Sabtu, 30 Mei 2009

Melawat Sekolah dan Perkampungan Orang Asli Kaum Jahai

Ustaz Aziz mengetuai rombongan melawat perkampungan orang asli

Pada 6 Mei 2009 aku bersama rombongan pelajar melawat SK Pasir Linggi, Gua Musang. Ini pertama kali aku ke sana. Muridnya tinggal di asrama dan sekali gus dijadikan sekolah. Sekolah asal sudah tiada, manakala sekolah baharu belum menjelma. Gurunya sekitar 10 orang. Namun sepanjang aku di sana, hanya sekitar empat orang guru sahaja yang ada. Yang lain berkursus, bermesyuarat dan sebagainya.











Garaj kereta dan Makmal Komputer Asrama dan sekali gus bilik kelas

Jarak dari persimpangan jalan Gua Musang – Kuala Krai ke sekolah sekitar 5 KM. Kalau tidak hujan, kereta dapat masuk sampai ke perkarangan sekolah.
Ada kuarters khas untuk guru, ada kantin yang menyediakan makanan percuma dan ada makmal komputer dan set komputer. Pada tempat tertentu dapat capai talian internet. Di sini juga ada seorang pegawai, sepenuh masa, dari Jabatan Hal Ehwal Orang Asli. Tidak ada pula pegawai dari Jakim atau seumpamanya, tinggal di kampung ini.

Masyarakat di Kampung Pasir Linggi terdiri daripada suku Jahai. Wajahnya persis seperti kaum Negro di Afrika. Rambut berkerinting halus dan berkulit gelap. Mereka disahkan beragama Islam. Walaupun agak pemalu, mereka bersedia melayani kita.

Sewaktu melawat kampung, aku dapat mengesan bahawa kampung ini telah lama wujud. Pokok kelapa tumbuh tinggi melangit. Mereka tinggal di pinggir Sungai Linggi. Kerjanya seperti kelaziman kerja orang-orang asli di Malaysia: memburu dan mencari hasil hutan. Ada tanaman getah dan serai yang baharu diusahakan. Daripada pemerhatian, nampak benar hidup mereka susah. Ada unsur-unsur hidup mereka dimanipulasi oleh pihak tertentu.

Purata mereka mempunyai tiga buah rumah. Satu rumah konkrit. Mungkin bantuan kerajaan. Bersebelah rumah konkrit ialah rumah diperbuat daripada papan. Dan satu lagi rumah yang diperbuat daripada tumbuhan hutan, dikenali sebagai hayak. Hayak ialah rumah gaya asal mereka. Atap dari daun lakap atau bertam atau seumpamanya. Dinding daripada buluh. Walaupun ada dua rumah, mereka lebih selesa tinggal di hayak. Aku terbayang akan diriku. Gaji beribu-ribu, satu hayak pun tidak ada, usahkan rumah konkrit.

Aku memerhati anak-anak orang asli. Ada sesetengah berwajah seperti orang Melayu. Mereka ada kesedaran untuk belajar. Bersedia menjalani aktiviti pembelajaran. Kita mudah berinteraksi dan sedia menjawab pertanyaan guru, berbeza dengan murid di SK Pos Brooke dan SK Pos Raya. Mereka tidak mahu menjawab apabila ditanya. Ini menyukarkan proses pembelajaran.

Program Hospital Gua Musang - Menjaga Kebersihan Gigi

Disiplin mereka agak mudah dibentuk. Tanpa disuruh (telah dilatih) mereka beratur ketika mendapatkan air di Water Cooler. Pakaiannya pun kemas. Aku fikir generasi orang asli di sini boleh maju, kalau diberikan sokongan.

Tanpa disuruh, mereka beratur mendapatkan minuman

Satu nilai yang sangat bagus dalam masyarakat orang asli ialah ikatan keaslian (kekeluargaan) dalam masyarakatnya sangat kuat. Mereka hidup bersatu padu dan tidak gemar bergaduh. Keuntungan dikongsi bersama dan mereka sangat jujur.

En. Ibrahim (berbaju putih) bersama masyarakat Jahai

Adat budaya mereka yang utama ialah Sewang. Ada pelbagai jenis Sewang. Pada malam terakhir, rombongan kami dipersembahkan acara sewang oleh murid-murid. Mereka menyanyi sambil berjalan berentak mengelilingi bulatan. Aku turut bersewang, walaupun rentak badan dan kaki tidak menepati dan tiada seni.

Murid-murid bersewang Alat muzik daripada buluh. Yang berketayap ialah pegawai JHEOA


Rabu, 27 Mei 2009

Selamat Kembali Chin Peng

SELAMAT KEMBALI CHIN PENG

Amba tidak kenal anda dan sejarah hidup anda. Apakah sebab anda menyertai dan menggerakkan Partai komunis Malaya (PKM). Amba hanya kenal nama anda dan kekejaman PKM. Pada diri anda tidak ada setitik pun air kebaikan. Betapapun, tidak pula amba menyaksi atau merasai kekejaman anda.

Amba pun tidak tahu sebab anda ingin kembali ke Malaysia, setelah sekian lama meninggalkannya. Cuma, pada sangkaan amba, tempat jatuh lagikan dikenang inikan pula tempat bermain.

Setahu amba, sudah beberapa pemimpin PKM yang kembali ke Malaysia. Bermula dengan Musa Ahmad. Ada juga Shamsiah Fakeh. Ramai tidak setuju apabila Shamsiah Fakeh berhasrat untuk kembali ke Malaysia. Amba pun tidak setuju, sebagaimana amba tidak setuju anda diterima kembali.

Namun begitu, secara senyap-senyap, Shamsiah Fakeh diterima kembali ke Malaysia. Matinya pun di Malaysia. Oleh itu, amba fikir, tiada guna amba bantah anda kembali. Tanah inipun bekas negara anda. Kalau Musa dan Shamsiah diterima, mengapa anda tidak. Mereka pun PKM juga. Kalau PKM itu ganas, ertinya mereka pun ganas juga.
Lagipun, kuasa setuju dan tidak setuju ada pada kerajaan. Seribu kalipun amba tidak setuju, tiba-tiba kerajaan bersetuju, anda tetap akan kembali. Jadi, tidak setuju amba itu lebih menyakitkan hati sendiri sahaja. Amba tidak ada kuasa.

Oleh sebab itu, lebih baik, awal-awal lagi amba ucapkan SELAMAT KEMBALI CHIN PENG. Apabila kerajaan mengesah menerima anda, kembalilah. Cuma yang amba berharap, jika betul anda pengganas, janganlah anda kembali mengganas.

Semua manusia ada sejarah hitamnya. PKM pernah kejam terhadap askar. Askar pun pernah kejam terhadap PKM. Kekejaman itu tidak dapat amba bayang kerana amba tidak pernah menyaksinya. Yang amba tahu, kekerasan melampau sesetengah anggota polis. Misalnya, kekerasan melampau TS Rahim Noor yang memukul tahanan, atau kekerasan melampau FRU terhadap orang awam atau kekerasan melampau Mahadir terhadap rakyat.

Barangkali anda telah membaca inspirasi 1 Malaysia. Dan, anda tidak mahu ketinggalan menyumbang jasa. Barangkali anda mahu mencipta ketokohan dalam bidang yang lain pula.

SELAMAT KEMBALI CHIN PENG

Sabtu, 23 Mei 2009

Ibuku, Habsah

KEMBALI KE TANAH ALBUM
(Mengenang ibuku, Habsah)

Benih-benih pengalaman
yang kau tanam dahulu
sulurnya menjalar segar
ke dalam kebun waktu
kini
menggamit rinduku.

NASSURY IBRAHIM
Sumber: Elipsis, DBP, 2008: 48


HABSAH BINTI YACOB


Ini ibuku. Namanya Habsah binti Yacob @ Habsah binti Rokiah binti Said. Berasal dari Cherang Hangus, Bachok, Kelantan. Beliau banyak menasihati aku (dan juga membebel) agar aku rajin belajar dan menjadi seorang orang. Beliau gemar mencubit (ketam tangan) paha aku.

Dahulu ibuku berkerja menanam padi sawah, sayur-sayuran, menganyam tikar dan menjaja. Kini ibuku menoreh getah dan menjual kain. Buku rekod menjualnya aneh. Hanya beliau sahaja yang faham. Betapa kecil pendapatannya, beliau dapat mengumpul wang dan menunaikan fardu haji.


Buku rekod perniagaan ibuku
Pada tahun 1960-an, ibu dan ayah meneroka tanah di Kampung Tok Kah, Dungun, di samping berhasil membeli dua ekar tanah paya, daripada Cikgu Alias, di Kampung Balai Besar, Dungun, dengan harga RM600.00. Pada tahun 1990-an, ayah menyerahkan surat jual-beli tanah itu kepada Adun Rantau Abang, YB Cikgu Harun. Tujuannya ialah agar YB dapat menolong mendapat geran milik. Malangnya, yang menyusur surat amaran dari Majlis Daerah Dungun agar ibuku merobohkan rumah di atas tanah berkenaan, jika tidak mahu disaman / didakwa.



Salinan surat dari Majlis daerah Dungun

Tanah itu terlibat untuk pembinaan sekolah. Ibu berusaha mendapatkan pampasan daripada Majlis Daerah Dungun. Yang diperoleh ialah herdikan dan ugutan daripada pegawai bertanggungjawab.

Sekolah Kebangsaan Balai Besar, Dungun

Oleh sebab takut didakwa, sebagaimana dinyatakan dalam surat, ibuku merobohkan rumah di tanah berkenaan. Tidak lama kemudian, Sekolah Kebangsaan Balai Besar dibina di situ. Tanah ibuku menjadi sebahagian daripada kanten dan padang sekolah.

Kini ibuku sudah tua. Ayah pun sudah mati. Aku tetap anggap tanah itu harta pusakaku. Jika perampasannya secara ihklas (tiada bayaran kepada mana-mana pihak dan telus), aku anggap tanah itu sebagai wakaf. Pahala wakafnya untuk ibu dan ayahku. Jika sebaliknya, ada unsur-unsur penyelewengan, aku anggap tanah itu harta pusaka aku. Tentunya aku tidak halal dan maaf pada mereka yang terlibat.


TANAH
Dari tulang Tuhan beri
tapai
dari tapai Tuhan beri
wang
dari wang Tuhan beri
tanah
malangnya, sekakang tanah
ibu dicuri politikus.

15 Jun 2005

Isnin, 18 Mei 2009

Hala Tuju PPSMI

Tulisan Rubaayah Osman, Ketua Pegawai Perhubungan Awam Kementerian Pelajaran, dalam akhbar Berita Harian bertarikh 13 Mei 2009, jelas terjawab hala tuju PPSMI yang kontroversi itu. Katanya, dalam tulisan bertajuk Hala Tuju PPSMI Sedang Dikaji, "Kini, Kementerian sedang memurnikan kertas kerja hala tuju PPSMI untuk diserahkan kepada kabinet."
Dalam Kamus Dewan, maksud perkataan 'memurnikan' ialah membersihkan benar-benar, menyucikan. Tentunya kita sedia maklum bahawa maksud 'membersihkan' ialah membuang kekotoran yang melekat pada benda yang dibersihkan. Ia bukan bermaksud membuang benda tersebut. Membersih kasut bukan bererti membuang kasut.
Dalam hal PPSMI, GMP dan rakyat mahu membuang PPSMI, bukannya membersihkan PPSMI.
Mengapakah setelah sekian tahun berjalan PPSMI, baharu KPM mahu membersihkan? Siapakah yang mengotorkan? Rupa-rupanya, selama ini, PPSMI adalah kotor.
Kekotoran PPSMI itu tentunya berkaitan dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini. Menurut TS Muhyidin Yassin, persidangan meja bulat hanya merakam pandangan peribadi peserta yang berasaskan rasa dan ia bukan fakta. Ertinya, para jawatankuasa dan pengerak meja bulat PPSMI dan pengerusinya (Siapakah mereka) merekacipta dan menggubah emosi menjadi fakta. Merekalah yang menipu menteri dan rakyat selamat ini. Kalau aku jadi PM suatu masa nanti, penipu inilah akan aku simpan dalam ISA. Mereka bukan sahaja mengotorkan bahasa Melayu, malahan bangsa Melayu dan negara Malaysia.
SEKARANG SUDAH JELAS BAHAWA PPSMI AKAN TETAP DITERUSKAN.

Khamis, 14 Mei 2009

Penyair Sutung Umar RS


SAUDARA SUTUNG UMAR RS

Pada 6hb. Mei 2009, melalui bantuan Rahimidin Zahari, aku dan Mohd Hasbi Haron berkunjung ke rumah Sutung Umar RS di Gombak. Kami dalam perjalanan ke tempat berkursus di Shah Alam.
Lama benar aku tidak berjumpa dengan Sutung Umar RS. Beliau kini kurang sihat. Satu jari kakinya terpaksa dipotong akibat kerakusan kencing manis. Beliau kelihatan kurus, tetapi cintanya pada Gudang Garam masih kental. Dalam sakit dan kurang daya itu semangat sastera-budaya dan berfikir (menggali ilmu tinggi) pun masih kental juga. Beliau tunjuk beberapa buah buku yang sedang ditelaah seperti studi tentang kitab Hikam, Khalil Gibran dan sebagainya. Di rumahnya terdapat banyak buku, di ruang tamu dan bilik bacaan. Ditunjukkan juga kepada aku (dalam youtube) cara Adiba Parven buat persembahan. Aku rasa teruja.

Sdr. Sutung Umar RS, Mohd Hasbi Harun dan Rahimidin Zahari

Aku kenal nama Sutung Umar RS semasa tingkatan empat, melalui buku Titian Zaman diselenggara oleh Ajikik dan Usman Awang. Aku juga beli buku ulasan Titian Zaman yang ditulis olehnya. Namanya yang pelik itu (dan nama-nama penyair lain) turut mempengaruhi aku mencari nama pena. Melalui rakan-rakan penulis aku berkenalan dengan Sutung Umar RS. Ternyata, beliau bukan penyair yang kelorek, dan mudah didampingi. Beliau sentiasa memberi majalah Dewan Sastera dan majalah Pentas percuma kepada aku dan belanja makan-minum.
Sutung Umar RS seorang penyair, cerpenis, editor, wartawan, penulis bebas, pengukir, aktivis, penerbit teater merupakan antara individu yang banyak berjasa memasarkan karya aku. Beliau merupakan orang (editor) pertama menyiarkan sajak aku dalam majalah Dewan Sastera, dalam Dewan Budaya dan Jurnal Perisa. Beliau juga pernah meminta aku membuat tinjauan tentang Rancangan Teater Novel dan disiarkan dalam majalah Dewan Sastera.

Beliau juga merupakan antara penggerak utama acara baca sajak di rumah Pena, yang berlangsung lebih 10 tahun, dan bekerja untuk kemajuan sastera-budaya tanpa mengira waktu siang, malam mahupun hari minggu.

Kumpulan sajak pertamanya, Taburkan Bunga. Beliau tiada kumpulan cerpen dan namanya tiada dikaitkan dengan cerpen. Namun begitu, melalui pemerhatian aku, cerpennya yang sedikit itu, mempunyai jalur tersendiri.

Sebelum pulang, aku memohon izin ke tandas untuk membuang air kecil (bimbang terkena jangkitan kencing manisnya!). Wah, dalam tandas pun ada buku! Ada dua novel Inggeris. Satu terletak di atas tangki air tandas dan satu lagi di atas rak barangan mandi. Inilah pertama kali aku jumpa buku disimpan dalam bilik mandi/tandas.
Terima kasih Sutung. Semoga Allah membalas jasamu dan memberkati hidupmu. Amin.

Isnin, 11 Mei 2009

Herek


Herek (kn) dan mengherek (kk) bermaksud meleraikan padi daripada romannya (tangkai padi) dengan cara memijak-mijak dan menggesel tangkai padi dengan kaki. Biasanya tangkai itu diikat dan dipanggil gemal. Padi yang siap diherek akan dianginkan untuk membuang padi hampa, dan kemudian dijemur. Inilah kerja aku pada zaman kanak-kanak dan awal remaja dulu. Aku mengherek tidak memakai kasut (berkaki ayam), sekali gus berfungsi sebagai urut tapak kaki. Sekarang tiada lagi aktiviti ini dan menjadi kenangan peribadi sahaja kerana padi masak dipetik menggunakan jentera.

11 Mei 2009

Selasa, 5 Mei 2009

Pelanduk Nagori


Menurut empunya ceritera, ada sebuah kampung terletak jauh di muara Sungai. Dalam kampung itu ada seorang pemuda bernama Nagori. Adapun Nagori ini gemar memelihara binatang. Ada bermacam-macam binatang dipeliharanya. Binatang-binatang itu adalah hasil buruannya di Kampung Hulu Sungai.
Pada suatu hari, terdengar oleh raja akan pekerjaan Nagori memelihara binatang. Baginda terasa ingin melihatnya. Maka baginda dan Mamanda pun berangkat ke kampung Nagori. Berbunga-bunga hati Nagori menyambut kunjungan baginda.
Tanpa berlengah, Nagori mengiringi baginda melawat ladang ternakannya. Sangat gembira baginda melihat binatang-binatang peliharaan Nagori. Ditanyalah oleh baginda binatang itu binatang ini. Semuanya dijawab oleh Nagori dengan rasa megah.
Tiba-tiba baginda terpandang pada seekor binatang. Badannya bulat seperti gendang. Kepalanya panjang seperti gedombak. Hidungnya putus seperti buluh terpotong. Di sebelah binatang itu ada beberapa ekor pelanduk. Maka bertanyalah baginda kepada Nagori, “Apakah nama binatang itu, wahai Nagori?”
Segera dijawab oleh Nagori, “Itulah pelanduk, Tuanku.”
Berkerut dahi baginda mendengar jawapan Nagori. Dari mulut baginda terlompat kata-kata, antara dengar tidak dengar, “Eik, pelanduk peliharaanku bertubuh kecil, sedang binatang ini bertubuh besar dan bulat.”
Sekali lagi baginda bertanya kerana tidak puas hati dengan jawapan Nagori, “Pelanduk apakah bermucung panjang berhidung putus, wahai Nagori? Beta tidak pernah melihatnya.”
Nagori terkejut mendengar pertanyaan baginda itu. Rupa-rupanya dia telah tersalah jawab. Sangkanya, baginda bertanyakan akan pelanduk yang sedang menyisir itu.
Oleh sebab takut akan dihukum raja, Nagori menyakinkan diri menjawabnya. Dia tahu raja tidak mengetahuinya. Kalau tidak, masakan raja bertanya.
“Ooo …. Itulah Pelanduk Nagori, Tuanku. Jarang terdapat di dunia ini,” jawab Nagori dengan penuh yakin.
Baginda diam. Seketika kemudian, baginda bertanya pada pembesarnya.
“Benarkah itu Pelanduk Nagori, wahai Mamanda?” titah baginda.
“Benarlah kata-kata Nagori itu, Tuanku. Patik sendiri pun tidak pernah melihatnya,” sembah Mamanda.
Apabila mahu berangkat pulang, Nagori pun menghadiahkan sepasang Pelanduk Nagori kepada baginda. Sangat besar hati baginda menerimanya. Pelanduk itupun dipelihara oleh baginda di sebuah bukit. Maka, sehingga sekarang dinamakan orang bukit itu sebagai Bukit Pelanduk. Dan, binatang itu kekal bernama Pelanduk Nagori.
5 Mei 2009

Ahad, 26 April 2009

Inikah Hasil Kerja Kursus Graduan Universiti?

Aku mengajar calon guru, Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI). Mereka merupakan graduan dari pelbagai universiti tempatan dan luar negera, dan memiliki ijazah dalam pelbagai bidang profesional dan nonprofesional. Ada yang telah bekerja dan ada yang masih mengganggur ketika memohon KPLI. Antara pengalaman kerja mereka ialah peguam, jurutera, pensyarah kolej swasta, pegawai di syarikat tertentu dan sebagainya.

Dalam ruangan terhad ini, aku ingin berkongsi duka pengajar. Ia sebagai bahan renungan dan muhasabah diri kepada saya, para pelajar universiti dan kolej, dan para pensyarah.
Perhatikan hasil kerja kursus empat halaman. Aku pilih hasil tugasan ini kerana sesuai dengan ruangan blog yang terhad.
Pada awal Mac aku beri satu tugasan berkumpulan dan dikehendaki hantar pada akhir April. Tajuknya, “Bincangkan aspek morfologi dalam cerpen pilihan.” Setelah memeriksa, aku dapati sebahagian daripada mereka gagal menghasilkan kerja kursus yang memuaskan. Ada yang sederhana buruk dan ada yang tersangat buruk. Mereka seakan tidak tahu langsung cara menghasilkan kerja kursus yang bermutu. Mereka menulis perihal morfologi secara umum tanpa menganalisis aspek morfologi dalam cerpen pilihan. Mereka tidak penduli langsung pada fokus soalan – morfologi dalam cerpen. Ada yang hantar berbelas halaman, dan ada yang hantar empat halaman sahaja.

Perhatikan judul. Dalam kamus tidak ada perkataan "morfol." Yang ada perkataan "morfologi" yang bermaksud kajian tentang pembentukan kata dalam sesuatu bahasa. Memang perkataan sebenar ialah “morfologi.” Barangkali perkataan "morfol" itu adalah kesilapan menaip. Memberi perhatian untuk menyemak kesilapan bukan kerja yang merugikan.

Berdasarkan judul itu terlihat bahawa mereka tidak mampu mencipta satu tajuk yang kreatif dan kemiskinan sikap bertanggungjawab.

Perhatikan pula pengenalan yang bermula dengan “Definisi.” Ayat bermula dengan perkataan 'ialah' bagi menjelaskan maksud morfologi. Tidak ada proses menganalisis definisi dan rujukan. Kemudian, dibuat subjudul dan penerangan perihal subjudul berkenaan dalam bahagian definisi. Adakah penulisan definisi ini wajar?

Gambar di sebelah ialah halaman 2 kerja kursus tersebut. Perhatikan cara penulisan. Tiada penghujahan idea. Mereka hanya mencatat maklumat yang ditemui dalam buku. Jangan-jangan mereka merujuk buku nota tingkatan enam.
Adakah ia menggambarkan seorang pemegang sarjana muda? Atau, seseorang yang telah terlatih di pusat pengajian tinggi. Atau, mereka ingin memberitahu bahawa pendidikan di pusat pengajian tinggi kita tidak bermutu. Pada saya, cara penulisannya tidak menjana pemikiran langsung. Disyaki mereka tidak gemar membaca, atau kurang berusaha, atau malas berfikir.

