti nama diri sahaja.

C. A. Mees berpendapat kata ganti nama diri terbahagi kepada dua, iaitu kata ganti persona dan kata ganti mandiri. Yang dimaksudkan persona ialah penuturnya. Manakala dimaksudkan mandiri ialah kata ganti nama atau bukan nama yang merujuk kepada penutur. Dalam bahasa dan budaya Melayu terdapat tiga jenis kata ganti nama diri, iaitu kata ganti nama diri orang pertama, kata ganti nama diri orang kedua dan kata ganti nama diri orang ketiga.

Kata Ganti Nama Diri Orang Pertama

Kata ganti nama diri orang pertama ialah kata ganti nama yang digunakan penutur bagi menggantikan nama asal dirinya ketika bercakap dengan seseorang. Terdapat dua kategori kata ganti diri orang pertama, iaitu kata ganti nama diri orang pertama tunggal dan kata ganti nama diri orang pertama jamak. Kata ganti nama diri orang pertama tunggal ialah ‘aku,’ ‘saya,’ ‘beta’ dan ‘patik.’ Manakala, kata ganti nama diri orang pertama jamak (ramai) ialah ‘kami’ dan ‘kita.’

(a)Aku

Digunakan oleh seseorang ketika berkomunikasi dengan rakan. Lazimnya, mereka mempunyai hubungan rapat, akrab, sedarjat dan mesra. Kata ganti nama diri aku tidak boleh digunakan apabila berkomunikasi dengan orang lebih tinggi statusnya. Contoh ayat.

(2)  Aku sokong cadangan engkau.

Kata ganti diri aku juga digunakan ketika seseorang berdoa kepada Tuhan. Ia sebagai tanda simbolik hubungan mesra atau erat antara penutur dengan Tuhan. Contoh ayat.

(3)  Ya Allah, aku mohon perlindungan daripada Engkau.

(b)        Saya / Hamba

Digunakan apabila seseorang bercakap dengan orang yang baharu dikenali, orang yang lebih tua, orang yang tinggi status sosial, orang yang dihormati, dan ketika dalam majlis rasmi. Kata ganti nama diri hamba (bermaksud saya) digunakan oleh masyarakat Melayu tradisional, tetapi tidak digunakan lagi pada zaman moden. Contoh ayat.

(4)  Saya bersetuju dengan cadangan awak.

(5)  Hamba bersetuju dengan cadangan tuan hamba.

(c) Beta

Digunakan oleh raja (sultan) dan ahli keluarga raja seperti Permaisuri, Tengku Mahkota, Raja Muda dan sebagainya ketika bertitah kepada rakyat atau rakan-rakan baginda. Contoh ayat.

(6)  Beta rasa bangga melihat rakyat hidup bahagia.
 

(d)        Patik

Digunakan oleh rakyat ketika bercakap dengan raja (sultan), atau ahli keluarga raja (sultan) yang memerintah. Contoh ayat.

(7)  Patik mohon perkenan ke bawah Duli Tuanku.

(e)Kami

Kata ganti nama diri bagi ahli kumpulan. Ia digunakan oleh penutur yang mewakili ahli kumpulan mereka ketika bercakap dengan seseorang / sekumpulan orang. Misalnya, kata ganti diri seorang mahasiswa yang mewakili mahasiswa lain ketika bercakap dengan seorang profesor, atau beberapa orang profesor. Contoh ayat.


(8)  Kami tidak bersetuju dengan cadangan profesor itu.



(f) Kita

Kata ganti nama diri bagi ahli kumpulan. Ia digunakan oleh penutur ketika bercakap dengan ahli kumpulan mereka sendiri. Penutur merupakan salah seorang ahli dalam kumpulan berkenaan. Contoh ayat.

(9)            Adakah kita bersetuju dengan cadangan profesor itu?
 

Kata Ganti Nama Diri Orang Kedua

Kata ganti nama diri orang kedua ialah kata ganti nama yang digunakan oleh penutur (orang pertama) bagi menggantikan nama asal pendengar (orang kedua).   
 

(a)Anda

Digunakan oleh penutur terhadap seseorang (pendengar) yang baharu dikenali, atau dalam majlis rasmi, atau pendengar yang lebih rendah statusnya. Lazimnya, tujuan penggunaan adalah untuk mewujudkan kemesraan. Contoh ayat.

(10)         Siapakah nama anda?

 (b)        Awak / tuan hamba

Digunakan oleh penutur terhadap seseorang atau ketika dalam majlis rasmi,  orang yang sama status, orang yang lebih rendah status daripadanya, sama ada orang itu baharu dikenali atau sudah lama dikenali, tetapi tidak mesra. Kata ganti nama tuan hamba digunakan oleh masyarakat Melayu tradisional, tetapi sekarang tidak digunakan lagi. Contoh ayat.

(11)    Adakah awak bersetuju dengan cadangan saya?

(12)    Adakah tuan hamba bersetuju dengan cadangan hamba?


(c) Engkau

Digunakan oleh penutur terhadap seseorang yang sudah lama dikenali dan mempunyai hubungan mesra dengannya, atau sama status, dan dalam suasana tidak rasmi. Contoh ayat.

(13)    Hadiah ini untuk engkau.


(d)        Encik / Tuan / Puan / Cik

Digunakan oleh penutur pertama terhadap seseorang yang sama status atau orang yang lebih tinggi statusnya, sama ada baharu dikenali atau sudah lama dikenali. Panggilan encik dan tuan digunakan terhadap kaum lelaki. Panggilan tuan digunakan terhadap lelaki yang lebih tua atau yang berjawatan lebih tinggi daripada penutur. Panggilan puan digunakan terhadap wanita yang sudah berkahwin, manakala panggilan cik digunakan terhadap wanita muda dan belum berkahwin. Contoh ayat.

(14)    Bilakah encik / tuan / puan / cik datang?



(e)Tuanku

Kata ganti nama untuk raja (sultan) dan ahli keluarga raja yang memerintah. Ia digunakan oleh rakyat ketika berkomunikasi dengan raja (sultan) atau ahli keluarganya. Contoh ayat.


(15)    Hamba sekalian amat menyayangi tuanku.



(f) Kamu

Kata ganti nama diri untuk kumpulan yang dilawan bercakap, sama ada dalam situasi rasmi atau tidak rasmi. Ia sesuai digunakan oleh orang dewasa ketika bercakap dengan orang yang sama umur atau orang yang lebih muda daripadanya. Contoh ayat.

(16)    Kamu hantar hasil tugasan itu esok.
 

Kata Ganti Nama Diri Orang Ketiga

Ia digunakan apabila penutur (orang pertama) bercakap dengan seseorang (orang kedua) tentang orang yang tiada di hadapannya (orang ketiga). Kata ganti nama diri orang ketiga terdiri daripada ‘dia.’ ‘beliau,’ ‘mereka’ dan ‘baginda.’
 

(a)Dia

Boleh digunakan secara umum sama ada bagi lelaki atau perempuan, kecuali raja dan ahli keluaraga raja dan tokoh masyarakat. Contoh ayat.
 

(17)    Dia pandai sebab dia rajin belajar.

(18)    Orang itu ditangkap selepas dia mencuri.



(b)        Beliau

Digunakan untuk merujuk kepada orang yang dihormati atau tokoh masyarakat, baik dalam situasi rasmi mahupun dalam situasi tidak rasmi. Contoh ayat.


(19)    Thaksin akan diraikan apabila beliau pulang nanti.
 

(c) Mereka

Digunakan sebagai merujuk kepada semua ahli kumpulan yang diperkatakan (orang ketiga). Atau, digunakan sebagai merujuk kepada sekumpulan manusia yang diperkatakan. Mereka tiada di hadapan ketika penutur bercakap. Contoh ayat.


(20)    Lima orang penunjuk perasaan ditangkap. Mereka akan 

didakwa esok.



(d)        Baginda

Digunakan untuk merujuk kepada raja (sultan), ahli keluarga raja, sama ada dalam situasi rami atau situasi tidak rasmi. Contoh ayat.


(21)    Baginda akan berangkat esok.
 

Kepentingan Bahasa Sapaan

Kepentingan bahasa sapaan dapat difahami apabila kita menganalisis dan menghayati bahasa itu sendiri. Dalam bahasa Melayu misalnya, terdapat kalimat yang berbunyi, bahasa jiwa bangsa dan bahasa menunjukkan bangsa. Kedua-dua kalimat itu menunjukkan kepentingan dan kesan penggunaan bahasa terhadap bangsa.  Dikatakan bahawa melalui bahasa kita dapat mengenali jiwa (akal budi) seseorang, dan melalui bahasa juga kita dapat mengenali bangsa seseorang. Dalam bahasa Inggeris, ganti nama i dan you digunakan untuk golongan atasan, golongan bawahan dan golongan yang setaraf dengan penutur. Hal ini tidak demikian dalam masyarakat Melayu dan Thai. Setiap golongan itu mempunyai kata ganti nama diri masing-masing.

