Sabtu, 20 Mac 2010

Lidah


Menurut sumber yang boleh dipercayai, telah dikhabarkan oleh Para Pakar bahawa menyebut 'PPSMI' berulang kali  itu bukan ubat  melembut lidah anak-anak bercakap bahasa Inggeris. Namun, Para Bapa, Para Ibu, Para Menteri dan Pengarah Celik Huruf tetap mempertahankannya.

“Mana boleh tidak! Inilah penawar yang kita jumpai,” jerkah Pengarah Celik Huruf kepada wartawan dalam sidang akhbarnya.

Dikhabarkan juga bahawa sebarang usaha mempertahankannya dianggap bebal dan membebalkan.  Namun, Para Bapa, Para Ibu, Para Menteri dan Pengarah Celik Huruf mempertahankannya. Malah, mereka memaksa sesiapa sahaja menyebut “PPSMI, PPSMI, PPSMI” berulang kali di mana-mana sahaja.

 “Inilah ubat paling mujarab bagi melembutkan lidah,” tegas  Pengarah Celik Huruf.

Kata-kata Pengarah Celik Huruf itu akan lebih nyaring jika ada Menteri Perdana di hadapannya. Dia mengucapkannya dengan suara bergetar sambil mata menjeling ke arah Menteri Perdana.

“Mengucapkannya dianggap berhikmah kerana ternyata telah beberapa orang memperoleh faedah daripadanya,” bersungguh Pengarah Celik Huruf mengiyakannya.

Menurut Para Meja Bulat, telah dua orang Pengarah Celik Huruf memperoleh usia lanjut dari ucapan itu. Khabarnya,  Che Mat Rafik memperoleh usia lanjut hasil ucapannya berkali-kali saat ia diambang kematian. Kini, Che Mat Rafik kembali bernyawa seperti sebelum saat sampai usia nazaknya.

Peristiwa menimpa Che Mat Rafik berulang pada Che Mat Siput. Dia juga memperoleh usia lanjut saat mengucapkan “PPSMI, PPSMI, PPSMI” saat di ambang nazak. Dia juga kembali sihat tiba-tiba. Kini, Che Mat Siput bergembira mengelilingi dunia.

Teruja dengan nasib menimpa Che Mat Rafik dan Che Mat Siput, maka Che Mat Doom pun ikut mengucapkannya tidak henti-henti. Tidak cukup ucapan, Che Mat Doom menulis kata-kata PPSMI, PPSMI, PPSMI di serata penjuru bilik dan khabarnya sedang menempah baju batik khusus bercorak PPSMI.

“Latahnya pun menyebut PPSMI,” kata sumber yang rapat dengannya.

Dan, sejak itu juga, Para Bapa dan Para Ibu, Para Menteri dan Pengarah Celik Huruf di Negara Mamakadiaq tidak henti-henti mengucapkannya kerana mereka tidak tahu bilakah saat di ambang kematian menjelang. Mereka percaya menjelang saat kematian nanti akan datang hikmah secara tiba-tiba, berkat menyebut 'PPSMI' berulang kali.

“Hikmah memanjangkan usia dengan segala nikmat kehikmahannya,” begitu bersungguh mereka sepakat mengatakannya.

Kini, ungkapan itu dipaksa pula kepada Para Pencari Celik Huruf. Sesiapa yang engkar mengucapkannya akan dipotong lidah. Maka ramailah Para Pencari Celik Huruf dipotong lidahnya kerana engkar menurut perintah.

“Inilah penderhaka bangsa dan negara!” tiba-tiba menjerit salah seorang Pencari Celik Huruf dalam satu Perhimpunan Rapat Setia, anjuran Kementerian Celik Huruf.

Budak itu lantas diarahkan polis menangkapnya.

“Inilah penderhaka bangsa dan negara!” tiba-tiba menjerit pula yang lain dan disambut oleh kawan-kawanya, dan kawan-kawannya, dan kawan-kawannya, dan ....

Tanpa berlenggah, lidah budak-budak, dan budak-budak, dan budak-budak  itupun terus dipotong. Dipotong dan dipotong sehingga habis semua lidah budak-budak di Negara Mamakadiaq dipotong.

Kini, semua rakyat di Negara Mamakadiaq tidak boleh berkata-kata. Kalau anda ingin melawat negaranya, eloklah anda belajar bahasa jari

Pengkalan Chepa, 5 Mei 2009

Tiada ulasan: