Selasa, 26 Julai 2016
Rabu, 1 Jun 2016
Selasa, 5 Januari 2016
Rabu, 2 Disember 2015
Khamis, 5 November 2015
Khamis, 9 Julai 2015
Selasa, 7 Julai 2015
Isnin, 6 Julai 2015
Sabtu, 4 Julai 2015
Selasa, 26 Mei 2015
Selasa, 19 Mei 2015
Proses Menulis
Menulis sajak tidak susah. Asalkan datang idea, atau terjumpa idea, atau ada maklumat yang hendak disampaikan.
Catatlah idea atau maklumat itu. Tentulah idea atau maklumat itu tidak lengkap. Setelah idea atau maklumat itu dicatat, maka barulah bermula kesukaran mematangkannya. Perlu ditokok, dipotong, diubah dan sebagainya.
Semuanya itu dinamakan proses.
Proses mematangkan sajak memerlukan kesabaran dan tumpuan sedaya mampu, hingga kita terasa puas. Rasa puas pada hari ini belum tentu kekal pada keesokannya, atau pada beberapa tahun akan datang.
Selagi timbul ketidakpuasan itu, selagi itulah kita membaikinya, walaupun karya itu telah diterbitkan. Yang penting, kita jangan berasa bosan.
Sajak ini adalah kesan setelah membaca buku Mek Mulung terbitan ITBM, 2014.
Jumaat, 15 Mei 2015
Rahimidin Zahari
Saya mengenali Rahimidin Zahari semasa tinggal di Kelantan, sekitar pertengahan 1980-an. Beliau
sering bersama Salleh Yacob. Malah, menubuhkan dan aktif dalam Teater
Saadong bersama-sama Salleh Yacob. Beliau sering hadir acara kami anjurkan (PUSPA) dan saya juga hadir acara Teater Saadong. Pada saya, beliau merupakan saham
besar dalam pasaran kesusasteraan Melayu Malaysia, khususnya genre
puisi. Seorang yang mencari guru dan ilmu untuk berkarya, bukannya seorang yang dicari
agar berkarya. Saya masih ingat, beliau mencari Dr Lim Swee Tin untuk
membedah karyanya. Beliau pernah tunjuk sajak Batu-Batu di Laman
kepada saya dan saya anggap sajak itu bagus, malah ternyata bagus
kerana sajak itu memenangi satu pertandingan. Saya fikir beliau ingin mencipta
rekod sebagai pengarang termuda menghasilkan buku dan dikenali, sebagaimana Chairil Anwar mencipta rekod dalam usia muda. Ternyata, beliau benar-benar menyusur rekod Chairil Anwar apabila beliau meninggal pada 14. 05. 15 (Khamis) pada jam 4 petang dan dikebumikan di kampung halaman (Kg Benchah Keranji, Kelantan) pada 15. 05. 15 (Jumaat) jam 10 pagi. Sebagai sahabat saya hanya mampu berdoa (sajak di bawah), namun ternyata Allah lebih menyayangi beliau. Damailah engkau di sana, wahai sahabat yang kerap menghadiahi buku kepada saya. Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa, ampunilah dosa-dosa beliau dan tempatkan rohnya dalam kalangan orang-orang soleh.
DOA BUAT DIA
Tuhanku,
aku berseru
dengan
tangan kuasa-Mu
Engkau
kembalikan sihat
subur
di tubuh sahabatku,
Engkau
kembalikan riang
mekar
di pipi sahabatku,
Engkau
kembalikan rasa
wangi
di waris sahabatku,
kerana
Engkau Tuhan
aku
berseru
Engkau
kembalikan dia
membaja
takwa di ladang jiwa
membaja
kata di kebun puisi.
NASSURY
IBRAHIM
8
MEI 2015
Khamis, 23 April 2015
Rabu, 25 Februari 2015
Selasa, 24 Februari 2015
Isnin, 23 Februari 2015
Rabu, 11 Februari 2015
Selasa, 3 Februari 2015
Hormat
Sebelum datang, tabik dengan tangan
setelah datang, tabik dengan kaki.
Maksudnya,
Dari sisi luar kita menghormatinya kerana diuar-uarkan kehebatannya, namun setelah kita berada di dalam atau bersama-sama, kita hilang rasa hormat kerana sikap atau kehebatannya tidak seperti disangkakan atau diuar-uarkan.
Rabu, 17 Disember 2014
Dunia Kemala dalam Timbang Terima dan Meditasi
Buku Dunia Kemala dalam Timbang Terima dan Meditasi ini merupakan latihan ilmiah untuk memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera Kamaruzzaman Abdul Kadir (Dharmawijaya) di Universiti Malaya pada tahun 1975. Pada saya buku setelah 147 halaman ini masih relevan, khususnya untuk melihat kepengarangan Kemala dalam dua buah kumpulan sajak - Timbang Terima, dan Meditasi. Apalagi, Kemala sendiri telah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara. Saya mengambil buku ini di tempat koleksi sampah hendak dibuang oleh pekerja Jabatan Pengajian Melayu. Mungkin, asalnya kepunyaan Allahyarham Abdullah Tahir. Ada tandatangan dan catatan, "Ikhlas untuk bacaan abang."
Isnin, 8 Disember 2014
Rabu, 19 November 2014
Kata Penghantar KS Kuntuman Cinta
Cinta tidak lahir daripada Hawa. Cinta lahir daripada
Adam. Lebih tepat lagi, rasa cinta lahir daripada rasa sepi Adam. Sepi kerana
hanya Adam yang keseorangan. Tiada teman bicara. Tiada teman berkongsi
perasaan. Pada Malaikat tidak dapat berkongsi perasaan kerana Malaikat tidak ada
perasaan. Pada pokok, pada sungai, pada api atau angin tidak dapat dikongsi
perasaan kerana semuanya berada dalam alam masing-masing. Alam yang sama sekali
berbeza dengan alam Adam. Hanya Adam yang tidak ada pasangan. Sedangkan, semua
makhluk lain berpasang-pasangan. Dan, dapat berkongsi perasaan. Kerana Adam
berasa sepi, maka Adam bermohon agar Tuhan mencipta pasangan untuknya.
Permohonan itu diperkenan oleh Tuhan. Maka bermulalah bibit pertama rasa cinta
manusia terhadap manusia.
Isnin, 3 November 2014
6 Mutiara Fikir SN Dr. Muhammad Haji Salleh
Yang berikut merupakan mutiara kata
Sasterawan Negara Dr. Muhammad Haji Salleh yang diucapkan dalam
syarahannya di Sidang Kemuncak Penulis Malaysia pada 24 - 26 Oktober
2014 di Darulaman Golf & Country Resort, Jitra, anjuran ITBM, PENA.
- Kita sudah maju ke depan tetapi meninggalkan maklumat di belakang,
- Adakah penggubal kurikulum sastera Melayu tahu tentang sastera?
- Sastera besar tidak semesti datang daripada negara besar,
- Saya ingin melihat karya yang lebih banyak detail, yang meletakkan dunia dan pengalaman di bawah mikroskop yang sangat besar,
- Sastera ialah karya yang memberi pengajaran,
- Kritikan ialah sayap sastera yang patah, dipatahkan oleh gasang dan tidak berbudi bahasa.
Rabu, 29 Oktober 2014
Mutiara Fikir Prof. Tan Sri Dato' Dr. Dzulkifli Abdul Razak
![]() |
| Prof. Tan Sri Dato' Dr. Dzulkifli Abdul Razak |
- Dalam sains ada sastera, dalam sastera ada sains.
- kalau kita anggap sains terpisah daripada sastera, itu kerugian yang banyak. Oleh itu, perlu dibawa balik nilai sastera dalam sains.
- Kita harus membina generasi bermula dengan maruah. Jika tiada maruah kita akan rosak.
- Apa sebab kita harus mempertahankan Melayu di dunia?
- Kalau satu minit kita terlambat, orang lain sudah berada 10 minit di hadapan kita.
Mutiara kata ini saya petik ketika beliau menyampaikan syarahannya dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia, pada 26 Oktober 2014 di Darulaman Golf & Country Resort, Jitra, Kedah.
Isnin, 21 April 2014
Sejarah
Terima kasih kepada editor akhbar BH yang memilih sajak ini untuk disiarkan pada 20 April 2014.
Antara bidang kepakaran awal saya dalam bidang keguruan dan dikurniai Sijil Perguruan Asas ialah PSM: Sejarah/Pendidikan Seni.
Sajak ini merupakan kesan keilmuan daripada segala macam (segala macam - laras bahasa lisan Tan Seri Ismail Hussein) ilmu sejarah yang saya pelajari semasa belajar di Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) 1987 - 1989.
Rabu, 2 April 2014
Kehilangan Sasterawan

Akhir Mac 2014 Malaysia kehilangan sasterawan dari Perlis Indera kayangan, Tuan Haji Nahmar Jamil dan disusuri oleh Prof. Dr Sahlan Mohd Saman, seorang sarjana dan ahli akademik. Saya tidak mengenali mereka berdua secara dekat, namun sebagai peminat dalam genre yang sama, kehilangan mereka adalah cukup terasa. Nahmar menulis sajak, cerpen, novel, esei dan menterjemah karya-karya khususnya dari Timur Tengah. Manakala, Prof. Sahlan lebih dikenali sebagai pengkritik karya kesusasteraan. Semoga usaha mereka dalam genre kesusasteraan dan pendidikan membuahkan saham untuk mereka menjana kehidupan di akhirat, aamiin.Selasa, 11 Mac 2014
Misteri MH370
Memang sedih dan meresahkan. Bermula Sabtu (8 April 2014), seluruh rakyat Malaysia (dan dunia juga) berada dalam pertanyaan, "Ke manakah menghilangnya MH370 bersama-sama 239 penumpang dan krew?" lebih sedih dan meresahkan lagi, kalangan ahli keluarga mereka. Teknologi tidak dapat menjawabnya. Kepintaran tidak dapat membuktikannya. Hanya tinggal harapan, sebagaimana ajaibnya kehilangan, begitulah diharapkan ajaibnya penemuan, dan mereka kembali ke pangkuan keluarga masing-masing. "Ya Allah, Engkau permudahkan pencarian dan Engkau kembalikan keriangan. Hanya pada-Mu kami mohon pertolongan agar mereka kembali sebagai muslim dan muslimah sebagaimana Engkau kehendaki, dan membuktikan ketuhanan-Mu kepada mereka yang engkar. aamiin, amiin, yarabi alami."Isnin, 20 Januari 2014
Antologi 'Menunggu Esok Tiba'
Antologi Menunggu Esok Tiba (2014)
memuatkan karya-karya dalam genre sajak dan cerpen hasil kreativiti
pensyarah, staf sokongan dan pelajar IPG Kampus Tawau. Terdapat 21 buah
sajak karya Saharul Junit, Sitti Noor Fazrinah Piddin, Mohd Bin Bodot,
Salmiah Pasaddei, Juliet Norsirat, Yusly Salleh, Karthina Binti
Nagaramun, Ailin Binti Mohd Said,Norsidah Binti Ahmad Shah, Nur Hidayah
Binti Hairun, Jusinah Binti Taliban, Noraini Nasir, Norifah Binti
Paisal, Putriana Binti Pulau Pandan, Razliza Binti Jesfermun, Nassury
Ibrahim, W. Madziyah Hasbullah, Abdul Nasir Hj. Paisal, Noraini Binti
Zakaria dan Sefiah Binti Abdul Kahar. Manakala sembilan buah cerpen pula
hasil karya Mazlinah Binti Arabi, Jumriani Andi Sikandar, Carrolina G.