Kedua, penggunaan kata ganti nama yang betul dapat membina personaliti dan kesopanan diri seseorang. Penutur dianggap tahu berbahasa (menggunakan bahasa yang betul) dan tahu adat (sopan) ketika bergaul. Orang yang tahu berbahasa dan tahu adat dianggap sebagai orang yang sopan dan berbudi pekerti mulia. Masyarakat Melayu memandang tinggi orang yang sopan dan berbudi pekerti mulia.

Ketiga, penggunaan bahasa sapaan dapat mencerminkan serta-merta tentang kehalusan budi bahasa, tingkah laku, perasaan dan niat seseorang. Orang yang berada dalam perasaan marah misalnya, akan menggunakan ragam bahasa kasar dan biadap, dan menggunakan kata ganti diri tidak hormat. Misalnya, menggunakan kata ganti diri aku  atau awak  pada tempat  kata ganti diri saya atau tuan.

Keempat, berkaitan dengan kepentingan ketiga, bahasa sapaan dapat menunjukkan rasa hormat penutur kepada tetamu atau orang yang diperkatakan, dan status sosialnya. Contohnya, kata ganti nama tuan dalam pantun di bawah adalah merujuk kepada orang yang dihormati. Tuan diumpamakan dengan permata intan, hingga cahaya tuan itu dapat ditumpangi oleh orang lain.

Kain songket panjang sembilan,

     Panjang beserta kepalanya;

Tuan umpama permata intan,

     Saya menumpang cahayanya.



Kelima, bahasa sapaan dapat membina dan mengeratkan hubungan baik hubungan pertalian darah, perkahwinan mahupun persahabatan seseorang.

Keenam, bahasa sapaan dapat menunjukkan bangsa, jantina, status sosial, struktur masyarakat, pemikiran dan kualiti diri seseorang, dan sebagainya.

Ketujuh, penggunaan bahasa sapaan yang berbeza-beza juga menunjukkan masyarakat berkenaan mempunyai sistem sosial dan organisasi pentadbiran yang mantap. Mereka faham rahsia Tuhan mencipta manusia dan hierarki kehidupan manusia itu sendiri. Justeru, mereka membina bahasa sapaan mengikut hierarki manusia dan status manusia dengan Tuhan. Melalui bahasa sapaan yang dikhaskan kepada setiap lapisan masyarakat, pendengar dapat memahami bahawa masyarakat berkenaan mempunyai struktur sosial yang perlu dihormati.

Penutup                                                                      

Berdasarkan maklumat dan keterangan di atas, kita dapat memahami bahawa setiap lapisan masyarakat mempunyai kata-kata sapaan tersendiri. Kesilapan menggunakannya pada tempat yang sesuai akan memberi gambaran yang bertentangan dengan gambaran sepatutnya. Selain itu, ia juga menggambarkan ketinggian tamadun sesuatu bangsa. Tentunya, bangsa yang bertamadun ialah bangsa yang mempunyai bahasa sendiri dan memanfaatkan bahasanya itu bagi membina masyarakat / generasi yang berkualiti. Apabila masyarakat berkualiti, maka akan berkualiti bangsa dan negaranya. Sekian.
 

Rujukan

Abdullah Hassan, 1993. Tatabahasa Pedagogi Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributor Sdn. Bhd.

Arbak Othman, 1989. Nahu Bahasa Melayu. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti sdn. Bhd.

Amat Juhari Moain, 1989. Sistem Panggilan dalam Bahasa Melayu Suatu Analisis sosiolinguistik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Asmah Haji Omar, 2004. Bahasa Diraja. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Asmah Haji Omar, 2005. Alam dan Penyebaran Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Sariyan, 2004. Tuntunan Bahasa. Kuala Lumpur: Pearson Malaysia Sdn. Bhd.

Liaw Yock Fang, 1985. Nahu Melayu Moden. Singapura: Pustaka Nasional.

Mees, C.A., 1969. Tatabahasa dan Tatakalimat. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Noriati A. Rashid, 2005. Kesantunan Orang Melayu Dalam Majlis Pertunangan. Tanjong Malim: Penernit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Sumalee Nimmanupap, 1994. Sistem Panggilan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Thai. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tiada ulasan: