Memang sedih dan meresahkan. Bermula Sabtu (8 April 2014), seluruh rakyat Malaysia (dan dunia juga) berada dalam pertanyaan, "Ke manakah menghilangnya MH370 bersama-sama 239 penumpang dan krew?" lebih sedih dan meresahkan lagi, kalangan ahli keluarga mereka. Teknologi tidak dapat menjawabnya. Kepintaran tidak dapat membuktikannya. Hanya tinggal harapan, sebagaimana ajaibnya kehilangan, begitulah diharapkan ajaibnya penemuan, dan mereka kembali ke pangkuan keluarga masing-masing. "Ya Allah, Engkau permudahkan pencarian dan Engkau kembalikan keriangan. Hanya pada-Mu kami mohon pertolongan agar mereka kembali sebagai muslim dan muslimah sebagaimana Engkau kehendaki, dan membuktikan ketuhanan-Mu kepada mereka yang engkar. aamiin, amiin, yarabi alami."Selasa, 11 Mac 2014
Misteri MH370
Memang sedih dan meresahkan. Bermula Sabtu (8 April 2014), seluruh rakyat Malaysia (dan dunia juga) berada dalam pertanyaan, "Ke manakah menghilangnya MH370 bersama-sama 239 penumpang dan krew?" lebih sedih dan meresahkan lagi, kalangan ahli keluarga mereka. Teknologi tidak dapat menjawabnya. Kepintaran tidak dapat membuktikannya. Hanya tinggal harapan, sebagaimana ajaibnya kehilangan, begitulah diharapkan ajaibnya penemuan, dan mereka kembali ke pangkuan keluarga masing-masing. "Ya Allah, Engkau permudahkan pencarian dan Engkau kembalikan keriangan. Hanya pada-Mu kami mohon pertolongan agar mereka kembali sebagai muslim dan muslimah sebagaimana Engkau kehendaki, dan membuktikan ketuhanan-Mu kepada mereka yang engkar. aamiin, amiin, yarabi alami."Isnin, 20 Januari 2014
Antologi 'Menunggu Esok Tiba'
Antologi Menunggu Esok Tiba (2014)
memuatkan karya-karya dalam genre sajak dan cerpen hasil kreativiti
pensyarah, staf sokongan dan pelajar IPG Kampus Tawau. Terdapat 21 buah
sajak karya Saharul Junit, Sitti Noor Fazrinah Piddin, Mohd Bin Bodot,
Salmiah Pasaddei, Juliet Norsirat, Yusly Salleh, Karthina Binti
Nagaramun, Ailin Binti Mohd Said,Norsidah Binti Ahmad Shah, Nur Hidayah
Binti Hairun, Jusinah Binti Taliban, Noraini Nasir, Norifah Binti
Paisal, Putriana Binti Pulau Pandan, Razliza Binti Jesfermun, Nassury
Ibrahim, W. Madziyah Hasbullah, Abdul Nasir Hj. Paisal, Noraini Binti
Zakaria dan Sefiah Binti Abdul Kahar. Manakala sembilan buah cerpen pula
hasil karya Mazlinah Binti Arabi, Jumriani Andi Sikandar, Carrolina G.
Stephenus, Lauraleonny, Jumikah Lebah, Maslina Binti Muhammad, Noor
Baizura Abdul Karim, Artishah S dan Samiah Binti Barak. Antologi ini diterbitkan di bawah projek Memartabatkan Bahasa Melayu (MBM) dan diselenggarakan oleh Maniyamin Bin Ibrahim.Rabu, 8 Januari 2014
Jumaat, 25 Oktober 2013
CPD Siri 12/2013
Ucapan Majlis Penutup Kursus Pembangunan Profesionalisme Berterusan (Continuing Professional Development (CPD)) Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (Guru) KPM Siri 12/2013 di Best Western Sandakan Hotel & Residence pada 21 - 25 Oktober 2013.
- Setelah lima hari empat malam cikgu-cikgu berkursus CPD ini, saya yakin telah banyak maklumat cikgu-cikgu peroleh.
- Harapan kami, sebanyak mana maklumat yang cikgu-cikgu peroleh di sini, akan sebanyak itu juga maklumat tersebut sampai ke rumah cikgu, sampai ke sekolah cikgu dan diaplikasikan dalam bilik darjah.
