Ahad, 22 Mac 2009

Isu PPSMI


Atas nama bangsa Melayu dan agama Islam, saya menyokong idealisme GMP dan Gapena mendesak kerajaan memansuhkan PPSMI. Hal ini kerana nawaitu pelaksanaan PPSMI tersalah subjek dan ia boleh membinasakan generasi, identiti dan kemajuan bangsa Melayu dalam jangka panjang. Malah, berdasarkan janji Ketua Pengarah Pendidikan (laporan akhbar dalam gambar di sebelah), ia menjurus kepada pembohongan. Satu gejala negatif yang tidak sepatutnya datang dari Kementerian Pelajaran.

Dan, lebih-lebih lagi, lihatlah nasib yang terjadi pada tulisan Jawi dan kepandaian generasi Islam Malaysia membaca al-Qur'an gara-gara 'pemansuhan' pembelajaran tulisan Jawi di sekolah bermula awal tahun 1970-an. Baru 20 tahun sahaja sudah dirasai orang Melayu tidak pandai membaca tulisan Jawi dan al-Qur'an sehingga akhbar bertulisan Jawi jadi nazak dan kerajaan terpaksa memperkenalkan program J-Qaf (guru J-Qaf) untuk mengajar Jawi, bahasa Arab dan al-Qur'an di sekolah. Kalau PKM menjadi musuh negara, PPSMI pula menjadi musuh dan sekali gus bakal membunuh bangsa Melayu. Pendokongnya boleh dianggap sebagai penjenayah bangsa.

Saya yakin PPSMI telah dijadikan strategi politik. Ia bakal dimansuhkan. Abdullah tidak mampu memansuhkannya kerana beliau merupakan penidur tegar. Hisamudin tidak mampu memansuhkannya kerana kerisnya tidak pernah berasap. Orang yang akan memansuhkannya ialah Najib. Reaksi terhadap pemansuhan itu, Umno akan anggap beliau sebagai pejuang bahasa Melayu, sirih pulang ke ganggang dan menyambung perjuangan ayahnya, Tun Abdul Razak. HIDUP NAJIB!

Sekitar tahun 1996, orang bersangka Najib akan memusnahkan bahasa Melayu melalui kuasa menteri dalam Akta Pendidikan 1996. Rupa-rupanya beliau ‘kambing hitam’ oleh mantan PM apabila menggunakan peluang yang ada memperkenal dan melaksanakan PPSMI, malah menyingkir hak dan impian Najib untuk jadi TPM dan PM. Namun kini, menyedari Najib bakal jadi PM, beliau cepat-cepat menyokong Najib jadi PM. AWAS! INI SIKAP SI KITOR YANG MENANGGUK DI AIR KERUH.

Walau bagaimanapun, Najib (dan Umno/BN) tetap tercatat sebagai perosak, peminggir dan pemusnah bahasa Melayu dalam budaya ilmu di IPT, jika beliau tidak berusaha membaikinya. Apapun, rakyat sangat berharap DS Najib tidak terjadi boneka kepada mantan PM atau sesiapa sahaja dan mendaulatkan bahasa Melayu. Jadilah diri Najib yang sebenar, Melayu yang sebenar, Islam yang sebenar dan pemimpin yang sebenar.


MANSUHKAN PPSMI


Tiada ulasan: