Rabu, 24 November 2010

Bertemu Mohd Affandi Hassan

Terkejut juga aku apabila, pada 20 September 2010, Leo A.W.S menelefon memberitahu bahawa penulis tersohor, Mohd. Affandi Hassan, ingin berjumpa. Dalam fikiran terbayang kemungkinan ada kesilapan telah aku lakukan. Mungkin beliau ingin mendapatkan beberapa penjelasan daripada aku. Syak wasangka itu bertambah kerana beberapa bulan sebelumnya aku menganjurkan Bengkel Pengajian Melayu yang khusus membicarakan tentang Gagasan Persuratan Baru. Penceramahnya Encik Mazri Ab Rahman dari IPG Kampus Kota Bharu.

Oleh sebab aku tidak pernah bertemu dengan beliau, maka aku mengajak Leo A.W.S dan Encik Mazri Ab Rahman menemani. Ada dua sebab aku mengajak mereka. Pertama, sebagai teman iringan. Dengan kehadiran teman iringan, perbualan akan jadi lebih mesra. Kedua, aku sebenarnya tidak arif tentang nama-nama tempat dan laluan di Kelantan. Aku lebih arif bandar raya Kuala Lumpur atau Seberang Prai (juga Kulim + Lunas) daripada negeri Kelantan. Aku hanya dilahirkan di Kelantan, tetapi dibesarkan di Dungun. Kelantan hanya jadi persinggahan ke rumah saudara-mara sahaja.
 

Khamis, 18 November 2010

Hari Raya Qurban

Segak yang terpaksa berkorban demi keseronokan manusia

Aku sering bertanya dalam hati: Apakah betul nama 'Hari Raya Qurban?' Aku faham 'hari raya' sebagai hari keseronokan kerana akan membeli baju baru, keluar baru dan kasut baru. Pada hari itu aku dapat makan masakan yang sedap-sedap. Tidak seperti pada hari-hari biasa, aku akan bertandang ke rumah demi rumah dan setiap rumah itu pula akan memberi aku makan atau duit.


Berakhirnya riwayat seekor lembu
Walaupun sering ibu beli baju putih, namun keseronokan tetap terasa. Dan, baju itu bermanfaat pada hari-hari seterusnya.

Namun, aku kurang faham sebab dinamakan 'qurban.' Sebab, aku lihat pada hari itu, baik kanak-kanak mahupun orang dewasa, semuanya gembira merainya.


Isnin, 15 November 2010

Baru dan Baharu

Maklumat daripada FB Abdullah Hassan memberitahu bahawa keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka pada 16 Ogos 2010 dan disahkan pada 8 November 2010 memperakui ejaan 'baru' dan 'baharu' adalah variasi bahasa yang boleh diterima pakai. 

Menurut keputusan mesyuarat, perbezaan ejaan itu tiada fungsi makna dan fungsi nahu.

Demikian juga dengan ejaan 'tuk' dan 'tok' sebagai nama khas adalah dibenarkan. Misalnya, Tuk Penghulu atau Tok Penghulu, adalah sama dari segi makna dan nahunya.

Namun begitu, penggunaannya, khususnya dalam penulisan, perlu konsisten. Kalau menggunakan ejaan 'baru' digunakan ejaan 'baru' seterusnya, kalau guna ejaan 'baharu' maka guna ejaan 'baharu' semua sepanjang penulisan berkenaan.

Ahad, 7 November 2010

Bahasa Malaysia Bahasa Rojak

Istilah bahasa Malaysia (bM) lahir pada zaman moden, iaitu zaman setelah wujud negara Malaysia. Malaysia lahir pada 16 September 1963. Namun, pada masa ini masih digunakan istilah bahasa Melayu (BM). Hal ini kerana sememangnya gelaran tersebut ialah BM.

Kelahiran istilah bM ada kaitan dengan inspirasi negara Malaysia, khususnya Perikatan. Hal ini pula berkaitan dengan peristiwa hitam negara, iaitu Peristiwa 13 Mei 1969 (P13). Selepas P13, kerajaan Perikatan mula mengisytiharkan perubahan nama daripada BM kepada bM. Hanya satu sahaja tujuan besar perubahan itu iaitu demi untuk mencapai perpaduan antara kaum di Malaysia.

Selasa, 26 Oktober 2010

BBK kelate

Tahniah DBP dan pihak SUK negeri Kelantan yang menganjurkan BBK 2010 peringkat negeri Kelantan. Ini bukan kali pertama kerjasama sebegini dihulurkan oleh kedua-dua pihak kerana pada tahun lepas (2009) pun berlangsung dengan meriah.

Pada tahun lepas BBK dirasmikan oleh Menteri Besar, TG Dato' Nik Aziz. Tahun ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri Besar pula.

Kalau tahun lepas Prof. Dr Teo yang jadi pemidato. Pada tahun ini, Prof. Emi. Dr Nik Safiah pula jadi pemidato. Kandungan pemidato kedua-duanya amat menarik. Prof. Teo mendedahkan citra bahasa semasa dalam kalangan masyarakat. Manakala, Dr Nik Safiah menjelaskan perihal jenama bahasa Melayu yang sering dikelirukan dengan bahasa Malaysia.

Sebenarnya istilah bahasa Malaysia tidak perlu.  Tidak ada dalam sejarah bahawa bahasa dinamakan sempena nama negara. Hanya mereka yang ada muslihat politik dan kurang faham melakukannya. Mereka lupa undang-undang yang digubalkan. Lantas, mereka sendiri melanggarnya. Mereka lupa bahawa bahasa identiti negara. Oleh sebab itu, mereka 'memperkosakannya.' Inilah pengkhianat bahasa Melayu.

Kalau bahasa dinamakan sempena nama negara, makan akan kacau bahasa itu. Katakan Kerajaan Burma menamakan bahasanya sebagai Bahasa Burma. Apabila nama negara Burma ditukar kepada Miaymar, maka istilah Bahasa Burma juga akan ditukar kepada Bahasa Miaymar. Katakan, nama Miaymar akan ditukar sekali lagi, maka akan bertukar lagi nama bahasanya. Kalau demikian, di manakah hebatnya bangsa mereka? 

Memang susah berurusan dengan orang berkuasa yang tidak reti bahasa.

Ada beza bahasa Melayu dengan bahasa Malaysia. Nanti akan saya jelaskan.

Isnin, 25 Oktober 2010

Bekwoh (Sajak Loghat Kelate)

ghamai-ghamai pakat kelilin
dok cokoh hiris dagin
bele-bele kecek tanya kaba
brusul asal hok tadok puco
kalu susoh pakat ghoyat cagho
hokni buat laguni hoktu buat lagutu
situ ado goni denu ado gotu
bele hiris bele kecek
habis licin lembu sekor

oghe tino kat dapor
hiris bawe tumis awah
basoh dagin basoh begras
buat sirap bele-bele siup api
buboh krisik nga siyor masuk hidung
bresin tak brenti
“bakpo tu,” tanya oghe luar
“awah masok hidung,” jawab oghe dapor

tepi ghumah bawoh pohon jambu
tok imen tok siok tok ngulu
dok kelilin kawah
kucau ghulai kogreh begras
denga sendok pelepoh nyor
ada dok holor kayu
usik bara biar nyala
api kecik takut nasi metah

budok-budok dok kelilin
pokok pise pokok nako
main decok main nusuk
belago spila jago adik
hok buas-buas
dok rukas pohon kayu
dok bruga kelilin tuku

atah ghumah anak daro
pakat buat bunge telo
bunge manggar
pasan lasir pasan cada
suson bare atah neka

sronok oghe kapong bekwoh
pagi pete siye male dok buat kerja
tak srupa banda
tibe-tibe cokoh basal nikah
senyak-senyak sapa kad
ajak make ghula
kalu saklah lambat sapa
tinga bekas tinga apas.


NASSURY IBRAHIM
6 Ogos 2005

Jumaat, 22 Oktober 2010

Tahniah Kepada Zaen dan Zakir

Sekalung tahniah kepada Zaen Kasturi kerana diisytiharkan sebagai penerima anugerah Sea Write Award 2010 anjuran kerajaan Thailand. Zaen Kasturi dikenali dalam genre cerpen dan sajak, merupakan antara penulis generasi baharu yang menonjol selepas Hizairi Othman. Zaen Kasturi atau nama sebenarnya, Zainal Palit, turut juga menulis dalam genre novel, esei kritikan dan rencana. Walau bagaimanapun, pada saya, Zaen Kasturi lebih menonjol dalam genre cerpen. Namun begitu, beliau mempunyai identiti tersendiri dalam genre sajak. Sajak-sajaknya dipersulitkan oleh pendayagunaan bahasa dan kata-kata arkaik.

Dan, tahniah juga kepada SM Zakir kerana diisytiharkan sebagai penerima anugerah Penulis Muda MASTERA 2010. SM Zakir, anak Sasterawan Negara, S. Othman Kelantan, mula bergiat dalam penulisan sekitar awal tahun 1990-an. Bermula dengan niat untuk 'mengacau' gaya karya-karya yang sedia ada telah mula berubah perlahan-lahan menjadi lebih historikal dan absurd. Sesekali ternampak gaya surrealis mewarnai karyanya. Walaupun Zakir menulis dalam genre sajak, novel, esei kritikan, namun ketokohannya lebih terserlah dalam genre cerpen.

Sekali lagi, tahniah kepada kedua-dua sahabat saya ini. Kejayaan anda menjadi perangsang kepada kami.

Rabu, 20 Oktober 2010

Sesi Bersama Penulis

Pusat Sumber, IPG Kampus Kota Bharu menganjurkan Sesi Bersama Penulis Maniyamin Ibrahim bertempat di Ruang Legar Pusat Sumber. 

Sesi yang diadakan sepanjang 26 September - 15 Oktober 2010 menyediakan ruang untuk berbincang dengan penulis dan menatap hasil penulisannya.

Acara pameran kemudian dilanjutkan oleh Jabatan Pengajian Melayu sehingga 31 Oktober 2010.


Sebahagian hasil-hasil karya Maniyamin Ibrahim

Maniyamin Ibrahim merupakan kakitangan Jabatan Pengajian Melayu, menulis dalam pelbagai genre kesusasteraan seperti sajak, cerpen dan esei kritikan.

Tujuan sesi dan pameran untuk mendedahkan kepada warga IPG-KKB tentang cara dan teknik penulisan yang betul dalam menghasilkan sesuatu karya atau penulisan.  

Ahad, 17 Oktober 2010

Nasib Bahasa Melayu di Bumi Melayu

Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee
SAYA amat musykil kenapa kita perlu menyambut bulan bahasa kebangsaan peringkat kebangsaan, satu bahasa yang sedia termaktub dalam perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan yang mesti dikuasai oleh setiap rakyat Malaysia tanpa berkecuali.


Kenapa perlu kita mengadakan program sebegini setelah 53 tahun merdeka? Tidakkah tanggungjawab asas ini mesti difahami dan perlu dipikul oleh setiap rakyat Malaysia? Kenapa baru hari ini kita mahu kuatkuasakan iklan dan papan tanda dalam bahasa Melayu? Tidakkah kita merasa jelek selama ini melihat papan-papan tanda menggunakan bahasa yang pelik-pelik? Sebenarnya, kita tidak sensitif dengan identiti atau jati diri kita sendiri. Kita rasa lebih berlagak kerana dapat memahami bahasa (budaya) orang lain daripada bahasa (budaya) bangsa sendiri.

Sabtu, 16 Oktober 2010

Mansuh PTK

Antara saranan dalam Belanjawan 2011 oleh DS Mohd Nijib Tun Abdul Razak ialah mansuhkan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dikenakan kepada penjawat awam.

Sebagai penjawat awam, saya menyambut baik langkah tersebut. Sebilangan penjawat awam yang ditemu bual oleh stesen televisyen juga menyokong.

Pemansuhan itu disokong kerana beberapa sebab. Antaranya, pertama, berlaku diskriminasi penilaian oleh pihak majikan; Kedua, berlaku penyalahgunaan kuasa majikan; Ketiga, sukar untuk naik pangkat; Keempat, Gaji penjawat muda akan mengatasi gaji penjawat lama; Kelima, adalah sukar bagi penjawat awam membaca (memang malas membaca pun) dan mengingati maklumat yang dibaca; Keenam, membazir masa dan tenaga untuk pergi menduduki peperiksaan; Ketujuh, seakan ada kuata untuk memperoleh tahap lebih tinggi; Kelapan, ada kecederungan oleh pihak tertentu untuk menjalankan 'perniagaan PTK'; dan Kesembilan, penjawat pasif boleh menikmati gaji lebih tinggi daripada penjawat aktif.

Jumaat, 15 Oktober 2010

Tai

Pertama kali aku memakai tai ialah semasa belajar di SMT Intan Zaharah. Pengetua masa itu, Encik Abdul Rahim Tahir, mewajibkan guru dan pelajar, mengikat leher masing-masing. Termasuk aku, pelajar tingkatan dua, belajar di sesi petang.

Sabahagian tai dalam simpanan aku
Pelajar sesi petang memakai seluar pendek. Aku, antara pelajar lelaki, yang memakai seluar pendek dan bertai. Aku rasa cukup bergaya. Aku menyukainya, walaupun terpaksa memakai tai di tengah panas cuaca.

Ada kalanya aku memakai ekor tai di hadapan dan menyembunyikan bahagian depannya dalam baju. Ada kalanya aku memakai bahagian hadapannya sesingkat mungkin.

Isnin, 11 Oktober 2010

Hilang Buku

Keadaan di meja aku
Sejak tiga minggu lepas, aku tercari-cari manuskrip yang aku judulkan 'Pengantar Kesusasteraan Melayu untuk Pelajar PPISMP.' Manuskrip itu merupakan nota kuliah untuk Semester 2 PPISMP. Dalamnya telah terconteng-conteng kerana bakal ditokoktambahkan. Apabila mahu menambahkannya, tiada dalam simpanan pula. Baru semester lepas aku guna. 

Buku kedua tidak dapat dikesan, kumpulan sajak terbaharu Awang Abdullah. Dalamnya ada maklumat tentang derklamasi Sajak. Aku mahu guna sebagai rujukan untuk kuliah, bersama-sama maklumat dari Prof. Rahman Shaari dan Dr. Lim Swee Tin. Pun, tidak dapat dikesan.

Meja-meja pensyarah di jabatan
Terbaharu, buku Sastera Bandingan pula tidak dapat dikesan. Baru dua atau tiga minggu lepas ada, dah tiada. Buku itu dipinjam dari perpustakaan IPG. Tempoh masa pinjam pun dah hampir tamat. Nampak gaya kena beli buku baharu sebagai ganti.

Sudah puas cari, tidak jumpa. Cari kat meja di jabatan, tak jumpa. Cari kat rumah pun tak jumpa. Entahlah. Mungkin ada orang pinjam tidak beritahu. Mungkin dikebas oleh seseorang. Mungkin disorok oleh hantu. Mungkin tersalah letak. Mungkin, mungkin, mungkin ... entahlah!

Isnin, 4 Oktober 2010

Viva

Dam! bunyi meja Prof. Ahmad Pengalaman. 

Serentak itu juga tersambut  "keok! keat!" bunyi kerusi peserta. Ada yang terduduk jatuh di lantai. Ada yang terkangkang menahan kerusi daripada jatuh. Dan, ada yang terpelanting pen di tangan, jatuh terpacak atas kepala rakan di sebelahnya. "Aduh!" kata rakannya itu.  

Tidak kurang juga yang terbunyi "hah!"  Semuanya gara-gara terkejut mendengar bunyi tumbukan meja oleh tangan Prof. Ahmad Pengalaman. Mukanya macam udang disambar api.

Isnin, 27 September 2010

Wah, Bagusnya! Apa yang Bagus?

Seorang kawan lama bertanya, "Engkau kerja di mana?" "Di IPG," jawab aku. "Wah, bagusnya!" katanya, dalam senyum mesra. Entah ikhlas entah tidak. Aku membalas, "Apa yang bagusnya?" "Yalah. IPG mahu bertaraf dunia dan melahirkan sistem pendidikan bertaraf dunia?" "Begitulah harapan saya," kataku.

Dia bertanya lagi, "Kenalkah Prof. Ahmad Pengalaman?" Kataku, "Siapa tidak kenal."

Program Motivasi Pemantapan Insaniah

Separuh hari ini aku berada di SK Demit 2 kerana program di atas. Program ini anjuran pelajar PISMP (BM/PJ/MU) ambilan Januari 2010. Aku tutornya, bersama Pn. Idawati. 

Program ini bertujuan (a) meningkatkan semangat semangat motivasi bagi melahirkan pelajar yang lebih kompeten, (b) memupuk semangat kerjasama dalam kalangan pelajar, (c) menerapkan nilai-nilai murni dalam diri pelajar, dan (d) memberi kesedaran mengenai pentingnya unsur kasih sayang dalam diri setiap insan.
Yang lebih penting daripada tujuan di atas ialah memberi pendedahan kepada tutee aku tentang alam guru dan pengurusan pendidikan. Nampaknya mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan murid pun seronok mengikuti aktivitinya. 

Guru-guru pun, Guru Besar dan guru-guru SKD 2 memberi kerjasama yang sangat memberangsangkan. 

Ahad, 26 September 2010

Dr Lim Swee Tin

Selamat bersara kepada Dr Lim Swee Tin. Selamat menjalani kehidupan baharu, yang pasti akan ditempuhi oleh sesiapa sahaja yang pernah bekerja makan gaji.

Gambar ini saya ambil sewaktu kami di Hatyai pada tahun 2009.

Saya banyak belajar tentang penulisan sajak , sama ada langsung mahupun tidak langsung, daripada Dr Lim. Beliau merupakan antara penggerak aktiviti penulisan sajak, dan sangat akrab dengan Awang Abdullah.

Rabu, 22 September 2010

Terselamat kerana Doa Anak Yatim

Namaku Shafien Mamat. Ini adalah cerita benar yang saya hadapi. Cerita ini dialami oleh kawan saya bernama Roshaizad. Dia berusia 38 tahun, mempunyai seorang isteri yang cantik dan baik hati, berusia 32 tahun. Bekerja sebagai suri rumah-tangga sepenuhnya. Mereka dikurniakan dua orang anak lelaki. Yang sulung berusia lapan tahun, manakala yang bongsu berusia tiga tahun. Dia  bekerja di sebuah syarikat antarabangsa sebagai maintenance engineer, di samping itu, dia memegang jawatan sebagai penyelia Emergency Responce Team ( ERT ) di kilangnya. Tugasnya agak sibuk. Adakalanya dia berkerja sehingga lewat malam, dan juga pada hujung minggu. 

Pada bulan Januari 2009, dia terlibat dalam kemalangan jalan raya, sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja. Masanya sekitar jam 7.30 pagi. Kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah van kilang sewaktu dia cuba memotong sebuah van kilang di dahapannya, di sebuah selekoh di Gurun, Kedah.

Isnin, 20 September 2010

Sultan Muhammad V

Allahu akhbar. Daulat Tuanku, Sultan Muhammad Faris Petra, sebagai as-Sultan Kelantan yang baharu, dengan gelaran Sultan Muhammad V. Patik amat berbesar hati apabila Tuanku dimasyhurkan sebagai Sultan kelantan pada 12 Ogos 2010.

Sebagai rakyat, tentulah patik mempunyai harapan tinggi dan suci agar pemerintahan Tuanku kekal berlandaskan agama Islam, sebagaimana cinta Tuanku terhadap agama Islam. Allahu akhbar. Sejuk hati patik apabila melihat Tuanku mengimami solat hajat memohon royalti minyak diberikan kepada rakyat Kelantan. Tuanku juga sering ke masjid-masjid di seluruh Kelantan, dan tidak 'mendera' jemaah masjid.

Patik juga berharap rakyat Kelantan terus mendapat keadilan dan pembelaan. Tiada lagi tangan-tangan ghaib yang membunuh secara senyap rasa bahagia dan aman rakyat Kelantan. Patik berharap, Tuanku akan menjadi raja berdaulat sebagaimana daulat raja-raja terdahulu yang patik dengar daripada cerita mulut orang tua-tua dan dalam sastera sejarah.

Pada pengetahuan patik, Tuanku satu-satunya sultan moden di tanah air bernama Malaysia yang memimpin barisan solat. Tuanku benar-benar seorang sultan yang bertakwa. Patik berharap amalan itu terus kekal pada jiwa Tuanku, dan alangkah bahagianya patik mempunyai sultan yang bertakwa. Semoga Allah terus memelihara dan melindungi Tuanku dan rakyat Kelantan. Amin.

Ahad, 19 September 2010

Selamat Datang, Perkasa

Selamat datang Perkasa. Saya tak kenal anda. Nama pun baru saya tahu, dari perlakuan  YB Ibrahim Ali. Walau tak kenal saya rasa selamat dengan adanya Perkasa. Ah, apa nama sebenar Perkasa?

Sebelum ini saya pernah dengar Pekida. Siapa Pekida pun saya tidak tahu. Tidak pernah ambil peduli. Itu kerja orang tua-tua.

Sebelum ini pun saya pernah dengar beberapa NGO membela Melayu. Tapi, timbul sekejap tenggelamnya lama. Saya tak peduli, semacam saya tidak peduli pada Perkasa, pada Perkida.

Saya fikir, sekarang ini, antara Perkasa dengan Umno, dengan PKR atau dengan PAS, lebih baik Perkasa kot. Walau bagamanapun, PAS lebih tetap pendirian. Perkasa belum tahu lagi. Umno? Macam perahu hanyut. Papannya licin. Kemudinya patah.

Kalau Perkasa mahu bela orang Melayu, ya silakan. Umno sudah tidak berdaya. Banyak hak Melayu hilang di tangan Umno. Nak lawan Gerakan pun tidak terdaya. Macam orang jumpa  Datuk Peguam. Asal jumpa, hilang. Asal jumpa, hilang.  Isteri dan anak-anak menangis tak dipedulikan. Tak ada pula orang menyiasatnya, mengapakah demikian?

Ahhh ... apapun, selamat datang, Perkasa. Semoga anda bukan perahu hanyut.

Sabtu, 18 September 2010

Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia

Aku berpendapat, Hari Kebangsaan (31 Ogos) dan Hari Malaysia (16 September) merupakan dua hari paling penting bagi negara berdaulat Malaysia. Dua hari ini merupakan tanda dan petanda akan sikap pemimpin dan rakyat terhadap negaranya. Walaupun 'seliar' mana pemimpin dan rakyat Malaysia, mereka mesti menghormati dan mencintai makna di sebalik dua hari itu. Jika mereka tidak menghormati atau memberi ruang untuk sesiapa menghormatinya atau menunjukkan rasa cinta terhadapnya, maka orang berkenaan boleh dianggap penjarah negara. Ganasnya melampaui Datuk Peguam.

Khamis, 16 September 2010

Menunggu Kelahiran Buku

Pada tahun 2010 ini, aku menunggu dengan rasa tidak sabar kelahiran dua buku. Pertama, buku kumpulan sajak, dan kedua, buku kumpulan esei. Kedua-dua manuskrip buku ini aku hantar kepada Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Manuskrip kumpulan sajak telah lama aku hantar. Sekitar tahun 2004 / 2005. Aku menamakannya sebagai Tukang Sajak Menulis Sajak dan Bersajak. Setelah dinilai, sekitar tahun 2007, kumpulan itu dikembalikan, bersama catatan penilai, untuk diperbaiki dan membuat penambahbaikan. Berdasarkan gaya penulisan, aku berpendapat, manuskrip itu dinilai oleh sarjana sastera dalam bidang kritikan, bukan penyair. Aku rasa perempuan dan berkhidmat di USM. Beliau kritis, sesuai sebagai ahli akademik. Beliau tidak setuju dengan judulnya, membuang beberapa sajak dan membaiki beberapa frasa. Maka, aku terpaksa menukarkannya kepada judul baharu, Gelodak Rasa. Namun, subjudulnya masih kekal: Tukang Sajak; Menulis Sajak; dan Dan Bersajak.

Isnin, 6 September 2010

Siapa Mustar Bona


Memenuhi entri ini, diperturunkan catatan Mustar Bona, Koordinator Bendera yang mengetuai operasi mahu mengganyang Malaysia. Catatan graduan   Universiti Kristein Indonesia dan calon sarjana ekonomi ini memberitahu tentang sejarah hidup dan aktiviti dirinya. Pada saya, dia ialah graduan yang bekerja sebagai demonstran. Selamat membaca catatan peribadinya.


Khamis, 2 September 2010

Setuju Cadangan Mustar


Saya setuju dengan cadangan Koordinator Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera), Mustar Bona Ventura Manurung, agar kerajaan Indonesia membawa pulang semua rakyatnya di Malaysia, kecuali yang berkhidmat di kedutaan. Kita pun amat besar hati jika Mustar sendiri menguruskan membawa pulang rakan-rakan mereka. Tidak kiralah cara mana sekali pun, yang penting bawa balik semuanya. Kita pun sudah bosan memikul biawak hidup. Kerajaan Malaysia juga perlu menyahut permintaan Mustar ini. Bolehlah projek pemutihan dijalankan sekarang. Pemimpin-pemimpin lelaki, janganlah ditunggu-tunggu arahan daripada isteri baru hendak bertindak. Demikian, pemimpin wanita. Jangan tunggu arahan / restu suami baru hendak melaksanakan. Dan polis, di bawah kepimpinan baharu, bolehlah melaksanakan projek pemutihan kali kedua ini.

Isnin, 30 Ogos 2010

Belajar Dari Namewee

Namewee atau Wee Meng Cheng buat hal lagi. Dahulu dia pernah menghina lagu rasmi negara Malaysia. Kali ini dia dikatakan menerbitkan klip video yang boleh menyemarakkan api perkauman. 

Apakah klip video berkenaan tidak tersengaja?
Saya boleh percaya kalau kes pertama dahulu dibuat tanpa terfikir sensitiviti atau adab sebagai warga negara yang dihinakan lagunya. Untuk kes yang kedua ini, pada pandangan saya, adalah disengajakan. Mungkin beliau berasa bangga kerana terlepas daripada hukuman pada devian yang pertamanya. Kali ini, barangkali, dia mahu menguji kerajaan atau pihak keselamatan dalam menangani deviannya. Kalau benar, bererti beliau sengaja mencabar atau menghina negara.

Isnin, 23 Ogos 2010

Imam Tarawih

Tok-tok imam Malaysia tidak berguna. Tidak tahu memimpin solat terawih. Mereka hanya mampu memimpin solat fardu yang dua, tiga dan empat rakaat sahaja. Apabila mahu mengerjakan solat sampai lapan rakaat, mereka tidak mampu. Maka diserahkan kepada orang lain memimpin solat terawih. Barangkali tok-tok imam di Malaysia sudah tua baka belaka. Tenaga tidak kuat mengerjakan solat terawih. justeru, sekali lagi saya katakan, tok-tok imam di Malaysia tidak berguna sepenuhnya.

Isnin, 16 Ogos 2010

Sebuah Muzium Melayu

Rumah ini dirakam di Penanti,
lambang kemiskinan di P. Pinang
Kini sudah sampai masanya kerajaan membina sebuah muzium khas untuk orang-orang Melayu. Dalam muzium itu boleh diisi dengan segala macam, fizikal dan mental, tentang orang Melayu. Hal ini kerana, kian hari, orang Melayu kian pupus dan terpinggir di Tanah Melayunya sendiri. Tempat yang paling sesuai ditempatkan muzium itu ialah di Pulau Pinang. Saya namakan 'Muzium Melayu.'

Pulau Pinang dipilih kerana sesuai dengan nasib yang dialami oleh orang Melayu, khususnya orang Melayu di Pulau Pinang. Mereka kian terpinggir dan terhesot ke dalam laut. Sejak tahun 1970-an sudah ada perbincangan nasional tentang keterpinggiran orang Melayu di Pulau Pinang. Keterpinggiran itu terus berlaku dan kian membesar, sama ada di bawah kuasa Barisan Nasional mahupun Barisan Pakatan Rakyat.

Ahad, 15 Ogos 2010

Wang Dinar Emas

Aku sokong Kerajaan PAS Kelantan memperkenalkan Wang Dinar Emas di Kelantan. Lagipun, wang itu wang pilihan. Pembeli dan penjual boleh memilih untuk berjual-beli dalam mata wang kertas atau Wang Dinar Emas. Wang kertas Bank Negara Malaysia (BNM) masih laku dan halal digunakan di Kelantan.

Aku tidak dapat terima alasan Dr Awang Adik Hussein (Berita Minggu, 15 Ogos 2010) dan Mustaffa Mohamad (Sinar Harian, 15 Ogos 2010) yang menganggap Kerajaan PAS Kelantan melanggar undang-undang (BNM) apabila memperkenalkan Wang Dinar Emas di Kelantan. 

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang

Dua minggu lepas, pejabat aku mengadakan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC). Seperti biasa memang timbul rasa tidak puas hati terhadap penerima. Apapun, pada padangan aku, kalau berlaku kesilapan, ia bukan salah penerima. Sebaliknya, penilailah (pihak pentadbir) yang silap kerana tidak perihatin sehingga orang yang sama menerima dalam masa terdekat.  Atau, orang yang tidak layak menerimanya.

Aku tidak pernah menerima APC, cuma hampir menerima sahaja. Aku ada cerita yang boleh dikongsi akan kebejatan pemberi APC.   

Khamis, 12 Ogos 2010

Pemikiran Kemala dalam Kumpulan 'Ayn: Satu Pembicaraan Menjadi Penyair Bertakmilah

Pengenalan
Tulisan ini dimulai dengan petikan sajak Awang Abdullah berjudul “Sebatang Mancis.”
Setiap hari
beribu orang menulis sajak
tapi tanyalah
berapa orang yang memahami sajak
atau lebih baik
membuat kesimpulan sendiri
bahawa sajak
hanya batang-batang mancis
yang patah
dan penyair
hanya punting-punting rokok
di kaki lima
Sajak ini mendedahkan pemikiran Awang Abdullah. Memang ramai yang ingin menjadi penyair. Malangnya, tidak ramai yang berjaya menjadi penyair. Dalam sedikit itu, tidak ramai pula menepati ciri-ciri penyair bertakmilah (sempurna). Tidak bernilai di sisi masyarakat dan tidak bernilai di sisi agama. Penyair demikian umpama punting-punting rokok di kaki lima.

Menyedari hal tersebut, tulisan ini berusaha meneroka pemikiran takmilah (pengindahan dan penyempurnaan insan) dalam sajak. Untuk itu, sajak-sajak Kemala dalam kumpulan ‘Ayn telah dijadikan bahan kajian. Pemilihannya berasaskan pengiktirafan umum terhadap Kemala sebagai penyair Islam dan ‘Ayn sebagai kummpulan sajak berunsurkan Islam

Rabu, 11 Ogos 2010

Empat Penyair Gema


Pengenalan
Saya tidak pasti bilakah Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (Gema) ditubuhkan. Seingat saya, sewaktu saya mengikuti aktiviti kesusasteraan di Kelantan pada pertengahan dekad 1980-an, Gema telah ada. Seingat saya juga, pada masa itu, Gema dipimpin oleh Zainal Abidin Muhamad. Dan, saya sendiri sempat  mengikuti beberapa aktiviti Gema, di samping aktiviti dianjurkan oleh Persatuan Penulis Kelantan (PPK), Persatuan Penulis Tumpat (Pesisir), Persatuan Penulis dan Seniman Kelantan (Puspa), Rumpun Seni Melayu Kelantan (RSMK). Setelah dua puluh tahun meninggalkan Kelantan, dan setelah kembali ke Kelantan (tahun 2008), saya dapati Gema masih dipimpin oleh Zainal Abidin Muhamad. Justeru, saya menganggap Zainal Abidin Muhamad merupakan antara segelintir aktivis yang lama memimpin persatuan penulis. Kelamaan ini tentulah dipertahankan oleh bakat kepimpinan dan keupayaan Zainal Abidin Muhamad menggerakkan aktiviti persatuan sehingga Gema menjadi persatuan penulis yang beridentiti. Ini bererti, Zainal Abidin Muhamad adalah Gema dan Gema adalah Zainal Abidin Muhamad.