- Sebagai guru, kita mempunyai tanggungjawab besar untuk memajukan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Di tangan kitalah - di tangan saya, di tangan jurulatih, di tangan kauselor, di tangan urus setia dan di tangan cikgu-cikgu - hidup atau mati matlamat PPPM, berjaya atau gagal hasrat PPPM, hasrat kementerian, hasrat negara, dan yang paling utama ialah hasrat masyarakat.
- Tanggungjawab kami, para Jurulatih Utama, telah kami sempurnakan dan telah selesai dengan berlangsungnyanya Majlis Penutupan ini. Kini, tanggungjawab seterusnya terletak di minda, di hati dan di tangan cikgu-cikgu sekalian.
- Sesungguhnya, kita tidak mampu membina bangunan kerana kita tidak ada ilmu membina bangunan. Namun begitu, kita mempunyai ilmu dan kepakaran membina intelektual manusia, membina modal insan generasi sebagaimana dihasratkan oleh kerajaan melalui agenda PPPM.
- Jika kita dapat 'mengorangkan' manusia, berjaya membina modal insan generasi, bererti usaha kita telah menepati hasrat kerajaan. Sekali gus, kita telah membuat amalan jariah yang ganjaran pahalanya sentiasa membiak dan berterusan sampai kiamat.
- Namun, jika di minda kita, di hati kita dan di tangan kita telah menyebabkan manusia menjadi 'bagai bunga kembang tak jadi,' atau modal insan generasi terbantut dan keterbantutan modal insan itu diwarisi dan diwarisi, maka sampai kiamat juga kita akan menerima musibah.
- Kejayaan dan keterbantutan modal insan inilah sebenarnya nilai dan harga seseorang guru, sama ada pekerjaan guru itu menjadi mulia, atau sebaliknya.
- Justeru, Saya, mewakili Jurulatih Utama CPD dalam siri ini sangat bertuah dan berbesar hati, dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada PPD, JPN dan Kementerian, khususnya kepada urus setia kerana telah menyedia dan menawarkan peluang kepada kami untuk beramal jariah.
- Kepada para peserta kursus, kami mohon kemaafan terhadap segala kesilapan tutur kata, ucap contoh, keterlanjuran tingkah-laku, ketidaksempurnaan mengurus sesi dan segala macam ketidaksenangan hati sepanjang cikgu-cikgu berkursus CPD Siri 12/2013 di Sabah ini.
- Saya akhiri ucapan penutupan ini dengan dua kerat pantun;
Di sini padi di sana padi
Baru bernama sawah dan bendang;
Di sini budi di sana budi,
Baru sempurna menjadi orang.
Dari Balung pergi Sandakan
Naik teksi warna merah,
Ilmu dikandung diamalkan;
Itu rezeki amalan jariah.
SEKIAN, ASSALAMUALAIKUM WBT.
SEKIAN, ASSALAMUALAIKUM WBT.
Khamis, 17 Oktober 2013
Selasa, 24 September 2013
Bas Berhenti-Henti
Pada tahun 1990-an, terdapat satu
iklan tentang keselamatan di jalan raya yang disiarkan di televisyen Malaysia.
Iklan itu berbunyi, “Berhati-berhati di jalan raya.” Moral iklan ini adalah
sangat baik. Penganjur menyarankan agar pengguna berhati-hati ketika memandu.
Namun begitu, iklan yang sangat bervisi ini mendapat kecaman hebat daripada
masyarakat, khususnya ahli bahasa. Mengapa? Sebab penggunaan bahasanya sangat
memalukan.
Dalam bidang
morfologi terdapat satu aspek yang dinamakan kata ganda. Yang dikatakan kata
ganda ialah satu proses pengulangan kata dasar. Dalam iklan di atas, kata dasar
yang diulangkan ialah ‘hati.’
Maksud ‘hati’
merujuk kepada seketul daging dalam tubuh manusia. Istilah ‘hati’ dalam Islam
dikenali sebagai ‘qalbu.’ Hati menjadi pusat moraliti manusia. Kalau hati rosak
maka rosaklah seluruh jentera tubuh manusia itu.
Kata ‘hati’ berada
dalam golongan kata nama. Apabila kata ‘hati’ digandakan membentuk kata terbitan,
‘hati-hati.’ Perkataan baharu ini berubah status, dari kata nama kepada kata kerja.
Dalam ilmu bentuk
kata, kata ganda mempunyai tiga jenis, iaitu kata ganda penuh, kata ganda
separa, dan kata ganda berentak. Dikatakan kata ganda penuh kerana seluruh kata
dasar digandakan. Dikatakan kata ganda separa kerana sebahagian daripada kata
dasar telah digandakan. Manakala, dikatakan kata ganda berentak kerana kata
dasar kedua yang digandakan itu mengikut rentak bunyi tertentu. Tentunya ada
kaitan dengan estetika.
Berbalik kepada
iklan, kata yang digandakan ialah ‘hati’ menjadikannya ‘hati-hati.’ Kata
‘hati-hati’ menerima imbuhan awalan beR-. Formulanya;
beR- + kata
dasar = kata terbitan
(ber- + hati-hati
= berhati-hati)
Oleh sebab dalam iklan itu diucapkan
‘berhati-berhati,’ maka kata ganda tersebut adalah salah. Tidak ada kata ganda
‘berhati-berhati’ dalam bahasa Melayu. Yang ada ialah ‘berhati-hati.’ Kata ini tergolong
dalam bentuk kata kerja.
Jika anda melawat
Bandar Tawau, anda akan bertemu dengan bas yang dijenamakan sebagai ‘Bas
Berhenti-Henti.’ Proses pembentukan kata ‘berhenti-henti’ adalah sama dengan
kata ‘berhati-hati.’
‘Berhenti-henti’
merupakan kata kerja. Kata ‘henti’ juga merupakan kata kerja. Apabila kata
‘henti’ digandakan, maka terbentuk kata ‘henti-henti.’ Kata itu boleh menjadi
kata kerja dan boleh menjadi kata nama. Ia bergantung pada mesej dalam ayat.
Frasa ‘Bas
Berhenti-Henti’ di Bandar Tawau adalah merujuk kepada fungsi (a) perbuatan bas,
dan (b) jenama bas. Dikatakan (a) kerana bas itu selalu berhenti sebelum sampai
ke destinasi terakhir. Namun, oleh sebab frasa itu dicatat pada badan bas, maka
fungsi utama frasa itu adalah merujuk jenama bas. Apabila merujuk kepada
jenama, sama ada nama manusia, haiwan, benda, mahupun organisasi, bentuk kata
yang sesuai digunakan ialah kata nama. Maka jenama bas itu sepatutnya, ‘Bas
Henti-Henti.’
Isnin, 23 September 2013
Politik Beradab
Berkata Mohd Afiq Mohd Saleh
(Harakah 17 – 20 September 2012), sesiapapun akan marah jika gambarnya dipijak,
dihina atau diperlakukan di luar batas adat budaya bangsa. Lebih-lebih lagi,
jika dia mempunyai status besar dalam masyarakatnya.
Sebenarnya tidak salah memarahi
kerana sifat itu diberikan oleh Tuhan. Namun, menterjemah kemarahan dengan
perbuatan hina, sekalipun kebencian itu di pihak yang benar, ia bukan cara
positif menyatakan kebencian. Perbuatan itu bukan budaya Melayu, dan jauh
sekali daripada ajaran agama Islam.
Walaupun bukan fenomena baharu
dalam arena politik Barat, namun kebiasaan itu bukan teladan yang baik untuk
diterap dalam jiwa masyarakat Malaysia. Benci terhadap kezaliman adalah wajib,
tetapi cara meluahkannya perlu dilaksanakan secara beradab.
Nabi mengajar umatnya agar
membalas keburukan dan kezaliman dengan cara berhikmah dan sopan. Dengan cara
ini, bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah, malahan dapat menjadi saluran
dakwah dan menghindarkan daripada saluran
fitnah terhadap agama.
Pelakuan manusia menggambarkan
adat dan adab budaya bangsanya. Sekali gus mengandungi unsur-unsur dakwah. Jika
ditonjolkan amalan negatif, maka agama, bangsa dan negaranya akan dianggap
bercitra negatif. Imej dakwahnya akan bertukar menjadi dakyah.
Lebih malang lagi, jika
pelakuan hina itu datang daripada pemimpin masyarakat atau negara, atau individu
dan partai yang tebal imej agama mahupun imej nasionalisme bangsa. Jika kepemimpinan
mereka hilang adat dan adab budaya bangsa dan nilai-nilai agama, maka
politiknya itu menjadi pisau kezaliman. Pisaunya itu bakal membunuh agama dan
bangsanya.
Alangkah indahnya jika semua
politikus membudayakan politik beradat dan beradab. Mereka berjuang, bersaing
dan berkempen dalam suasana sihat. Sentiasa merenung ke dalam diri dan membaca
kemampuan diri, tanpa mengamalkan politik menerkam dan menyalahkan.
Siasah politik bertujuan
membangunkan bangsa dan negara. Kempen politik bertujuan membentangkan
usaha-usaha untuk membangunkan bangsa dan negara. Maka, pelakuan beradat dan beradab
adalah sangat penting agar negara dapat dibangunkan, dan moral dapat
ditingkatkan.
Sungguh memalukan jika
perbuatan mengencingi gambar pemimpin berlaku dalam masyarakat kita. Lebih
memalukan dan hina, jika perbuatan itu dilakukan oleh golongan yang sudah
lanjut usia. Mereka sepatutnya menjadi teladan positif kepada generasi kerana
ketuaan mereka itu menjadi lambang kekayaan adat dan adab budaya bangsanya.
Dalam budaya Melayu, perbuatan
negatif disosialisasikan melalui kata-kata, “Kau mau jadi apa? Mahu jadi orang atau syaitan?” Dan, dalam
masyarakat Cina Baba pula menterjemahkannya sebagai “nang bouti nang, kui bouti kui: nak kata orang bukan orang, nak kata
hantu bukan hantu!”
Masyarakat Melayu sangat
mementingkan susila. Pelakuan susila melambangkan budi bahasa, dan sekali gus
melambangkan adat dan adab. Manusia berbudi dan beradab adalah sebenar-benarnya
orang, sebagaimana gambaran dalam pantun di bawah.
Di sini padi di sana padi,
Baru bernama sawah dan bendang;
Di sini budi di sana budi,
Baru sempurna menjadi orang.
Kesimpulannya,
politik beradab adalah politik yang dapat membangunkan bangsa dan negara.
Politik yang mendokong adat dan adab bangsa. Jauh lebih penting daripada itu,
politik beradab ialah politik yang memartabatkan agama dan bangsanya. Politik
yang mesra pengguna tanpa mengira agama, bangsa dan partainya.
Selasa, 13 Ogos 2013
Jumaat, 9 Ogos 2013
Abdulaziz HM
Saya seronok apabila mendapat tahu (melalui FB) bahawa Persatuan Penulis Kelantan (PPK) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) akan menganjurkan seminar tentang tokoh yang berjasa kepada dunia sastera Tanah air. Sepanjang berada di Kelantan, telah beberapa kali saya bercakap kepada kawan-kawan (Abdul Hadi Yusuf, Wadi Leta SA misalnya) agar PPK menganjur satu perbicaraan ilmu tentang tokoh-tokoh yang telah pergi.
"Kalau tidak kita menganjurnya, siapa lagi," tegas saya. Yang terbayang dalam kepala saya ialah tidak mahu perginya seseorang bersama-sama jasanya.
Saya memahami akan kekangan kewangan untuk menganjurnya, maka saya mengajak menganjurnya secara kecil-kecilan dalam kalangan rakan-rakan. Mungkin dalam kalangan 10 orang peserta. Tempat tiada masalah. Saya boleh memohon daripada pentadbir IPG Kota Bharu.
Namun, hasrat ini tidak terlaksana pada masa itu. Mungkin disebabkan masalah-masalah lain maka hasrat itu tidak terlaksanakan.
Abdulaziz HM merupakan nama besar dalam kesusasteraan Tanah air. Beliau merupakan pelopor teater mini kata di Malaysia. Perihal teater mini kata banyak diperkatakan sekitar tahun 1970-an dan awal 1980-an. Malangnya, saya tidak pernah terbaca tulisan ilmiah tentang sumbangannya ini.
Oleh sebab beliau bergiat dalam teater, beliau telah menubuhkan kumpulan teater yang dikenali sebagai Teater Malini. Melaluinya, beliau berhasil menganjurkan persembahan secara berkala dan spontan. Namun yang lebih penting, melalui Teater Malini, beliau Berjaya melahirkan bakat-bakat pelapis. Misalnya, Othman Ladin Nuawi dan Maarof Seman RS.
Othman Ladin Nuawi pula berjaya mengembangkan ilmu teater kepada kanak-kanak. Malah, Othman Ladin Nuawi Berjaya menganjurkan beberapa persembahan teater peringkat nasional. Misalnya, teater Durian Gergasi.
Jarang diketahui umum ialah sumbangannya dalam bidang seni suara. Beliau telah memberi nama Kopratasa kepada kumpulan nyanyian dianggotai Sani Sudin, Usop dan Siso. Malah, beberapa buah sajaknya telah diangkat menjadi lagu oleh Kopratasi. Misalnya, sajak 'Akan Datang Akhir Disember Ini.' Sajaknya yang paling mendapat sentuhan, khususnya kepada para isteri, ialah sajak 'Permata.' Malangnya, ramai para wanita/isteri tidak mengetahui bahawa lagu nyanyian Kopratasa itu berasal daripada sajak beliau.
Satu-satunya buku sajak yang dihasilkan oleh beliau (yang saya tahu) ialah kumpulan sajak Kopratasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya tertarik dengan kumpulan sajak ini sebagaimana saya tertarik dengan beberapa kumpulan sajak oleh penyair lain. Saya selalu membelinya walaupun sudah ada dalam simpanan. Juga saya sering mengesyorkan kepada para pelajar agar membelinya, jika terjumpa.
Abdulaziz HM bukan setakat menulis sajak. Beliau juga mengkritik karya kesusasteraan. Pada pertengahan 1980-an, beliau telah mengkritik kumpulan sajak Pesisir Waktu oleh Latiff Mohidin, dan kumpulan sajak Sihir Hujan oleh Sapardi Djoko Damono. Kedua-duanya disiarkan dalam akhbar Berita Minggu. Saya percaya banyak lagi tulisan kritikan dihasilkannya. Alangkah baiknya jika ada usaha mengumpulkan kritikan-kritikannya itu.
Oleh sebab kekaguman saya terhadap karyanya, saya pernah berusaha mengundang dating membuat persembahan di Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) sekitar tahun 1988. Beliau bersetuju dan datang meninjau pentas. Malangnya, disebabkan kekangan yang tidak dapat dielakkan, usaha saya itu tidak menjadi kenyataan.
Sepanjang berkhidmat di Kuala Lumpur, saya sering bertemunya, khususnya dalam beberapa acara di Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur. Selebihnya, saya bertemu beliau beberapa kali di Central Market, berborak-borak sambil minum teh tarik.
Semoga usaha yang dilakukan oleh PPK dan DBPWT tidak setakat ini sahaja. Masih ramai penulis-penulis Kelantan yang perlu 'dihidupkan' kembali. Misalnya, Abdullah Tahir, Mustaffa Jusuh, Wan Yusof Hassan, Talib YK, Mat Daud Molly, Khairi Che Teh, dan lain-lain. Elok usaha menghidupkan kembali tokoh-tokoh yang telah pergi itu digerakkan juga oleh badan-badan penulis di peringkat daerah di Kelantan.
Sabtu, 3 Ogos 2013
Peliharalah Bahasa Kamu
Berkata O.T. Dusseck, "...bahasa kamu, saya percaya, diucapkan oleh lebih dari 70 juta manusia. Ia merupakan satu daripada rumpun-rumpun bahasa terbesar di dunia. Jangan lupa hakikat itu. Peliharalah bahasa kamu itu; berusahalah meninggikannya ke tarafnya yang layak dalam kalangan bahasa-bahasa dunia. Apabila taraf bahasa kamu tinggi, akan tinggilah juga taraf bangsa kamu" (The Straits Times, 1935).
Ya, seingat aku orang pertama bercakap dalam bahasa Melayu dan didengari seluruh dunia (siaran langsung) ialah Tan Seri Razali Ismail. Beliau berucap ketika mempengerusikan Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu, sekitar tahun 1990-an.
Othaman Theodore Dusseck lahir di Surrev, England pada 16 November 1886. Datang ke Tanah Melayu pada tahun 1912, berkhidmat sebagai guru pembantu di Sekolah Tinggi Melaka. Dilantik sebagai ketua di Kolej Melayu pada 1914 dan seterusnya sebagai Pengetua di Sultan Idris Training College pada tahun 1922 - 1926. Beliau meninggal pada tahun 1965.
Ahad, 21 Julai 2013
Karya Kreatif Bukan Realiti Kehidupan
Saya tertarik untuk memberi sedikit komentar terhadap tulisan Dr. Asri Zainal Abidin dalam Malaysiakini bertarikh 11 Julai 2013 dengan judul 'Kehidupan Bukan Sebuah Novel.'
Beliau mencatatkan;
"Pada pandangan saya, kesungguhan untuk memberikan penilaian terhadap rumusan keseluruhan kehidupan bagi sesebuah watak yang diwujudkan dalam novel, cerpen, drama, filem ataupun sebagainya bukanlah satu kerja yang begitu bermanfaat".
Kurang pula saya bersetuju dengan pandangan Dr. Asri berkenaan petikan di atas. Terutama frasa 'bukanlah satu kerja yang begitu bermanfaat.' Pandangan beliau itu atas alasan karya kreatif dicipta oleh manusia, bukan gambaran kehidupan sebenar daripada Allah.
Karya kreatif merupakan rekaan yang peristiwanya tidak benar-benar berlaku. Maka tidak boleh disamakan dengan kehidupan sebenar daripada Allah. Peristiwanya tidak boleh dipercayai sebagai benar-benar berlaku. Walau bagaimanapun, ada hukum kausaliti daripada peristiwa tersebut. Jika watak melakukan Peristiwa A akan mendatangkan Akibat A, dan seterusnya, dan sebaliknya. Jika pembaca faham bahawa Peristiwa A akan mendatangkan Akibat A negatif, maka dia hendaklah menteladani dengan mencari jalan ke arah Peristiwa B, yang mungkin Akibat B adalah positif.
Yang cuba disampaikan oleh pengarang ialah mesej di sebalik peristiwa imaginasi itu. Tanpa peristiwa imaginasi tidak akan ada mesej teladan dan dakwah melalui karya kreatif tidak menjadi. Amat sukar kepada pengarang hendak memaparkan keikhlasan watak hingga berlaku Peristiwa A. Selagi kerja itu dilakukan oleh manusia secara imaginasi, ia tetap boleh dipertingkaikan akan keikhlasan yang cuba diterapkan pada watak imaginasi. Keikhlasan manusia hanya Allah sahaja yang tahu sebagaimana peristiwa pelacur memberi anjing minum. Jika Nabi tidak memberitahu akan kesan perbuatan pelacur itu (kerana manusia tidak mengetahui keikhlasannya), saya percaya, tiada yang menganggap pelacur itu akan ditempatkan di Syurga Allah.
Kalau mencipta kehidupan imaginasi (berkreatif) tidak boleh dilaksanakan oleh pengarang, maka kecillah kebesaran kuasa-Nya yang diberikan kepada manusia. Walau bagaimanapun, saya bersetuju, kalau kisah-kisah tokoh sebenar dikreatifkan. Peristiwa atau dialognya mungkin tidak sama sebagaimana peristiwa dan dialog sebenar. Peristiwa dan dialog dalam karya kreatif itu boleh menjerumuskan kepada fitnah, jika peristiwa dan dialog itu tidak benar-benar tepat.
Maka, kesimpulan Dr. Asri itu, "Saya simpulkan dari segi agama bahawa kita boleh menilai peristiwa-peristiwa yang dikhayal dalam sebuah karya sebagai satu andaian peristiwa seperti andaian hukum bagi perkara iftiradi (andaian), namun kita tidak boleh membuat kesimpulan tentang keseluruhan kehidupan yang direka dan dirumuskan oleh seseorang pengkarya. Ini kerana ia hanya rekaan semata sedangkan perjalanan hidup sebenar yang Tuhan takdirkan yang sangat tersendiri dengan segala hikmat dan rahsianya" tidak sepatutnya kerja-kerja manusia dipadankan dengan kerja-kerja Allah.
Dan saya yakin, apapun yang dilakukan oleh manusia pengarang tetap ada manfaat yang boleh dikongsikan oleh manusia lain, walaupun tidak 100 peratus. Misalnya, ramai yang memperoleh ijazah dan seterusnya memegang jawatan tinggi dengan hanya (asalnya) mengkaji karya kreatif. MAAF DAN AMPUN, ITU PANDANGAN AMBO YANG SERBA KURANG INI.
Dan saya yakin, apapun yang dilakukan oleh manusia pengarang tetap ada manfaat yang boleh dikongsikan oleh manusia lain, walaupun tidak 100 peratus. Misalnya, ramai yang memperoleh ijazah dan seterusnya memegang jawatan tinggi dengan hanya (asalnya) mengkaji karya kreatif. MAAF DAN AMPUN, ITU PANDANGAN AMBO YANG SERBA KURANG INI.
Ahad, 14 Julai 2013
Isnin, 13 Mei 2013
Sasterawan Negara Ke-12
Dalam intro kertas kerja saya bertajuk Sinisme
Sajak-Sajak Baha Zain, saya mencatatkan, “Jika
saudara melihat Baha Zain: cara beliau berjalan, bercakap, senyum, beraksi,
malah fizik tubuhnya yang kecil, dan pada hari yang lain saudara diberi sajak
tanpa tercatat nama beliau, dan saudara
baru pertama kali membacanya, saya yakin saudara tidak akan mengatakan bahawa
sajak tersebut adalah hasil minda dan rasa beliau. Terdapat sangat kontras dan
paradok antara Baha Zain di alam realiti dengan Baha Zain dalam sajak. Di alam
realiti, Baha Zain seorang yang lemah-lembut, mudah tersenyum dan menyapa.
Namun, sajak-sajak Baha Zain sangat sinis, mengejek, memperli, keras, malah
berunsur erotik.”
Kertas kerja itu telah disiarkan dalam Majalah
Dewan Sastera tahun 2004, dan kemudian diangkat sebagai pemenang Hadiah Sastera
Perdana Malaysia sesi 2004-2005. Dalam kertas kerja itu, saya mengisytiharkan
bahawa sajak beliau berjudul “Menangguhkan Kebenaran” merupakan sajak terbaik
disebabkan kekayaan gaya bahasa dan pemikiran tinggi.
Rabu, 27 Februari 2013
Pengalaman Kreatif Peta Perjalanan
1.
Peta
Perjalanan (judul asalnya Sejak Kau Hadir ) merupakan sebuah
manuskrip puisi berunsur Islam dan pernah memenangi Hadiah Galakan, Anugerah
Sastera (Puisi) Daruliman 3 (ASDI 3)
tahun 1995, anjuran Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita).
Pertandingan terbuka kepada seluruh
warga nusantara yang menggunakan Bahasa Melayu. Panel telah menerima sebanyak
67 buah manuskrip puisi karya penyair dari Indonesia, Singapura dan Malaysia.
Menurut panel hakim,
Kumpulan Sejak Kau Hadir membawa tema keislaman
yang kental dan padat berhubung dengan soal akidah keislaman, pemikiran dan
kehidupan. Kesemuanya diungkap secara terkawal dan menarik.
Khamis, 24 Januari 2013
Masa Depan Sajak Malaysia
Isu masa depan sajak di Malaysia dapat
ditinjau dari dua aspek. Pertama dari aspek aktivis, dan kedua, dari aspek mutu
sajak. Termasuk dalam aspek aktivis ialah penerbit, persatuan, agensi kementerian,
kerajaan tempatan dan pihak swasta.
Dibandingkan
dengan dekad 1960-an dan 1970-an, bilangan penulis sajak dekad 2000-an
mengalami kemerosotan. Minat masyarakat terhadap sajak dan dunia persajakan menurun.
Pandangan ini berasaskan keahlian persatuan penulis dan kesediaan media cetak menyediakan
ruangan sastera. Didapati ruangan disediakan semakin terhad. Walaupun penulis
sajak tetap lahir dalam dekad 1990-an hingga kini, namun kelahirannya tidak memeriahkan
aktiviti pesajakan sebagaimana dekad sebelumnya.
Selasa, 8 Januari 2013
Falsafah Sastera Melayu
Dalam tradisi Barat, falsafah bertujuan menyelesaikan masalah manusia. Dalam tradisi Islam, falsafah bertujuan menemui kewujudan Tuhan. Dalam tradisi Melayu, falsafah bertujuan membentuk seorang orang. Dalam tradisi sastera Melayu, falsafah bertujuan memberi teladan (pengajaran dan peringatan).
Sabtu, 17 November 2012
Pejuang Bahasa
bak Sisipus memikul batu
ke puncak gunung
pejuang bahasa menjulang
mutiara bahasa
ke puncak bangsa
sampai di puncak
batu ditendang Sang Maharaja
demikian mutiara bahasa
bergolek berguling berkecai
ditendang Sang Penguasa
Sisipus tak henti usaha
memikul batu cinta
pejuang tak henti tega
menjulang mutiara bahasa
hanya itulah sahaja
usaha cinta bahasa
selain doa
semoga Sang Penguasa
bukan musuh bangsa.
NASSURY IBRAHIM
31.7.2009
ke puncak gunung
pejuang bahasa menjulang
mutiara bahasa
ke puncak bangsa
sampai di puncak
batu ditendang Sang Maharaja
demikian mutiara bahasa
bergolek berguling berkecai
ditendang Sang Penguasa
Sisipus tak henti usaha
memikul batu cinta
pejuang tak henti tega
menjulang mutiara bahasa
hanya itulah sahaja
usaha cinta bahasa
selain doa
semoga Sang Penguasa
bukan musuh bangsa.
NASSURY IBRAHIM
31.7.2009
Ahad, 14 Oktober 2012
10 Sajak Di Utusan Borneo, 14 Oktober 2012
1. MENANG SORAK
(Senario Politik Malaysia)
Kami bersorak
rai kemenangan
kaki berkinja-kinja
hingga letih badan
mulut berpekik-pekik
hingga suara hilang
dan kemudian
kami pun pulang
menggeledah periuk
mencari
rezeki semalam.
9 November 2010
2. PADA PERTEMUAN INI
Mesra hati berjabat tangan
pada pertemuan ini
pulang kita seperti
ada sesuatu yang tertinggal.
7 Jun 2010
3. KUASA
Kerana memiliki peti dan lidah
maka mulut menjadi raja
memerintah semesta tubuh.
18 Mei 2010
4. LAHIR SAJAK
kala sunyi sepi menyakitkan
kala bosan sepi membahagiakan
kala khalwat sepi menemukan
Tuhan, ini anakku lahir
kala sepi menikmatkan.
25 Februari 2010
5. DI SIMPANG PERTEMUAN
Kita berjabat tangan
kerana bertemu
pulang tanpa saling
mengenali.
27 September 2009
6. ORANG
Cantik emas di tangan
cantik bahasa di mulut
cantik tingkah di santun
cantik lagi budi ditabur.
2009
7. CHANG-RAI
Daging tak busuk
seharian diasap matahari
kerananya berpusu-pusu
pelancong datang membeli
dan puteri berlumba-lumba
menjual daging sendiri.
19 Disember 2004
8. KESUSAHAN HIDUP
Hidup sebenarnya tidak
sesusah sangka
pada kepayahan ini
kita disusahkan
sang haloba.
31 Disember 2009
9. JARAK
Mengukur dengan mata
tidak terasa
betapa penatnya kaki
ketika melangkah.
10 Februari 2007
10. SAJAK KEPADA NASSURY 1
Betapa mati langkah betapa senyap jiwa
air kata yang kautinggalkan itu
mengalir biar membasahi kering wajah
betapa saat kaubersunyi diri
di bawah pohonan kemboja.
7 November 2008
Langgan:
Catatan (Atom)








