Khamis, 25 Februari 2010

PENYAIR WANITA

Kawan saya, Shamsudin Othman, dalam satu ceramahnya mengatakan bahawa Johor tandus penulis (puisi) wanita. Saya setuju. Sebenarnya, bukan Johor saja yang tandus penyair wanita. Negeri-negeri lain juga menerima nasib yang sama.

Memang ramai kaum wanita minat jadi penulis. Tetapi, minat mereka tidak kesampaian. Dalam pertemuan persatuan penulis, kaum wanita mendominasi. Misalnya, dalam aktiviti Bengkel Penulisan Sajak anjuran Arpipi di Besut, pada 13 Februari 2010 (di bawah En.Nawawe Mohamad dan Dahri Zakaria), terdapat sekitar 20 orang peserta. 17 orang ialah wanita.

Malangnya, majoriti penguasaan wanita dalam aktiviti persatuan untuk menjadi penulis tidak bertahan lama. Mereka yang berjaya menjadi penulis pun belum tentu dapat bertahan sebagai penulis. Di Kelantan, pada masa kini, hanya Zanazanzaly dan Rozais sahaja yang masih bertahan. Nasib Rozais belum tentu lagi. Kalau ikut adat penulis wanita, Rozais pun bakal berehat.

Musuh utama kaum wanita gagal jadi penulis ialah perkahwinan. Ini bukan bererti saya menentang perkahwinan anda. Kahwinlah. Lebih baik berkahwin daripada membujang untuk jadi penulis. Berkahwin dapat menyelamatkan wanita.

Kebanyakan penulis wanita yang berjaya ialah mereka yang hidup membujang. Namun ada juga wanita yang berkeluarga turut berjaya menjadi penulis terkenal. Syabas saya ucapkan. Antara penyair wanita terkenal tanah air ialah Zurinah Hassan, Zaihasra, Siti Zainon Ismail, Khadijah Hashim, Mahaya Yassin, Salmiah Ismail.

Apapaun, yang penting pada saya, kehadiran anda yang sebentar atau yang lama dalam dunia penulisan, biarlah berbekas. Antara cara meninggalkan bekas ialah menghasilkan kumpulan puisi sendiri dan disebarkan.

Sabtu, 20 Februari 2010

KAH! KAH! KAH!


KAH!, KAH!, KAH!, 

GeLi hATi membaca berita akhbar hari ini. Kepala tiba-tiba teringat pada tulisan Nassury Ibrahim dalam eseinya bertajuk, "Sinisme Sajak-Sajak Baha Zain" (Dewan Sastera, 2004). Katanya, "Bagi menunjukkan nilai moral yang tinggi itu, SPR tubuh badan siasatan sendiri untuk menyiasat diri sendiri." Dan kemudian menghakimi diri sendiri.

KAH!, KAH!, KAH! KEH!, KEH! KEH! KUH! KUH! KUH!

Hei, jangan engkau bERgELi HaTi! Itu tandanya sejarah hitam telah kembali, dan bangsamu akan mati dikekah se-forcuri. 

OH!

EEE, EEEE, EEEEEEEEE ... (menangis).

Jumaat, 19 Februari 2010

AAHHHHH ... BOHONG!

Seseorang menipu bukan kerana dia mahu menipu seseorang yang lain, tetapi kerana seseorang yang lain itu meminta seseorang menipu dirinya. Sangat aneh mendengar ayat ini. Namun, itulah hakikatnya. Saya sering diminta menipu dirinya.

Sering saya berdepan: Apabila saya berkata benar kepada seseorang, maka seseorang itu menjawab, "Ah, bohong!" 

Ini bererti orang itu tidak mahu mendengar kata-kata benar. Padanya, kata-kata benar dianggap bohong dan penuturnya dianggap pembohong @ penipu. Sebaliknya, orang itu meminta kita bercakap bohong kerana kata-kata yang bohong itu dianggap benar dan betul. Maka, pada pertemuan seterusnya kita terpaksa bercakap bohong dengannya kerana pembohongan itu dianggap benar. Kita diterima sebagai sahabat yang benar.

Pernahkah anda berdepan dengan orang bersikap begini?  Saya sering. Tetapi, saya tidak dapat bercakap bohong @ tipu sebab saya dilatih agar tidak berbohong atau menipu.

Ini merupakan satu penyakit sebenarnya, iaitu penyakit tidak percaya pada kata-kata benar. Penyakit ini sedang membarah dalam minda dan jiwa masyarakat kita dan dalam pelbagai lapisan. Maka sebab itulah wujud pelbagai masalah sosial dalam masyarakat sebab orang tidak percaya pada kata-kata benar.

Misalnya, apabila anda bertemu remaja berpeleseran atau berduaan, anda pun berkata bahawa dalam berduaan itu ada iblis sebagai orang ketiga. Atau, perbuatan berdua-duaan itu boleh mengundangkan bencana kepada diri. Mereka akan berkata, "Ahhh ... bohong!"

Kita pun berlalu kerana malu dianggap pembohong.

Esoknya kita dikejutkan bahawa ada bayi dibakar atau dicincang atau dijumpai tertanam atau digonggong anjing. Apabila dibuat DNA, rupa-rupanya induk bayi itu datang daripada remaja yang pernah kita beri kata-kata benar.

Kata benar kita tidak jadi bohong, sebaliknya kata bohong mereka telah jadi benar.

Demikian apabila tujuh kes rasuah berprofail tinggi misalnya, ditutup fail siasatan kerana buktinya tidak cukup. Tidak cukup bukti bukan bererti tidak ada kes atau tidak ada bukti, tetapi buktinya tidak cukup. Dan, bukti tidak cukup itu mungkin datang daripada sumber yang bercakap benar kerana bercakap benar sudah dianggap bohong.

Maka kitapun menggubal undang-undang yang kononnya untuk mengelak daripada seseorang melakukan rasuah misalnya. Namun, dalam praktis kepercayaan yang kita amalkan ialah meminta seseorang bercakap bohong.

Apakah dengan cara mengetatkan undang-undang akan dapat membasmi jenayah penipuan? Pada saya tidak, malah makin menjadi-jadi dan membiak. Apalagi jika penyerunya datang daripada mereka yang tidak percaya pada kata-kata benar dan dirinya sendiri dipenuhi dengan kurap kejahatan dan kudis penipuan.

Kalau anda menyokong orang berkurapan, berkudisan dan tidak percaya pada kata-kata benar, bererti andalah sebenarnya musuh yang perlu dibasmikan. Walaupun orang berkurapan, berkudisan atau tidak percaya pada kata-kata benar itu berketurunan nabi sekalipun, orang itu tetap dianggap berpenyakit dan perlu dinyahkan. Dia musuh masa depan agama, bangsa dan generasi.

Rabu, 17 Februari 2010

AYAHKU POLITIKUS

Sejak ayah bergelar politikus, ibu kehilangan tiga orang anak. Mula-mula ibu kehilangan Along, dan kemudian Angah, dan kemudian Acik. Kini tinggal aku seorang sahaja, anak bongsu ibu dan ayah. Malangnya, aku tidak sesempurna Along, sesempurna Angah dan Acik juga.

Mulanya ibu tidak perasan kehilangan Along. Pun Angah. Maklumlah, ibu sibuk melayani tetamu ayah yang bertali-tali datang. Selebihnya, ibu mengekor ayah: Ke hulu ke hilir dan entah ke mana. Malam sudah keluar, dan malam pula baru balik. Ada kalanya, malam dan malam dan malam sesudahnya baru balik.

Along tidak pulang tiba-tiba. Tidak tahu ke mana dan apa sebabnya.

Dan kemudian, Angah pula. Mulanya berselang balik. Ada angin perubahan bertengek di atas kepala Angah. Angah tidak seperti Angah lagi. Pakai dan cakapnya entah apa. Angah hilang begitu saja. Pun ayah dan ibu tidak perasan. Berkali-kali aku cuba beritahu mereka. Malangnya, mereka tidak mengerti. Amah pula tidak berani memberitahu maksudku. Baru aku sedar, aku tidak punya suara.

Setelah Acik tidak pulang berminggu-minggu, barulah ibu perasan dia sudah kehilangan tiga orang anaknya. Ibu memberitahu ayah. Malangnya, ibu pula dimarahi. Ayah menuduh ibu tidak pandai jaga anak. Mereka bergaduh sakan. Ayah keluar sambil hempap pintu. Tiga malam baru ayah balik.

Sejak itu, aku lihat, wajah ibu tidak seceria dulu.

Namun ayah tetap ayah: keluar melayani sibuknya, kawan-kawannya. Pernah aku dengar kata pedih ayah: Biarkan Along, Angah, Acik pergi ke mana dan mahu jadi apa, asal kita berduit. Tanpa duit kita akan dihina.

"Mahukah you dihina-hinakan?" Mata ayat terbeliak memandang ibu. 

Suatu petang, ibu dan aku bersiar-siar sekitar taman. Ibu berhajat mengunjungi kawan-kawan lamanya. Setiap rumah dikunjungi jelas terbayang rasa kecewa di wajah ibu. Menurut ibu, kawan-kawan sejiran sudah lama tiada dan entah ke mana pergi. Rumah-rumah itu kini didiami wajah-wajah asing. Ada anjing besar menjaganya.

Ketika kami melangkah masuk ke laman rumah, seekor anjing liar tiba-tiba menerkam. Ibu nyaris digigit. Entah dari mana datangnya tiba-tiba. Dulu tiada. Mujur ibu sempat menggengam pasir dan membaling ke arahnya. Anjing break emergency. Kami cepat-cepat masuk dan kunci pintu.

Sebaik melangkah ke ruang tamu, sekali lagi kami terkejut melihat ayah berlumuran darah. Ada pisau terpancak di belakangnya. Ibu menjerit sambil berlari menerkam ayah. Ibu cabut pisau perlahan-lahan. Mujur luka ayah tidak dalam. Kami merawat luka ayah dengan Ubat Nenek.

Anehnya, sejak hari itu, tiada pula kawan-kawan ayah bertandang seperti selalu. Melawat atau minum-minum. Lama baru aku tahu. Kini ayah tidak berjawatan dalam partai lagi. Ayah kalah dalam pertandingan jawatan partai peringkat cawangan.

Kini, ayah tidak sesibuk dahulu lagi. Malah, berkawan dan dikawan pun ayah tidak betah lagi.

Kini ayah mulai teringat anak-anaknya. Mulutnya tidak henti-henti memanggil nama Along, nama Angah dan nama Acik. Pun rakan-rakan tetangga yang telah pergi. Kadang-kadang ayah menangis dan menyatakan kesalnya pada ibu.

Beberapa kali ayah keluar ke hulu ke hilir mencari Along, mencari Angah, mencari Acik. Namun, ayah tidak ketemu dengan mereka. Dan mereka juga tidak kembali. 

Suatu hari rumah kami dikunjungi beberapa orang pengawai bank. Mereka menghulur Notis Mahkamah dan minta kami pindah segera. Katanya, rumah ini telah dibeli oleh kawan ayah dari seberang.

Sejak itu kami menumpang tinggal di bawah jambatan.

Ya, sejak ayah bergelar politikus, ibu kehilangan tiga orang anaknya. Barangkali, buat selama-lamanya. 

Isnin, 15 Februari 2010

CERITA KAWANKU EBY

Semasa belajar di IPSI dulu, aku ada seorang kawan rapat. Namanya Abdullah bin Kling. Dia membahasakan dirinya Eby. Kami sama-sama opsyen dan dalam kumpulan G. Kursus kami ialah PSM: Sejarah / Pendidikan Seni.

Eby berasal dari Melaka. Dia ditempatkan di Asrama C (semester 1), sementara aku di Asrama D. Kedua-dua asrama ini berbentuk dom, memuatkan sekitar 20 orang. Di Asrama C ramai senior dari Melaka. Anehnya, Eby tidak suka senior dari Melaka. Aku tidak tahu sebabnya.

Aku mengajak Eby tinggal di Asrama D. Dia bersetuju. Malangnya, di Asrama D tidak ada almari lebih. Maka, kami pun berkongsi almari yang kecil itu. Setahun kami berkongsi almari. Memang aku serasi dengannya. Tambahan pula dia suka berjenaka. Dan, apabila kami pindah ke Asrama L pun, tahun berikutnya dan dua orang sebilik, kami masih sebilik.

Eby ada seorang buah hati di Melaka. Nama buah hatinya Rubiah. Dia memanggil Rubi sahaja. Eby mencantumkan namanya (Eby) dengan nama buah hatinya (Rubi) menghasilkan nama Ebyrubiku. Ada kalanya nama itu dipanjang menjadi Ebyrubirubiku. 

Cinta Eby kepada Rubi amat mendalam. Ini terbukti, selain menggabungkan nama, Eby tidak lupa menulis surat kepada buah hatinya itu. Menulis surat kepada kekasih memang biasa. Yang luar biasa dilakukan oleh Eby ialah menulis surat pada setiap hari dan pada setiap hari mengeposkannya.  

Setiap minggu pula Eby pulang. Setiap kali pulang, Eby akan bertandang ke rumah buah hatinya. Menurut Eby, pernah beberapa kali, ketika berada di rumah Rubi, dia sendiri menyambut surat yang dihantar oleh posman. Dan, menurut Eby lagi, pernah posman berkata kepadanya: "Saya hairan, setiap minggu Rubiah terima surat dan banyak pula." 

"Aku mengiyakan saja," kata Eby.

Pernah Eby berpesan kepada aku, " Kalau kau mencintai seseorang, tulislah surat setiap hari kepadanya. Tetapi," kata Eby mengingatkan aku. "Jangan lebih 45 perkataan."

"Mengapa?"

"Itulah buktinya cinta."

"45 saja?"

"Lebih 45 akan jemu. Kurang 45 akan rindu." Tegas Eby.

Satu kegemaran Eby ialah menulis nama cintanya - Ebyrubirubiku - di mana-mana. Dalam buku nota aku / buku rujukan aku, apatah lagi. Di mana saja berpeluang, Eby akan tulis - pada tiang asrama, pada cermin muka, pada daun pokok bunga, pada batang pohon. Malah, pada mesin keluar wang MyBank di bandar Tanjung Malim pun Eby tulis.

Di tangannya sentiasa ada marker pen.

Suatu hari, seorang pensyarah bernama Encik Ahmad Man (penasihat PBSM) telah masuk ke kelas kami. Kata Encik Ahmad Man, ada satu jenama barang dan dia kagum dengan jenama itu. Jenama itu boleh dijumpai di mana-mana di bumi IPSI ini. Encik Ahmad Man memuji cara pemilik mengiklankan jenama barangannya.

"Hingga pada mangga kunci Bilik Manipulatif saya pun dia tulis. Ini yang saya sedihnya," kata Encik Ahmad Man. "Saya nak cari pemilik jenama ini," ujar Encik Ahmad Man lagi. 

Kami mulai sedar 'jenama' yang dimaksudkan oleh Encik Ahmad Man. Kami sekelas pun gelak ketawa. Eby pula berusaha keras  mententeramkan kami agar diam, sambil angkat tangan berdoa.

Apabila Encik Ahmad Man keluar, Eby mengeluh lega: "Huh, nasib baik dia tidak tengok!" kata Eby.

"Mengapa?" tanya Zaki.

Eby menunjukkan ke arah dinding di depan kelas.

Laaa, rupa-rupanya kat dinding atas di depan kelas pun ada nama Ebyrubirubiku.

Sekali lagi, kami gelak ketawa.

Demikianlah cerita kawanku bernama Eby. Semasa konvokesyen, dia telah bawa Rubi dan saya sempat berkenal-kenalan. Kami ditempatkan di Kuala Lumpur. Sepanjang 13 tahun aku tinggal di Kuala Lumpur, hanya sekali sahaja kami bertemu. Kini, tidak tahulah aku Eby mengajar di mana dan kisah hidup dan cintanya.

Jumaat, 12 Februari 2010

WAJAH MASYARAKAT INDONESIA

Pengulas : Nassury Ibrahim
Walaupun Rachmat Djoko Pradopo menulis sajak sejak tahun 1960-an, namun beliau dikenali dalam bidang kritikan. Buku Mitos Kentut Semar (MKS - Julai 2006) terbitan Poetindo + Pustaka Pelajar ini merupakan kumpulan sajak keempat selepas Matahari Pagi di Tanah Air (1967), Hutan Bunga (1993) dan Aubeda (1999).

Manakala buku kritikan beliau yang telah diterbitkan ialah Bahasa Puisi Penyair Utama Indonesia Modern (1985), Pengkajian Puisi (1987 / 2005), Prinsip-Prinsip Kritikan Sastera (1988), Beberapa Teori dan Metode Kritikan Sastera (1995) dan Kritik Sastera Indonesia Modern (2003).

Secara keseluruhan sajak-sajak dalam MKS setebal 156 halaman ini bersifat prosaik. Ungkapan kata-katanya secara langsung dan mudah difahami. Pengarang sendiri mengakui bahawa sajak-sajaknya bersifat polos, terus-terang, tidak berbelit-belit dan tidak kabur. Sifat polos itu disebabkan pengarang berharap mesej sajak diterima oleh semua golongan masyarakat tanpa mengira pangkat dan pendidikan.

Misalnya, pada petikan baris-baris sajak berjudul ‘Manusia, Kucing dan Anjing’ ini: andaikan manusia tahu / surga tak ada neraka tak ada / mereka tak pernah merepotkan bertanya / nyawa akan ke mana / sesudah tubuhnya mati tak hidup lagi / tak ada apa-apa lagi.

Selain sikap dan idealisme pengarang, sifat polos sajak-sajak Rachmat berkait langsung dengan permasalahan masyarakatnya, yang juga polos. Menurut Rachmat, wajah masyarakat Indonesia yang tidak berubah sejak dahulu hingga kini. Mereka sentiasa dibelenggu kemiskinan, pengungsian, pengangguran, penindasan dan kesusahan hidup.

Hal ini dapat diperhatikan pada baris sajak berjudul ‘Mereka Bekerja, Aku Tidak.’ Katanya: aku cuma bergelandangan dari jalan ke jalan / kerana dari berjuta penganggur, akulah seorang / di atas tanah air subur makmur termasyhur / akulah seorang seorang tak kebagian kerja dari berjuta / akulah seorang yang di palang pintu / sebelum tangan mengetuk, punggung membungkuk / kepala menunduk melamar kerja.

Gambaran wajah kemiskinan dan kesusahan hidup pada tahun 1966 itu berlarutan sehingga 2000-an, yang digambarankan dalam sajak berjudul ‘Zawawi Imron’, yang setiap kali ke laut mendapat ikan teri sahaja.

Berbanding sebelumnya, sajak-sajak Rachmat dekad 2000-an merakam wajah masyarakat Indonesia secara realisme subjektif. Jika sebelumnya Rachmat mengungkapkan perihal masyarakat secara umum, kini sajaknya menyentuh watak-watak hidup semasa dan publik figura secara langsung.

Ada tiga jenis watak-watak hidup yang gemar disajakan. Pertama, para penyair yang sekali gus menjadi sahabatnya seperti Zawawi Imron, Umbu Landu Paranggi, Asrul Sani dan Emha Ainun Najib. Kedua, artis dan publik figura seperti Inul Daratista, Gina Sonia dan tokoh-tokoh pemimpin. Dan ketiga, tokoh pujaan seperti nenek, kekasih dan sebagainya.

Dalam sajak berjudul ‘Zawawi Imron’ dan sajak ‘Ada Rahang, Ada Tangan dan Mata,’ Rachmat mengungkapkan kesusahan hidup penyair, sebagaimana gambaran dalam sajak berjudul ‘Zawawi Imron.”

Dalam sajak tentang Inul Daratista, Rachmat mencatatkan: Pantat Inul, kata Emha Ainun Najib / adalah wajah Indonesia / pantat Inul yang ngebor gidal-gidul / membikin para ulama gusar dan onar / kerena moralnya dirusak pantat Inul / yang ngegol, ngebor, dan minul-minul.

Satu hal yang ketara dalam sajak-sajak mutakhir Rachmat ialah imej Kentut. Menurut Kamus Dewan (2002: 637) maksud kentut ialah pertama, angin yang keluar dari pelepasan; dan kedua, sejenis tumbuhan bernama sekentut. Daripada dua makna tersebut, sajak-sajak Rachmat dalam MKS menjurus kepada makna pertama.

Mengambil kira catatan Rachmat bahawa masalah dan wajah masyarakat Indonesia tidak berubah dari dahulu hingga sekarang, bermakna maksud kentut dalam sajak-sajaknya adalah kiasan perihal kebusukan, kenajisan, kekotoran dan imej buruk sesetengah masyarakat Indonesia kesan daripada amalan kehidupan harian mereka.

Dalam sajak ‘Zawawi Imron’, ‘Pantat Inul Daratista’, ‘Kentut Semar’, ‘Kentut’, dan ‘Inul Daratista’ jelas kesan kentut yang menyebabkan rezeki hilang, berlaku kematian, kesesiaan usaha dan keruntuhan moral masyarakat.

Walaupun terdapat istilah ‘kentut’, namun moral yang disampaikan adalah positif, bermanfaat diteladani dan santai. Membaca sajak-sajak Rachmat dalam MKS terasa kelucuan dan sinisme. Sekian.

CONTENG MUKA

Pada 10 Februari 2010, aku terima surat yang dihantar oleh pihak sekolah. Surat itu bertajuk, Memaklumkan Salah Laku Disiplin Anak Tuan / Puan. Dinyatakan salah laku tersebut ialah menconteng muka pelajar Ting. 2 - sedang tidur. Jam 12.45 - 1.00 pagi di Dorm B3-4. Tarikh 28/1/2010.

Surat itu telah memanggil beberapa kenangan aku semasa tinggal di asrama. Almaklumlah, aku cukup senior tinggal di asrama: Dari tingkatan 1 - tingkatan 6A; 2 tahun setengah di maktab. Malah, semasa mendaftar universiti pun disuruh tinggal di asrama. Justeru, banyaklah kerja-kerja budak asrama yang aku tahu dan aku laku. 

Memang kerja conteng-menconteng muka rakan juga menjadi kerja aku dan penghuni asrama. Biasanya, kami buat pada hari-hari tertentu, Misalnya, pada malam Aprilfool dan malam akhir sebelum cuti.

Kami menconteng penghuni yang tidur awal. Tanpa kami sedar, sesetengah penghuni yang tidur awal akan bangun pada malamnya. Masa itu mungkin kami sudah tidur, maka muka kami yang akan dicontengnya. Keesokan pagi, kami akan gelak ketawa melihat muka-muka berconteng, tanpa disedari muka sendiri pun berconteng juga.

Kami tidak marah kerana sudah faham akan kelazimannya. Hanya muka kawan sahaja diconteng, pada malam-malam tertentu sahaja, dan tidak menconteng dinding atau tandas sama ada sekolah mahupun asrama atau tempat awam.

Menconteng muka rakan perlu beberapa kemahiran, agar rakan tidak sedar. Guna cat air (water calour) langsung dari tiup. Jangan guna air kerana air akan menyebabkan mangsa cepat tersedar. Sapu sekilas saja dan bersembunyi sambil intai reaksi mangsa. Kalau mangsa tidak bergerak, boleh sapu lagi dan lagi. 

Bagi mangsa yang mudah tersedar, picit warna setitik pada mukanya. Atau, picit setitik warna pada tapak tangannya, kemudian cuit-cuit mukanya. Apabila dia berada geli, maka akan dikuis dengan tangannya. Pada masa itu, warna yang dititik tadi akan tersapu. Contohnya boleh dilihat dalam gambar di sebelah.

Rupa-rupanya kerja-kerja aku dulu diwarisi oleh anak aku kini. Hebat dan banyak - jadi spiderman, jadi hantu, jadi peniaga, jadi pelarian, curi tengok TV waktu belajar malam, panjat pokok pinang, menjerat binatang, dsb. Setakat ini, yang aku tahu, baru 2 kerja diwarisi. Menconteng dan berniaga. Biasanya aku berniaga rugi, tetapi dia berniaga untung. Dapat beli seluar sekolah dan telefon terpakai. Ini mungkin gen yang diwarisi dari ibunya.

Semalam, apabila dia balik, aku buat-buat tidak kisah saja. Kebetulan, pada petangnya dia tidur. Wah, ini peluang baik! Aku pun membuktikan kemahiran menconteng.

Setelah dia bangun, kami pun buat post-mortem.

Rabu, 10 Februari 2010

TERIMA KASIH, CHIN PENG

Sama ada Tuan yang bunuh sendiri atau Tuan yang rancang dan orang lain melaksanakannya, saya mahu mengucapkan: "Terima kasih Tuan Chin Peng."

Sama ada disedari atau tidak, diterima atau tidak, pada pandangan saya, Tuan telah menyelamatkan negara hamba, dan bangsa hamba, dan bangsa 1 Malaysia, daripada menjadi huru-hara, kacau-bilau, dan deritarana.

Hanya orang yang buta hati dan bruta, pada pandangan hamba, yang menanggisi kematian Henry Gurney. Setidak-tidaknya orang sebegini adalah sama fiil dan fikirnya, dan kemahuannya sebagaimana fiil dan fikir Henry Gurney terhadap negara dan rakyat Palestin.

Semuanya ini hamba kata berasaskan citra Henry Gurney. Kalaulah Henry Gurney hidup lama, entah apalah yang terjadi pada bangsa dan negara dan agama dan diri hamba. Tentulah akan senasib dengan bangsa dan negara dan agama dan diri orang bernama Palestin. oh, tidak!

Hamba cukup hairan akan sikap orang-orang yang memperingati dan menanggisi kematiannya, betapa DO pun engkau. Kata Mat Amin;

Henry Gurney adalah seorang Think Tank dan pakar strategi pecah-perintah, utusan Queen yang dihantar ke Palestin bagi menyelesaikan isu Palestin dan Israel pada tahun 1946. Beliaulah orang yang bertanggungjawab memecahkan Palestin dan mewujudkan Negara Israel. Dari buah fikirannyalah kita dapat manjamah hingga ke hari ini, Palestin hidup dalam ancaman Zionis serta lebih setengah abad dalam peperangan dan penindasan yang tidak berkesudahan.

Ooohh, tidaaakkkkkkkk!

TERIMA KASIH, CHIN PENG.

PENYAIR KHALIL GIBRAN

Kata Jimadie Shah Othman, dalam Malaysiakini (Jan 17, 10, 5:28pm) di bawah tajuk 'Allah' dalam sastera cetusan bukan Islam, “sementara puisi-puisi yang melafazkan kecintaan kepada tuhan seperti buah tangan penyair Kristian Lebanon, Khalil Gibran pula kadangkala diletakkan sebaris dengan puisi-puisi sufi nukilan Hamzah Fansuri, Amir Hamzah dan Muhammad Iqbal.”

Oh, baru aku tahu, rupa-rupanya, Khalil Gibran itu beragama Kristian! Aku beranggapan dia seorang muslim. Sebab namanya sering disebarisi dengan nama-nama penyair sufi.

Isnin, 8 Februari 2010

POSTING PERTAMA

 Ini ialah surat pertama dalam kerjaya aku menjadi guru. Surat di sebelah kiri ialah pemberitahuan penempatan aku mengajar di Wilayah Persekutuan. Semasa mengisi borang penempatan (posting) aku minta pilihan pertama negeri Melaka, dan pilihan kedua di negeri Terengganu. Aku tahu bahawa Melaka itu kecil dan anak negerinya pun minta ditempatkan di Melaka. Aku yakin tidak akan dapat. Justeru, aku mungkin akan dihantarkan ke Terengganu. Negeri inilah pilihan utama aku.

Lain dicipta lain pula yang dapat. Aku tidak dapat mengajar di Melaka mahupun Terengganu. Mereka hantar aku ke Wilayah Persekutuan, satu tempat yang tidak pernah aku bermimpi mahu datang mengajar. Aku dikehendaki melaporkan diri di SM Taman Maluri, Kuala Lumpur, pada 01.12.1989. Aku terima dengan hati rela.

Sebelum sekolah buka aku telah menerima surat panggilan ke Mesyuarat Guru-Guru pada 02.12.1989. Ini merupakan mesyuarat pertama aku sebagai guru. Dalam mesyuarat ini, aku (bersama-sama guru-guru lain) diberikan pelbagai taklimat, buku rekod mengajar, dokumen-dokumen dan diminta memperkenalkan diri kepada ahli mesyuarat.

Pengetua bernama Haji Abu Bakar bin Osman. Kami memanggilnya Haji Burn. Walaupun berkelulusan SPM sahaja, namun beliau sangat memahami keperluan guru. Beliau akhirnya ditukar ke sekolah rendah akibat berlaku perubahan sistem, iaitu semua pengetua mesti graduan. Beliau diganti oleh Encik Rashid, bekas penolong kanan Vitoria Institusion, berkelulusan master, namun pengurusannya sangat buruk. 

Mulanya aku menumpang di rumah Abang Ghani, di Jalan Kerdas 6, Gombak. Setelah dua minggu aku berpindah menyewa bersama-sama guru bujang di Taman X (lupa - terletak antara HUKM dengan Balai Bomba) di Cheras, bersama-sama Cikgu Rosdi. Pengangkutan utama Bas Mini 56 dan bas Leng Sen nombor 123. Aku ke sekolah memboceng motor Cikgu Rosdi.

Pada Jun 1990, aku berpindah ke Jalan Kelang Lama (depan Kampung Pasir Lama) menyewa rumah Haji Kupit, kerana berkahwin. Oleh sebab tiada kenderaan, aku naik Bas Minit 36 (tambang 60 sen) ke Chow Kit dan naik Bas Mini 25 ke Kampung Pandan.

Ahad, 7 Februari 2010

ADAB BERGURU

ADAB BERGURU OLEH IMAM AL-GHAZALI

1. Apabila bertemu dengan guru hendaklah memberi salam.
2. Jangan banyak bercakap di hadapan guru.
3. Jangan bercakap sebelum guru bertanya.
4. Jangan bertanya sebelum meminta izin dan dizinkan.
5. Jangan menyangkal (tunjuk rasa tidak puas hati) terhadap guru.
6. Jangan mengisyaratkan kepada guru dengan menyalahi pendapatnya.
7. Jangan berbisik dengan rakan di sebelah ketika guru mengajar.
8. Jangan berpaling ke kiri dan ke kanan (bermain) di hadapan guru.
9. Jangan bertanya banyak soalan kepada guru ketika guru letih.
10. Apabila guru berdiri hendaklah kita berdiri sebagai menghormatinya.
11. Jangan mengikuti guru dengan pelbagai pertanyaan setelah guru  
      meninggalkan majlis.
12. Jangan bertanyakan guru di tengah perjalanan sehingga dia sampai ke
      rumahnya atau ke tempat duduknya.
13. Jangan bersikap buruk sangka terhadap pekerjaan guru.

ADAB BERGURU MENURUT PANDANGANKU

14. Jangan mengumpat / fitnah / menipu / bermusuhan dengan guru.
15. Jangan main SMS / telefon ketika guru mengajar.
16. Jangan bersikap sombong terhadap guru yang tidak mengajar kita dan
      setelah guru itu tidak lagi mengajar kita.
17. Jangan pukul guru atau upah kawan, datuk, ayah, emak pukul guru.
18. Jangan engkar permintaan / suruhan guru selagi permintaan itu tidak
      menyalahi syariat agama / undang-undang / tatasusila.
19. Sentiasalah berbudi kepada guru dan menyenangkan hati guru.
20. Ziarahi guru ketika dia sakit atau dalam musibah.
21. Sentiasalah mendoakan guru dirahmati Allah.

Sabtu, 6 Februari 2010

NASIB BAHASA MELAYU

Sebagai rakyat Malaysia, hati saya tersentuh membaca judul berita ini, "GEMBIRA BERKHIDMAT DI MALAYSIA, siaran akhbar Berita harian 4 Februari 2010. Dan, apabila melihat pada visualnya, jelas kegembiraan itu terpancar di wajah mereka. Ada kewacanaan yang cukup kohesi antara judul dengan visual. Walau bagaimanapun, bukan hal ini yang ingin saya royat di sini.

Pada perenggan pertama berita, pengarang mencatatkan, "Lima belia Jepun yang akan bertugas sebagai sukarelawan selama dua tahun di negara ini, tiba di Kelantan semalam untuk tinggal bersama keluarga angkat bagi mendalami bahasa Melayu dan adat masyarakat setempat."

Berita tentang orang asing belajar bahasa Melayu bukan perkara baharu. Dalam sejarah perkembangan bahasa Melayu di luar negara, hal ini telah terjadi sejak Tanah Melayu belum merdeka lagi. Malah, sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Namun, perkembangan itu bukan dari usaha kerajaan memerintah Tanah Melayu / Malaya / Malaysia, melainkan oleh orang asing sendiri. Misalnya, Antonio Peggafetta yang mengembagkan bahasa Melayu di Itali, sejak zaman keagungan Melaka. Dari Itali, bahasa Melayu berkembang ke USSR (Rusia) yang disebarkan oleh Mervert. Daripada Mervert inilah ramai orang-orang Russia yang belajar bahasa Melayu, kesusasteraan Melayu dan adat budaya Melayu. Malah, mereka mendapat sijil cerdik pun setelah mengkaji bahasa, sastera dan budaya Melayu. Misalnya, V.I. Braginsky yang pernah mengkaji "Evolusi Sajak-Sajak Melayu" untuk tesis P.hDnya. Sehingga kini telah ada dua orang Russia yang datang mengajar kesusasteraan Melayu kepada warganegara Malaysia (orang Melayu) di Malaysia, iaitu Dr. Broris Panickel dan Dr. Victor Pagadaev.

Silalah bertanya pada Dr Victor Pagadaev, kini berkhidmat di Fakulti Linguistik di Universiti Malaya, tentang bidang kajian P.hDnya. Sehingga kini, tidak kurang daripada lapan (8) orang Russia memperoleh P.hD dengan mengkaji kesusasteraan Melayu, seorang peringkat master dan seorang lagi (Mervert) tidak dapat saya kesan bidang kepakarannya. Malah, Dr. Victor Pagadaev sendiri, dalam kata penghantar buku Topeng-Topeng, yang membicarakan sajak-sajak Baha Zain menegaskan bahawa bahasa Melayu paling indah di dunia. Manakala, James T. Collins pula menganggap bahasa Melayu sebagai bahasa dunia.

Pernahkah anda terfikir kerasionalan siaran bahasa Melayu dalam radio di Republik Rakyat China? Siaran ini telah ada sejak sebelum kita merdeka lagi dan hingga kini. Soalnya, siapakah pendengarnya? Untuk apakah siaran itu? Orang Melayu pertama yang dapat saya kesan membantu memperelokkan ujaran bahasa Melayu untuk siaran itu ialah nasionalis Shamsiah Fakeh, sekitar tahun 1940-an/1950-an. Sedangkan sekitar tahun 2000-an barulah kerajaan, secara rasmi,  hantar pakar bahasa Melayu bernama Munsyi Habibah membantunya . Kini, sudah ramai rakyat China yang fasih berbahasa Melayu. Demikian juga di korea, Jepun, Thailand dan sebagainya, mempelajari bahasa Melayu mendapat sambutan yang baik.

Yang jelas, nasib bahasa Melayu di luar negara sedang mencacak naik, dipelajari dan dikembangkan oleh rakyat negara mereka. Namun, lain halnya nasib bahasa Melayu dalam negara, yang pada saya umpama hidup segan mati tidak mahu. Pembunuhnya bukan siapa-siapa melainkan orang Melayu sendiri. Malah, ada yang menghina bahasa Melayu dengan mengatakan bahawa bahasa Melayu tidak mampu menjadi bahasa ilmu dan bahasa penghantar ilmu Sains dan Matematik. Sedangkan dirinya sendiri memperoleh kejayaan dan rezeki dengan menggunakan bahasa Melayu. Orang seperti ini sepatutnya tidak ada di alam Melayu.

INGAT,
APABILA BAHASA, SASTERA, ADAT DAN BUDAYA BANGSA ITU MATI, MAKA BANGSA ITU AKAN  BERANSUR-ANSUR MATI. MAHUKAH BANGSA ANDA MATI?



ADIK BERCAKAP TENTANG BAHASA

Adik bercakap tentang bahasa Melayu yang layu di rumah sendiri,
kata adik, kakak dan abang membencinya

Adik bercakap tentang bahasa Melayu yang layu di rumah sendiri,
kata adik, kakak dan abang membencinya demikian ayah dan ibu
sesekali hanya tatkala bersama si tukang kebun, kata adik lagi

Adik bercakap tentang bahasa Melayu yang layu di rumah sendiri,
kata adik, kakak dan abang membencinya demikian ayah dan ibu
sesekali hanya tatkala bersama si tukang kebun, kata adik lagi,
dan katanya

"Adapun layu bahasa Melayu di rumahku ini,
kata adik, ayah dan ibulah yang melayukannya!"

26 September 1999
Majalah Akar: Mei - Ogos 2000

Sabtu, 30 Januari 2010

PELAJAR IPG BERMASALAH

Salah satu tugas yang dipertanggungjawabkan kepada pensyarah IPG ialah sebagai tutor. Seingat aku di IPG sahaja yang ada jawatan ini. Tidak ada di sekolah dan tidak ada di universiti. Setiap kumpulan pengajian akan diberikan seorang tutor. Kononnya, tutor ini bertanggungjawab menjaga tuteenya, dan sebagai tempat rujukan tutee.

Peliknya, tutor juga boleh saman tutee.

Sejak aku berkhidmat di IPG, aku dengar pelbagai masalah dan sikap pelajar yang tidak sesuai sebagai pelajar IPG. Maka disuruhkan agar tutor selalu mendampingi dan menasihati tutee (sebenarnya, memang telah dilaksanakan tanpa disuruh). Rupa-rupanya (aku baru tahu) hal ini kerana apa-apa kelakuan tutee yang melanggar Akta 174 yang digunapakai di IPG (aku tak tahu akta apa ini - bukan AUKU), akan dipersalahkan pada tutor.

Seorang tutee aku termengandung maka ditanyai aku tentang itu tentang ini seakan-akan hati kecilnya berkata aku tidak pandai menjaga tutee, TIDAK MENASIHATI TUTEE hingga dia t-e-r-m-e-n-g-a-n-d-u-n-g.

Barangkali, lanjutan devian tutee aku itu, maka dianjurkan kursus pemantapan mentor dan aku salah seorang peserta. Dalam satu sesinya ditekankan agar tutor ambil tahu perihal tuteenya, di mana dia tinggal (rumah sewa), dengan siapa dia keluar, kehadiran ke kuliah, masalah dirinya dan sebagainya. Pendek kata, selalu ambil peduli tentang tuteenya. (p/s, ada pensyarah yang sangat peduli kepada pelajarnya hingga sempat menikmati kepedulian itu di ranjang). Oleh sebab terasa 'bengang' aku telah terangkat tangan dan bertanya dengan suara parau, "Apakah setiap salah tutee itu dan apabila tutee keluar dengan mana-mana jantan maka yang salahnya ialah tutor?"

Orang itu tidak menjawab.

Ada peserta menyambung 'suara parau aku' dengan pertanyaan mengapa disekatkan tutee yang ingin bercinta kerana pada usia demikian, memang mereka ghairah dicinta dan mencinta.

Sebelum itu, aku telah bertanya tutee wanita aku yang berbaki seramai 6 orang itu. Siapakah yang tiada buah hati. Semua mengakui bahawa mereka ada buah hati. Soalan sama aku tanya kepada beberapa kumpulan lain. Memang, mereka ada pasangan (termasuk tunang). Sebahagian besar pasangan itu dari alam persekolahan lagi.

Kalau bercinta salah (kerana mungkin akibatnya), maka di sini aku syorkan, BPG hendaklah tambah kriteria untuk masuk IPG ialah tiada pasangan cinta. Kalau BPG tidak mampu mewujudkan syarat itu, jangan pandai-pandai menyalahkan tutor apabila pelajar IPG bercinta dan keluar dengan jantan cinta. Saya tahu pensyarah IPG kurang cerdik dan lebih kuah daripada sudu, janganlah menambahkannya lagi.

Aku juga berasa hairan, mengapa IPG mahu kawal pelajarnya begitu sekali. Tidak ada rasa percaya kepada pelajarnya. Mahu pelajarnya ikut telunjuk yang sebahagian telunjuk itu pula penuh dengan kurap.

Adalah lebih baik bersihkan kurap sendiri sebelum melihat kurap orang. Ada sejarah pelajar IPG terlibat dengan dadah, ditangkap berkhalwat, mencuri, bergaduh, dsb, tidak diambil tindakan sewajar. Ada yang dibuang oleh IPG, tetapi dipaksaterima oleh BPG.

Sepatutnya, mereka dibuang dan tidak diterima lagi. BPG / menteri harus ada rasa percaya terhadap tindakan IPG.  

Alasan kawalan berlebihan terhadap pelajar kerana dikatakan pelajar IPG belum matang. Mereka lepasan SPM. Tanpa mereka sedar bahawa semua pelajar IPG lebih tinggi keputusan SPM daripada pensyarah IPG sendiri, maklumatnya lebih terkedepan dan pelbagai. Dan, pada tahap sama juga, sebahagian mereka berada di IPT tanpa kawalan berlebihan seperti di IPG.

Malah, pelajar IPG dari program KPLI juga tidak kurang dipersalahkan dan dileteri, dan tidak yakin (dipercayai) dengan kemampuan mereka menjaga diri. Sedangkan mereka merupakan bekas mahasiswa universiti, sebahagiannya sudah ada pengalaman kerja dan berkelulusan sarjana. Mengapakah mereka dianggap suka melakukan kesalahan dan tutor perlu bimbing begitu sekali apabila berada di IPG.

Lantaran itu, saya selalu bertanya pada diri saya: Apakah masalah sebenarnya?

Anda yang membaca tulisan ini merupakan bekas atau pelajar mana-mana IPG / maktab perguruan, sila beri maklum balas. Saya mahu tahu suara hati anda, untuk mendapat jawapan pada pertanyaan saya itu.

Khamis, 21 Januari 2010

TANAM PADI TUMBUH LALANG

Pada 18 Januari 2010, saya bersama Abdul Hadi Yusof dan Aziz Mohd Noor berangkat ke Kuala Lumpur. Tujuan saya ialah untuk menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia Ke-18, manakala Abdul Hadi dan Aziz hadir sebagai tetamu atas undangan DBP bagi menambah seri majlis.

Abdul Hadi ambil peluang keemasan, mengajak Kami melencong ke Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) di Padang Merbuk. Beliau ingin bertemu dengan anaknya.

Kali terakhir aku ke Padang Merbuk (ke ASK) kerana menemuramah Samoza untuk mendapatkan pandangannya apabila siaran Teater Novel hendak dihentikan. Selebihnya, aku ke ASK menyaksi persembahan pelajar semasa ASK beroperasi di Matic. Masa itu, program tertinggi ialah diploma. Kini, ASWARA menawarkan kursus hingga program ijazah. Ini satu perubahan dan perkembangan yang positif. Tambahan pula, kini ASWARA mempunyai bangunan sendiri. namanya juga berubah, dari akademi Seni Kebangsaan (ASK) ke Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Institusi ini jadi tempat asuhan dan pengembangan budaya yang menjadi warisan negara. 

Sementara menunggu Hadi bertemu dengan anaknya, aku ke gerai yang terletak di depan jalan masuk ke ASWARA. Ramai pelajarnya sedang minum-makan di situ. Aku duduk di meja tepi, bucu persimpangan antara jalan keluar dari ASWARA dengan jalan masuk ke petempatan awam.

Di sebelah kiri meja aku terdapat satu meja diduduki seorang lelaki dan seorang wanita. Melihat pada raut wajah, saya percaya kedua-duanya pelajar ASWARA. Manakala di sebelah kanan pula diduduki oleh lima orang lelaki. Mereka juga pelajar ASWARA.

Aku tertarik dengan kedua-dua kumpulan pelajar ASWARA ini. Pertama, kerana mereka pelajar ASWARA. Kedua, kerana nama ASWARA itu sendiri. ASWARA dibina untuk mendaulat seni budaya dan seni budaya yang hendak didaulatkan itu menjadi warisan bangsa. Ertinya, ASWARA sedang menjana seni budaya sebagai warisan bangsa dan negara. Ketiga, ialah aksi, gaya, isme yang kelihatan pada dua kumpulan pelajar ini.

Waktu saya sampai, pelajar lelaki sedang asyik bermain daun terup, permainan 21. Semuanya Melayu. Saya memerhati, kot ada bahan pertaruhan, tetapi tiada. Dalam kepala saya terbina persepsi, inilah permainan masa lapang pelajar ASWARA - daun terup dan di tempat terbuka.

Manakala, pelajar di sebelah kiri sedang asyik berbual-bual dengan pasangannya sambil makan magie goreng. Yang menarik perhatian saya ialah pada pelajar perempuan. Wajahnya memang tidak cantik. Dia berpakaian seluar ketat tarian warna hitam, diikuti seluar dalam berwarna putih. Seluar dalam dipakai di luar seluar panjang ketat, persis pakaian superman. 

Tidak pasti, apakah gaya mereka itu merupakan fesyen terkini, moden. liberal, free thinking dan di bawah sedar ASWARA. Yang pasti, aku tertanya-tanya sendirian, apakah wanita berpakaian seluar dalam di luar seluar panjang itu yang ditanam sebagai budaya di ASWARA, dan diwarisi?

Semasa di Matic dulu, aku pernah menonton persembahan tarian seorang pelajar ASK. Mulanya dia berpakaian lengkap. Pakaian itu ditanggalkan satu demi satu hingga yang tinggal hanya seluar dalam saja. Itu berlaku dalam dewan dan oleh pelajar lelaki. Hari 18 Januari 2010, pelajar wanita pakai seluar dalam di luar seluar panjang dan berada di tempat terbuka kerana mahu makan. Pada saya, ini kehebatan yang luar biasa.

Soalnya, mengapakah pelajar itu berpakaian demikian? Apakah itulah yang dikatakan seni budaya yang hendak diwarisi. Tentu ia bukan mencerminkan program, latihan, jurulatih dan Misi-visi ASWARA. Bukan hasrat Dr Rais Yatim mahupun pihak ASWARA. Namun, tindakan pelajar berpakaian begitu, tentu ia dianggap cerminan program, visi-misi ASWARA.

Hanya mereka dan ASWARA yang lebih mengetahui.

Ahad, 17 Januari 2010

CAH KETING

Maksud cah keting ialah mematahkan @ menewaskan lawan.Lazimnya, laras ini digunakan dalam sukan bola sepak. Pemain akan cuba sepak keting lawannya agar keting lawannya itu cedera dan tidak dapat beraksi dengan baik. Keting yang dicahkan itu ialah keting lawan yang handal. Mungkin kerana lawannya itu pandai mengeleceh bola daripada terlepas ke kaki lawan, maka lawan akan cah ketingnya untuk 'ambil' bola. 

Sesuai dengan ciri perlawanan, cah keting juga berlaku dalam politik. Namun cah keting dalam politik adalah metafora bahasa. Bukan keting yang dicahkan, sebaliknya kerjaya politikus berkenaan. Tujuannya agar politikus itu tidak dapat lagi berkhidmat @ berkuasa dan jawatannya itu dapat dirampas.

Lazimnya, cah keting dikaitkan dengan Umno atau partai komponen lain dalam BN. Perkembangan masa, rupa-rupanya, cah keting berlaku dalam partai yang menganggapnya medan perjuangan Islam. Hal ini sangat malang, khususnya kepada penyokongnya.

Kenyataan TG Dato' Nik Aziz bahawa berlaku cah keting dalam Pas, amat mengejutkan. Mengejutkan sebab Pas dikenali sebagai partai Islam. Dalam Islam pula tidak diajar cah keting lebih-lebih lagi terhadap rakan seperjuangan.

Islam tidak menerima perjuangan Robinhood atau Mat Komando. Walaupun motif perjuangannya baik - untuk membantu orang-orang miskin -- namun wang yang digunakan untuk membantu orang miskin itu dicuri. Islam melarang umat-Nya mencuri, walaupun untuk tujuan yang baik. Oleh sebab itu, Islam tidak menerima perjuangan Robinhood atau Mat Komando kerana caranya salah, walaupun tujuannya baik.

Demikian juga -- pada fikiran hamba yang banyak tidak tahu tentang Islam ini --  tujuan, matlamat, niat, cara mahupun kaedah perjuangan dalam partai Islam haruslah diterima @ halal di sisi agama. Cah keting adalah tidak digalakkan, maka saya fikir, ia tidak sesuai dengan partai Islam. Ini bererti, pejuang Pas (tidak semua) adalah tidak ikhlas dan mementingkan diri.

Jika benar ada amalan ala Robinhood @ Mat Komando dalam Pas, adalah malang bagi penyokong Pas. Mereka tertipu di sebalik motto perjuangan. Dan, ini merupakan barah yang bukan sahaja merosakkan Partai Pas, malahan masyarakat juga. Adalah lebih baik kita menjauhkan diri daripada barah yang boleh merosakkan ini.

Satu hal lagi --  selain cah keting -- ialah amalan nepotisme @ kroni. Pas menentang amalan kroni dalam Umno, namun pemimpin Pas sendiri turut mengamalkannya. Kebencian ini turut dilakukan oleh TG Dato' Nik Aziz sendiri apabila melantik menantu sendiri memegang jawatan penting dalam kerajaan sendiri. Dulu memerahani DS (Tun) Abdullah yang melantik menantu, rupanya hal yang sama berlaku terhadap TG Dato' Nik Aziz. Hal ini samalah dengan mengatakan kentuk lawan berbau busuk sedangkan kentuk sendiri pun tidak kalah hebat busuknya.

Kalau menantu DS (Tun) Abdullah menjadi antara sebab kekalahan Umno / BN / dan Abdullah sendiri, hal yang sama juga bakal terjadi terhadap kerajaan Pas Kelantan. Menantu dan anak-anak TG Dato' Nik Aziz menjadi duri dalam daging yang bakal merosakkan nama TG Dato' Nik Aziz dan kerajaan Pas Kelantan. Nampaknya, TG Nik Aziz tidak berupaya menasihati mereka dan mereka pula 'keras kepala' dan 'tunjuk pandai'  dengan menyalahkan orang itu dan orang ini untuk berkuasa. Tidakkah ini juga dinamakan cah keting?

Kalau kemuncak DS (Tun) Dr. Mahathir ialah semasa majlis menyambut 15 tahun beliau sebagai PM, kemuncak DS (Tun) Abdullah ialah apabila Umno / BN menang dengan manjoriti besar dalam pilihan raya tahun 2004, kemuncak TG Dato' Nik Aziz pula ialah pada 8 Mac 2008. 

Kalau anak, menantu dan kalangan pemimpin Pas terus bercah keting, maka tunggulah zaman gelapnya. Kemenangan Pas, Dap dan Keadilan dalam PRU 8 Mac 2008 itu kerana rakyat marah kepada DS (Tun) Abdullah dan Umno / BN. Hal yang sama mungkin akan menimpa partai alternatif, kecuali mereka cepat sedar dan berusaha membaikinya.

Apapun, kita tunggu dan lihat.

Sabtu, 16 Januari 2010

LAGI ISU NAMA ALLAH

Telah ramai orang bercakap dan menulis - memberi pandangan, merakam kejadian, berdemonstrasi, memberi harapan, dan tidak kurang juga memberi amaran dan ugutan - tentang isu nama Allah. Nasib baik mereka yang berdemonstrasi itu ahli / penyokong Umno/ BN, kalau selain daripada mereka sudah lama dibelasah.

Isu ini bukan masalah global, tetapi di Malaysia, isu ini bakal menjadi duri dalam daging. Dan, keputusan mahkamah itu pula bakal menjadikan isu ini sebagai masalah global umat Islam. Ia bakal menjadi rujukan kes bagi isu seumpamanya.

Apa sebenarnya dan dari mana sebenarnya permasalahan ini, tiada yang menjelaskan. Isu ini hangat setelah mahkamah membuat keputusan. Maka berdemonstrasilah mereka yang tidak bersetuju dengan keputusan itu. Bagi pihak yang menuntut, mereka boleh pulang, goyang kaki, menonton siaran demonstrasi sambil ketawa, dan merancang untuk 10 tahun akan datang.

Dalam ruangan Cermin Belakang (Utusan Malaysia, 15 Januari 2010) Dr Firdaus Abdullah menyorot politik kalimah Allah ini. Dalam satu frasa, Dr. Firdaus mencatat, "Pihak berkuasa (Kementerian Dalam Negeri di zaman Datuk Syed Hamid Albar menolak permintaan Herald-The Catholic Weekly yang ingin menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahan bahasa Melayu untuk perkataan God."

Rupa-rupanya usaha itu bermula sejak zaman Syed Hamid Albar lagi. Dan, Syed Hamid Albar pula sensitif, peka dan panjang akal akan resikonya, maka beliau menolak isu itu awal-awal lagi.

Orang yang menjadi Menteri di Kementerian Dalam Negeri selepas Syed Hamid Albar ialah Hishamudin Hussein - orang politik yang terkenal dengan kata-kata 'tiada kompromi' dan penayang keris. Berdasarkan catatan Dr. Firdaus itu, pada pemahaman saya, Hishamudin yang perkenan permintaan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah. Dan, bagi mematikan tentangannya nanti, mereka membawanya ke mahkamah untuk mendapat hitam-putih perkenan.

Dan tulisan maharajabloggger.blogspot.com yang dipetikan oleh Suara Blog (Utusan Malaysia, 15 Januari 2010) mencatatkan, "Soalnya sekarang kenapa pihak Peguam Negara membiarkan kes ini dibawa ke mahkamah?" 

Berdasarkan maklumat itu, semacam ada kompromi antara pihak Herald-The Catholic Weekly dengan menteri / Kementerian Dalam Negeri dengan Peguam Negara. Kalau betul, maka mereka yang berdemonstrasi menentangnya hanyalah orang suruhan saja supaya tidak nampak kompromi berkenaan.

Maka tidak hairanlah kalau ada yang mengatakan bahawa mereka bertanggungjawab dan punca masalah terhadap isu ini. Isu ini bakal memberi malang kepada agama Islam dan penganut agama Islam di Malaysia. Dan, saya berpendapat, kemungkinan ia adalah usaha dan keizinan usaha agama Kristian menkristiankan orang-orang Islam di Malaysia.

Kalau benar, sungguh malang saya mempunyai pentadbir seperti ini.

Yang ditagih sekarang ialah penyelesaian. Saya berpendapat, jalan penyelesaian ialah melalui keputusan mahkamah juga. Ia merupakan keputusan hitam-putih dan tiada kompromi.

Dan, saya amat berharap tiada kontrak sosial atas dasar harapan, percaya dan yakin diambil untuk menyelesaikan isu ini. Demikian juga penyelesaian melalui perjanjian. Perjanjian dan kontrak sosial atas dasar harapan, percaya dan yakin hanyalah penyelesaian sementara. Perjanjian boleh dibatalkan oleh mahkamah, atau diengkari, sebagaimana terbukti pada pelanggaran perjanjian isu royalti minyak kepada kerajaan negeri.

Tanpa keputusan mahkamah, isu ini akan timbul lagi. Mereka tidak akan menghormati harapan, percaya dan yakin dalam perjanjian dan kontrak sosial. Kalau benar mereka akan menghormati, sudah lama mereka menghormati keputusan Majlis Agama Islam Selangor dan Majlis Fatwa Negeri Selangor yang lebih awal mengeluarkan larangan penggunaan kalimah Allah dalam agama selain Islam.

Justeru, tidak usahlah pergi berdemonstrasi. Demonstrasi boleh membantutkan pertumbuhan ekonomi, merugikan para perniaga, mengganggu lalu-lintas, mengganggu ketenteraman awam, dan mengugat keselamatan negara.

Yang penting, tanam dalam hati dan kempen senyap bahawa pemimpin yang mengancam keselamatan agama, bangsa dan negara, tidak perlu disokong.


Selasa, 12 Januari 2010

BERTINJU

"Shahidan ajak bertinju! Shahidan ajak bertinju! Sha ...." Jerit budak-budak itu. Beberapa orang menggayakan orang bertinju sambil berlari-lari anak mengelilingi Taman Rakyat.

Pak Mail yang baru meletakkan punggung di kerusi warung, tersentak, mendengar jerit budak-budak itu. "Eh, apa budak-budak tu kata?" ujar Pak Mail kepada entah siapa.

"Shahidan ajak bertinju," sahut Mahmud Warung yang datang mengambil pesanan. "Mahu bertinju," suaranya agak panjang sikit ketika menyebut 'bertinju.'

"Mahu bertinju? Shahidan mana?"

"Laaa... Shahidan mana lagi, Pak Mail. Shahidan Kasim la. Dia ajak bertinju."

"Ajak siapa?"

"Pak Mail tak baca surat khabar ke? Sekarang ni heboh Shahidan Kasim ajak bertinju. Gamaknya nak jadi ahli tinju pula sebab tak dapat jadi Menteri Besar," jelas Mahmud Warung. "Ajak siapa tu ... La ... lupa namanya, siapa ...," sambungnya lagi.

"Shahidan Kasim bekas Menteri Besar Perlis tu? Dia ajak orang bertinju?"

"Aaaa .... Yalah. Shahidan itu la.... Dia ajak orang bertinju dengannya. Apa Pak Mail tak tahu lagi?"

"Is! Isss! Issss ... ! Mujur dia bukan Menteri Besar aku. Kalau tidak malu aku! Malu!" ujar Pak  Mail, dan  menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Itulah citra pemimpin kita, Pak Mail," tingkah Wak Jamal yang diam dari tadi. "Dulu tak datang bersidang. Hari ni ajak rakyat bertinju. Esok entah apa pulak?"

"Is! Iisss! Iiisssss!" keluh Pak Mail lagi. Kepalanya masih menggeleng. "Macam itukah pemimpin kita? Macam tadok orang lain!"

"Setakat 'tu saja yang layak. Yang telah ditapis. Yang lain tu, yang tak terpilih, lagi dasyat la gamaknya," jelas Wak Jamal.

"Is! Iiissss! Iiiiisssssssssss! Malu aku. Malu."

"Shahidan ajak bertinju! Shahidan ajak bertinju! Sha ...." Jerit budak-budak itu. Beberapa orang menggayakan orang bertinju sambil berlari-lari anak mengelilingi Taman Rakyat.

Khamis, 7 Januari 2010

ISU NAMA 'ALLAH'

Sekarang musim isu nama Allah. Rupanya nama Allah juga boleh jadi kontroversi. Hairan. Mengapa, ya?

Soalnya, mengapakah ia boleh jadi isu? Tahniahlah kepada Umno / BN kerana berjuang isu itu. Pas bagaimana? Keadilan bagaimana? Ibrahim Ali bagaimana? Mufti bagaimana? Diam saja.


Telah beribu tahun Islam bertapak di Malaysia, lebih awal dari Kristian, tiba-tiba jadi isu pulak. Macam rumah, setelah dibina dengan kukuh, tiba-tiba bocor pulak. Maknanya, alat binaan rumah itu ada masalah. Macam bangunan di Terengganu, walaupun baharu siap, bangunan itu tiba-tiba runtuh. Mengapa? Tentu ada sesuatu yang tidak kena.

Semasa tinggal di Kampung Pasir Lama, Jalan Kelang Lama dulu, atap rumah saya tercabut kerana dipukul ribut. Anehnya, bangunan di Terengganu runtuh bukan kerana dipukul ribut. Apakah sebabnya, entah. Tapi, bak kata pepatah (baru cipta), 'terbakar kampung nampak asap, runtuh bangunan nampak berselerak, runtuh kepercayaan siapalah tahu.'

Berbalik kontroversi nama Allah itu, tentu ada sebabnya. Sebab injin jet hilang kerana tentera curi - harapkan tentera, tentera makan besi.'

Kalau sebelum ini orang curi tanah rezab Melayu, orang curi keistimewaan pelajaran Melayu, cabul kedaulatan bahasa orang Melayu, cabul jati diri Melayu, curi agama anak-anak orang Melayu, hari ini curi tuhan Melayu.

Semasa rumah saya kecurian, apabila membuat laporan kepada polis, si polis bertanya: rumah ada pagar? semua pintu rumah ada kunci? ada pelihara anjing? ada pelihara angsa? Kalau salah satu daripada pertanyaan itu berjawapan "tidak," maka tuan rumah itu boleh didakwa kerana cuai menjaga harta dan penyebab berlaku masalah sosial (kecurian).