Stephenus, Lauraleonny, Jumikah Lebah, Maslina Binti Muhammad, Noor
Baizura Abdul Karim, Artishah S dan Samiah Binti Barak. Antologi ini diterbitkan di bawah projek Memartabatkan Bahasa Melayu (MBM) dan diselenggarakan oleh Maniyamin Bin Ibrahim.Rabu, 8 Januari 2014
Jumaat, 25 Oktober 2013
CPD Siri 12/2013
Ucapan Majlis Penutup Kursus Pembangunan Profesionalisme Berterusan (Continuing Professional Development (CPD)) Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (Guru) KPM Siri 12/2013 di Best Western Sandakan Hotel & Residence pada 21 - 25 Oktober 2013.
- Setelah lima hari empat malam cikgu-cikgu berkursus CPD ini, saya yakin telah banyak maklumat cikgu-cikgu peroleh.
- Harapan kami, sebanyak mana maklumat yang cikgu-cikgu peroleh di sini, akan sebanyak itu juga maklumat tersebut sampai ke rumah cikgu, sampai ke sekolah cikgu dan diaplikasikan dalam bilik darjah.
- Sebagai guru, kita mempunyai tanggungjawab besar untuk memajukan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Di tangan kitalah - di tangan saya, di tangan jurulatih, di tangan kauselor, di tangan urus setia dan di tangan cikgu-cikgu - hidup atau mati matlamat PPPM, berjaya atau gagal hasrat PPPM, hasrat kementerian, hasrat negara, dan yang paling utama ialah hasrat masyarakat.
- Tanggungjawab kami, para Jurulatih Utama, telah kami sempurnakan dan telah selesai dengan berlangsungnyanya Majlis Penutupan ini. Kini, tanggungjawab seterusnya terletak di minda, di hati dan di tangan cikgu-cikgu sekalian.
- Sesungguhnya, kita tidak mampu membina bangunan kerana kita tidak ada ilmu membina bangunan. Namun begitu, kita mempunyai ilmu dan kepakaran membina intelektual manusia, membina modal insan generasi sebagaimana dihasratkan oleh kerajaan melalui agenda PPPM.
- Jika kita dapat 'mengorangkan' manusia, berjaya membina modal insan generasi, bererti usaha kita telah menepati hasrat kerajaan. Sekali gus, kita telah membuat amalan jariah yang ganjaran pahalanya sentiasa membiak dan berterusan sampai kiamat.
- Namun, jika di minda kita, di hati kita dan di tangan kita telah menyebabkan manusia menjadi 'bagai bunga kembang tak jadi,' atau modal insan generasi terbantut dan keterbantutan modal insan itu diwarisi dan diwarisi, maka sampai kiamat juga kita akan menerima musibah.
- Kejayaan dan keterbantutan modal insan inilah sebenarnya nilai dan harga seseorang guru, sama ada pekerjaan guru itu menjadi mulia, atau sebaliknya.
- Justeru, Saya, mewakili Jurulatih Utama CPD dalam siri ini sangat bertuah dan berbesar hati, dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada PPD, JPN dan Kementerian, khususnya kepada urus setia kerana telah menyedia dan menawarkan peluang kepada kami untuk beramal jariah.
- Kepada para peserta kursus, kami mohon kemaafan terhadap segala kesilapan tutur kata, ucap contoh, keterlanjuran tingkah-laku, ketidaksempurnaan mengurus sesi dan segala macam ketidaksenangan hati sepanjang cikgu-cikgu berkursus CPD Siri 12/2013 di Sabah ini.
- Saya akhiri ucapan penutupan ini dengan dua kerat pantun;
Di sini padi di sana padi
Baru bernama sawah dan bendang;
Di sini budi di sana budi,
Baru sempurna menjadi orang.
Dari Balung pergi Sandakan
Naik teksi warna merah,
Ilmu dikandung diamalkan;
Itu rezeki amalan jariah.
SEKIAN, ASSALAMUALAIKUM WBT.
SEKIAN, ASSALAMUALAIKUM WBT.
Khamis, 17 Oktober 2013
Selasa, 24 September 2013
Bas Berhenti-Henti
Pada tahun 1990-an, terdapat satu
iklan tentang keselamatan di jalan raya yang disiarkan di televisyen Malaysia.