Selasa, 10 Ogos 2010

Sasterawan Melayu susah


Oleh Aznan Bakar (aznan.bakar@utusan.com.my)
Bercakap tentang sastera Melayu seolah-olah ia sudah tidak ada masa depan. Dengan perkembangan dunia Internet karya sastera sudah tidak dihiraukan.

Sasterawan yang pernah menghasilkan karya-karya besar, yang pernah dipuja dan disanjung satu ketika dahulu kini tidak lagi mempunyai peranan dalam masyarakat.

Malah karya mereka semakin dilupakan. Kalau dianggap menjadi hiasan pada rak-rak buku di institusi pengajian tinggi sudah boleh dikira bertuah.

Tetapi untuk melihat ia dijual di kedai-kedai buku ternama jangan harap sangat. Mungkin pada sesetengah orang, karya sasterawan tempatan ini terutama yang dihasilkan pada zaman sebelum merdeka dan awal kemerdekaan tidak ada nilai komersial. Jadi tidak guna ia diulang cetak dan diberi layanan istimewa oleh kedai-kedai.

Malang Gaza dan Sial Mesir


Ini emel yang saya terima daripada Mohd Azle Lee, tentang sikap Mesir dan nasib malang Gaza. Anda baca dan fikirlah sendiri
 
"Semalam Razali Awang, pemberita TV3 yg pergi ke Gaza baru-baru ni, datang ke my company tu share his experience. Persatuan Islam Pekerja yg anjurkan. Razali ni tiap kali dia bercerita, mesti tersekat2 sebab dia kata dia tak dpt lupakan pengalaman yg dia akan kenang smpai mati. I ada things yg nak share yg buat I tak boleh tido mlm tadi: Mesir

Isnin, 9 Ogos 2010

TEKS UCAPAN SEMPENA KONVOKESYEN IPG – KKB KE - 47


Teks di bawah merupakan teks ucapan yang aku karang untuk orang berkenaan baca dalam ucapan perasmiannya.


1. Pertamanya marilah kita mengucapkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita dapat berkumpul di Dewan Wawasan pada hari yang sangat berbahagia ini untuk meraikan kejayaan para graduan. Sudah pasti para graduan berasa amat gembira kerana di majlis ini saudara-saudari akan dinobatkan sebagai guru permulaan yang bertauliah. Sebenarnya, kejayaan para graduan itu adalah juga kejayaan kita sebagai ibu bapa, pensyarah, kakitangan IPG dan keluarga IPG  Kampus Kota Bharu, serta sanak-saudara yang sama-sama hadir di dewan yang indah ini.  Saya mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua graduan yang bakal menerima diploma dan sijil masing-masing sebentar nanti.

Ahad, 8 Ogos 2010

Perpaduan Melayu

Apabila mufti Perak menyarankan agar orang Melayu bersatu, timbul pertanyaan: Apakah orang Melayu tidak bersatu? Pertanyaan ini basi sebagaimana isu ini juga basi.

Saya rasa bosan apabila mendengar orang politik bercakap tentang bersatu, sedangkan kita tahu bahawa dirinya sendiri tidak amal nilai bersatu yang dilaungkan itu.  Sejak saya di sekolah rendah hingga ke universiti, dan kini sudah bekerja - isu bersatu inilah yang dijaja sehingga naik muak mendengarnya. 

Sabtu, 7 Ogos 2010

HADIAH SASTERA MALAYSIA (1971 - 1989)


Pengenalan
Penubuhan Hadiah Karya Sastera (kemudiannya dikenali sebagai  Hadiah Sastera Malaysia (HSM). Selepas ini ditulis HSM sahaja ) dalam dekad 1970-an telah merancakkan lagi perkembangan kesusasteraan Melayu moden, di samping peranan yang dimainkan oleh akhbar dan majalah. Para penulis menganggap HSM sebagai hadiah kesusasteraan paling berprestij dalam dekad 1970-an. Mereka juga menganggap HSM sebagai pengiktirafan paling bermakna daripada kerajaan Malaysia. Walaupun HSM dalam dekad 1980-an  menduduki tempat kedua selepas Anugerah Sastera Negara, namun HSM masih menjadi kebanggaan. Di kalangan penulis, mereka menganggap HSM sebagai tiket pengesahan dan pengiktirafan kepada penglibatan mereka sebagai pengarang  kesusasteraan.