Maka, siapakah penjaga agama Islam? Tentunya orang Islam. Dan, lagi? Penjaga rumah tangga ialah suami, penjaga syarikat ialah taukenya. Penjaga kereta ialah pemiliknya? Kalau kita memberi pinjam sesuatu barangan, maka si peminjam itu bertanggungjawab menjaga keselamatan barangan tersebut. Jika barangan itu hilang di tangan peminjam, bererti peminjam itu yang cuai, yang bertanggungjawab. Mahukah kita memberi pinjaman kepada si peminjam yang tidak bertanggungjawab itu. Sangat 'bangan' anda kalau berkata "ya."

Saya teringat kisah seorang penagih dadah yang pernah saya baca di akhbar. Kerjanya meminjam barangan penduduk kampung. Kalau tidak diberikan, barangan itu akan dicuri. Kalau diberikan, barangan itu tidak dipulangkan. Kalau dipulangkan, barangan itu sudah rosak dan tidak boleh digunakan lagi.

Apabila diberitahu kepada ahli keluarga penagih itu, si pemberitahu itu pula disalahkan. Ada kalanya diugut dan dibelasah oleh penagih atau orang suruhannya. Beritahu salah tidak beritahu pun salah.

Oleh sebab kerap sangat 'dipinjam milik' dan hilang oleh angkara penagih dadah itu, dan tidak sabar lagi dengan sikap penagih dan keluarganya, maka orang kampung memulau penagih dan seluruh keluarganya. Maka jadilah keluarga itu seperti kera duku, pemalas usaha, tidak bertanggungjawab, dan membahaya.

Seorang kawan memberitahu pengalamannya menaikkan harga barang. Caranya dengan mencipta isu. Misalnya, harga ayam. caranya dengan mengurangkan bekalan ayam di pasaran. Cerpen saya berjudul 'Misteri Gula' adalah membongkar taktik menaikkan harga barang. Apabila ayam tidak ada di pasaran, sedang permintaannya tinggi, maka dapatlah harga ayam itu dinaikkan.

Dalam filem / drama, ada cerita seseorang berkeinginan (berahi) kepada seseorang gadis, sedangkan gadis itu tidak suka kepadanya. Maka si lelaki hidung tidak mancung itu akan mengupah seseorang mengganggu gadis berkenaan dan si lelaki itu akan cuba menyelamatkan gadis itu daripada penjahat upahan. Akhirnya, gadis itu berasa bahawa dia terhutang budi dengan si lelaki berkenaan. Sebagai membalas budi lelaki itu, si gadis berkenaan membalas cintanya atau budinya. Ini satu teori cara memikat. Cipta satu isu, dan berpura-pura menyelesai isu itu, maka jadi herolah kita. 

Inilah yang dipraktiskan oleh politikus di negara kita. Cara mencari menambah pengaruh. Apakah, isu-isu dalam masyarakat kita sekarang sengaja dicipta untuk agenda tersembunyi? Mungkin juga ya, mungkin juga tidak.

Harap-harap isu nama Allah ini tidak dicipta untuk menjadi hero. Dan, perbaikilah kerosakan. Kalau bocor, tampal. Kalau carik, jahit. Kalau berlubang, timbus. Anjur demonstrasi tidak selesai masalah, seperti kata Mahathir, Hishamuddin atau Nazri- itu kerja penderhaka, kerja bodoh, menyusahkan para perniaga dan orang ramai.

Tetapi, mengapakah hanya Umno / BN yang berdemontrasi?

Isnin, 4 Januari 2010

Satu Peristiwa Dua Berita

Lain benar berita TV3 dalam Buletin Utama semalam, tentang isu keputusan mahkamah membenarkan penganut Kristian memakai nama Allah dalam buletin mereka. Dilaporkan bahawa semua pemimpin UMNO dan masyarakat tidak setuju dan terkejut dengan keputusan itu. Mereka mahu buat rayuan kepada raja.

Berita seterusnya melaporkan bahawa TG Dato; Nik Abdul Aziz bersetuju dengan keputusan mahkamah itu. Katanya, agama kristian boleh guna nama Allah. Aku hairan dengan pendapat TG itu. Dalam hati berkata, kenapa TG bersetuju? Betulkah TG ni?

Petang tadi aku membaca akhbar Sinar Harian (Edisi Kelantan). Pada muka depan terpapar berita 'Bukan Islam Tidak Boleh Guna Khalimah Allah: Nik Aziz.' Sekali lagi aku terkejut. Dalam Buletin Utama TV3 dilaporkan Nik Aziz bersetuju. Dalam akhbar dilaporkan Nik Aziz tidak bersetuju.

Berita mana satu yang betul? Bersetuju atau tidak bersetuju? Mengapakah berita TV3 kata TG bersetuju, berita akhbar mengatakan TG tidak bersetuju?

Aku teringat beberapa bulan lepas, apabila TV3 melaporkan bahawa TG anggap perjuangan UMNO tidak betul, sia-sia, seperti perjuangan orang Palestin. Perbandingan itu dinafikan oleh TG. Beliau kata 'pelastik' bukan Palestin. Orang Kelantan panggil supik dan supik geleyar.

Apakah berita kali ini juga tersalah dengar oleh wartawan TV3, dan akan berlaku penafian sekali lagi. Kalau tersalah dengar, saya harap TV3 hantar wartawan yang tidak pekak.

Apapun, kita lihat nanti, berita manakah yang betul.

Ahad, 3 Januari 2010

Naik Bas ke Terengganu

Letih. Pagi-pagi lagi, selepas Subuh, aku, isteri, anak nombor 1, 2 dan 6 dah keluar rumah, menuju ke Besut. Sebenarnya, sambil hantar anak nombor 1 ke SM Teknik Bachok. Aku pula terus ke Terengganu, berseorang diri.

Dari Kuala Besut aku naik bas S.P. Bumi ke Kuala Terengganu. Pukul 8.30 pagi dan sampai pukul 11.30 pagi. Tambang bas RM10. 80. Dari KT aku naik bas Himda pukul 11.30 pagi ke Dungun dan sampai pukul 1.30 tgh. Tambang RM6.00.

Tujuannya, mencari buku lama untuk kedaibukumaya.blogspot.com. Cari-cari-cari, apabila dijumlahkan, wah, RM500. 00 lebih.Maka, berserekel-berserekollah aku naik bas, macam para isteri balik dari pasar.

Teukenya kedekut, beri sikit saja diskaun. Tapi, harganya masih murah berbanding harga buku terpakai di Chorostar, Pinang (Tak tahu eja). Mamak tu lagi kedekut.

Perjalanan balik pula, aku terpaksa naik bas Himda, pukul 6.30 ptg,  ke Permaisuri kerana bas ke Kuala Besut atau Jertih sudah berlepas. Pukul 8. 30 mlm baru sampai. Tambang RM4.00. Aku telefon isteri, mohon datang ambil. Kesian isteri. Jauh juga dari PC ke Permaisuri. Kami singgah makan tomyam + nasi putih (isteri) dan nasi + sup campur + telur dadar (aku) di Kandis. Minum air suam. Harganya RM11. 00.

Pukul 12.30 mlm baru sampai di rumah.

Dalam perjalanan pulang, isteri beritahu harga barang sudah naik. Diam-diam saja. Musibah daripada kenaikan harga gula semalam. Anehnya, harga gula naik 20 sen, roti gardenia naik 30 sen. Tiket bas belum naik lagi. 

Aku buka tirai tahun baru bagi perjalanan jauh dengan menaiki bas. Tahun lepas pun aku naik bas, dari PC - KB - PP - Jertih - KT. kerana urusan menjalankan tugas kerajaan. Majikan amal sikap jimat-cermat. Kami sering kongsi kereta. Ada kalanya sampai 4 orang sebuah kereta. Aku ambil keputusan kongsi bas. Baru jimat betul. Berserekel-berserekol naik bas dengan bag pakaian, bag komputer dan dokumen. 

Sesekali aku terhina diri: Dah jadi pensyarah pun kena kongsi kereta. Padahal pergi buat kerja resmi. Apa boleh buat, itu je standardnya.

Sebenarnya, aku suka naik bas. Aku dapat lihat pelbagai pemandangan sambil berkhayal. Sesekali tidur. Setakat ini aku telah kumpul banyak tiket Bas Hentian, pelbagai syarikat di Terengganu, Kedah, Perak, Selangor, N9, Pahang. Aku tidak ada tiket Bas Hentian syarakat bas di Kelantan kerana syarikat guna tiket kertas gulung seperti bil beli barang di pasar raya.

Aku bercadang nak buat kajian penggunaan bahasanya. Aku menyuarakan hasrat itu kepada beberapa teman, tetapi mereka kurang setuju kerana tiada kepentingan. Aku balas, itulah gambaran penggunaan bahasa dalam masyarakat / korporat.  Aku percaya, kalau berhasil, suatu masa nanti, kajian aku itu akan jadi rujukan penting.