Iklan itu berbunyi, “Berhati-berhati di jalan raya.” Moral iklan ini adalah
sangat baik. Penganjur menyarankan agar pengguna berhati-hati ketika memandu.
Namun begitu, iklan yang sangat bervisi ini mendapat kecaman hebat daripada
masyarakat, khususnya ahli bahasa. Mengapa? Sebab penggunaan bahasanya sangat
memalukan.
Dalam bidang
morfologi terdapat satu aspek yang dinamakan kata ganda. Yang dikatakan kata
ganda ialah satu proses pengulangan kata dasar. Dalam iklan di atas, kata dasar
yang diulangkan ialah ‘hati.’
Maksud ‘hati’
merujuk kepada seketul daging dalam tubuh manusia. Istilah ‘hati’ dalam Islam
dikenali sebagai ‘qalbu.’ Hati menjadi pusat moraliti manusia. Kalau hati rosak
maka rosaklah seluruh jentera tubuh manusia itu.
Kata ‘hati’ berada
dalam golongan kata nama. Apabila kata ‘hati’ digandakan membentuk kata terbitan,
‘hati-hati.’ Perkataan baharu ini berubah status, dari kata nama kepada kata kerja.
Dalam ilmu bentuk
kata, kata ganda mempunyai tiga jenis, iaitu kata ganda penuh, kata ganda
separa, dan kata ganda berentak. Dikatakan kata ganda penuh kerana seluruh kata
dasar digandakan. Dikatakan kata ganda separa kerana sebahagian daripada kata
dasar telah digandakan. Manakala, dikatakan kata ganda berentak kerana kata
dasar kedua yang digandakan itu mengikut rentak bunyi tertentu. Tentunya ada
kaitan dengan estetika.
Berbalik kepada
iklan, kata yang digandakan ialah ‘hati’ menjadikannya ‘hati-hati.’ Kata
‘hati-hati’ menerima imbuhan awalan beR-. Formulanya;
beR- + kata
dasar = kata terbitan
(ber- + hati-hati
= berhati-hati)
Oleh sebab dalam iklan itu diucapkan
‘berhati-berhati,’ maka kata ganda tersebut adalah salah. Tidak ada kata ganda
‘berhati-berhati’ dalam bahasa Melayu. Yang ada ialah ‘berhati-hati.’ Kata ini tergolong
dalam bentuk kata kerja.
Jika anda melawat
Bandar Tawau, anda akan bertemu dengan bas yang dijenamakan sebagai ‘Bas
Berhenti-Henti.’ Proses pembentukan kata ‘berhenti-henti’ adalah sama dengan
kata ‘berhati-hati.’
‘Berhenti-henti’
merupakan kata kerja. Kata ‘henti’ juga merupakan kata kerja. Apabila kata
‘henti’ digandakan, maka terbentuk kata ‘henti-henti.’ Kata itu boleh menjadi
kata kerja dan boleh menjadi kata nama. Ia bergantung pada mesej dalam ayat.
Frasa ‘Bas
Berhenti-Henti’ di Bandar Tawau adalah merujuk kepada fungsi (a) perbuatan bas,
dan (b) jenama bas. Dikatakan (a) kerana bas itu selalu berhenti sebelum sampai
ke destinasi terakhir. Namun, oleh sebab frasa itu dicatat pada badan bas, maka
fungsi utama frasa itu adalah merujuk jenama bas. Apabila merujuk kepada
jenama, sama ada nama manusia, haiwan, benda, mahupun organisasi, bentuk kata
yang sesuai digunakan ialah kata nama. Maka jenama bas itu sepatutnya, ‘Bas
Henti-Henti.’
Isnin, 23 September 2013
Politik Beradab
Berkata Mohd Afiq Mohd Saleh
(Harakah 17 – 20 September 2012), sesiapapun akan marah jika gambarnya dipijak,
dihina atau diperlakukan di luar batas adat budaya bangsa. Lebih-lebih lagi,
jika dia mempunyai status besar dalam masyarakatnya.
Sebenarnya tidak salah memarahi
kerana sifat itu diberikan oleh Tuhan. Namun, menterjemah kemarahan dengan
perbuatan hina, sekalipun kebencian itu di pihak yang benar, ia bukan cara
positif menyatakan kebencian. Perbuatan itu bukan budaya Melayu, dan jauh
sekali daripada ajaran agama Islam.
Walaupun bukan fenomena baharu
dalam arena politik Barat, namun kebiasaan itu bukan teladan yang baik untuk
diterap dalam jiwa masyarakat Malaysia. Benci terhadap kezaliman adalah wajib,
tetapi cara meluahkannya perlu dilaksanakan secara beradab.
Nabi mengajar umatnya agar
membalas keburukan dan kezaliman dengan cara berhikmah dan sopan. Dengan cara
ini, bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah, malahan dapat menjadi saluran
dakwah dan menghindarkan daripada saluran
fitnah terhadap agama.
Pelakuan manusia menggambarkan
adat dan adab budaya bangsanya. Sekali gus mengandungi unsur-unsur dakwah. Jika
ditonjolkan amalan negatif, maka agama, bangsa dan negaranya akan dianggap
bercitra negatif. Imej dakwahnya akan bertukar menjadi dakyah.
Lebih malang lagi, jika
pelakuan hina itu datang daripada pemimpin masyarakat atau negara, atau individu
dan partai yang tebal imej agama mahupun imej nasionalisme bangsa. Jika kepemimpinan
mereka hilang adat dan adab budaya bangsa dan nilai-nilai agama, maka
politiknya itu menjadi pisau kezaliman. Pisaunya itu bakal membunuh agama dan
bangsanya.
Alangkah indahnya jika semua
politikus membudayakan politik beradat dan beradab. Mereka berjuang, bersaing
dan berkempen dalam suasana sihat. Sentiasa merenung ke dalam diri dan membaca
kemampuan diri, tanpa mengamalkan politik menerkam dan menyalahkan.
Siasah politik bertujuan
membangunkan bangsa dan negara. Kempen politik bertujuan membentangkan
usaha-usaha untuk membangunkan bangsa dan negara. Maka, pelakuan beradat dan beradab
adalah sangat penting agar negara dapat dibangunkan, dan moral dapat
ditingkatkan.
Sungguh memalukan jika
perbuatan mengencingi gambar pemimpin berlaku dalam masyarakat kita. Lebih
memalukan dan hina, jika perbuatan itu dilakukan oleh golongan yang sudah
lanjut usia. Mereka sepatutnya menjadi teladan positif kepada generasi kerana
ketuaan mereka itu menjadi lambang kekayaan adat dan adab budaya bangsanya.
Dalam budaya Melayu, perbuatan
negatif disosialisasikan melalui kata-kata, “Kau mau jadi apa? Mahu jadi orang atau syaitan?” Dan, dalam
masyarakat Cina Baba pula menterjemahkannya sebagai “nang bouti nang, kui bouti kui: nak kata orang bukan orang, nak kata
hantu bukan hantu!”
Masyarakat Melayu sangat
mementingkan susila. Pelakuan susila melambangkan budi bahasa, dan sekali gus
melambangkan adat dan adab. Manusia berbudi dan beradab adalah sebenar-benarnya
orang, sebagaimana gambaran dalam pantun di bawah.
Di sini padi di sana padi,
Baru bernama sawah dan bendang;
Di sini budi di sana budi,
Baru sempurna menjadi orang.
Kesimpulannya,
politik beradab adalah politik yang dapat membangunkan bangsa dan negara.
Politik yang mendokong adat dan adab bangsa. Jauh lebih penting daripada itu,
politik beradab ialah politik yang memartabatkan agama dan bangsanya. Politik
yang mesra pengguna tanpa mengira agama, bangsa dan partainya.
Langgan:
Catatan (Atom)



