Ini halaman 3. Judul dan subjudul tidak diberikan penerangan jelas. Sekali lagi jelas tidak menggambarkan penjanaan pemikiran dan tiada langsung nilai seorang graduan.
Aku terfikir, di manakah nilai sarjana muda mereka. Apakah tidak ada kerja kursus semasa di universiti? Apakah ijazah yang mereka miliki itu dibeli? Apakah ada universiti di Malaysia menjual ijazah? Atau, apakah aku perlu mengajar semula cara menulis kerja kursus yang baik kepada pemegang ijazah?
Setahu aku, setiap pelajar yang mendaftar di IPGM akan dibekalkan 'Buku Panduan Pelaksanaan Penilaian Kerja Kursus Berasaskan Ilmu' yang dikeluarkan oleh Unit Peperiksaan dan Penilaian, Bahagian Pendidikan Guru (BPG) yang berkuat-kuasa Jun 2006. Barangkali, panduan inipun mereka tidak membacanya.
Halaman 4 dan terakhir. Penulisannya seperti rangka karangan pelajar tahun lima. Atau, nota ringkas. Kalau macam inilah caranya, aku boleh siap 10 kerja kursus sehari. Tiada penutup / kesimpulan dicatatkan. Sebab, hasil kerja mereka itu bukan membincangkan maklumat atau membahas idea yang diperoleh.
Tiada langsung perbincangan tentang fokus soalan, iaitu aspek morfologi dalam cerpen pilihan. Tuan-tuan tahu sebab apa mereka tidak membincangkan fokus soalan? Sebabnya, soalan memerlukan mereka menilai aspek morfologi dalam cerpen, sedangkan aspek itu jarang dikupas dan maklumatnya sukar diperoleh. Mereka terpaksa menganalisis sendiri dan mencari aspek morfologi dalam cerpen berkenaan. Mereka hanya mengemukakan maklumat umum tentang morfologi yang diperoleh dari buku sahaja. Berapakah markah perlu saya beri bagi kerja kursus seperti ini?

Setakat inikah graduan universiti Malaysia mampu berfikir dan menghasilkan kerja? Wahai sahabat-sahabatku pensyarah universiti, apakah perasaan anda? Berbanggakah universiti melahirkan graduan setaraf calon UPSR ini?

Mereka ini ialah orang-orang terpilih daripada puluhan ribu yang memohon KPLI. Sekiranya graduan yang terpilih hanya mampu menghasilkan kerja kursus setaraf ini, bayangkan, mereka yang tidak dipilih. Atau, mereka menganggap, "kalau lembu masuk IPGM, lembu pun boleh jadi guru," atau yang sukar ialah memohon masuk IPGM, apabila sudah masuk, gerenti akan keluar jadi guru.

Aadduuuhhh, duh, duh, duhhhh, graduan universiti. Jangan memalukan diri, pensyarah, jabatan, universiti, IPGM dan negara anda.

Saya menunggu pandangan pembaca, khususnya pelajar dan pensyarah universiti.

Surat Penyair Mokhtar Taib (2008)


Saudara Nasuri Ibrahim,
Yang Mulia, Budiman
Saya mengucap setinggi-tinggi terima kasih kepada saudara di atas tulisan saudara mengenai diri saya dalam majalah Sastera (Jendela Timur - April 2003) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Kelantan (cawangan Kelantan). Penghormatan yang saudara berikan dalam tulisan artikel mengenai penilaian penulisan saya dalam dunia sastera adalah hasil suatu yang penilaian yang jujur dan ikhlas bukan pilih kasih atau pilih bulu. Nampaknya saudara telah mengkaji latar belakang sejarah perjuangan hidup saya dalam penulisan sastera. Saya tabik hormat di atas kejujuran dan penilaian saudara yang ikhlas itu tanpa saya minta menulisnya, saudara bukan manusia hipokrit tetapi saudara adalah sarjana tulin dalam bidang pengkaji sastera. Saya doakan semoga Tuhan mencurahkan rahmat dan kemuliaan di atas ketulusan saudara sebagai seorang sarjana sastera, teruskanlah bakti saudara dengan ilmu yang rabbani, murni lagi suci! Tulisan saudara mengenai diri saya adalah benar dan tulus ikhlas bukan dibuat-buat.
Bersama ini saya hantarkan beberapa tulisan saya untuk saudara renung dan baca.
Sekian Dari Pejuang Sastera dan Pejuang Kebenaran.
Yang Ikhlas
tt
Mokhtar Taib
Projek Pertanian KETARA
Gerai, 22000 Jerteh,
Terengganu.
09-6971066.

Selasa, 21 April 2009

Peribahasa Cermin

Mat Nasir pecah cermin
Mat Sabu kena tangkap.
21 April 2009
Maksud peribahasa ini bersamaan dengan peribahasa, "Orang lain makan nangka, orang lain kena getah."



Kemalangan Bas

Apabila anda mendengar ada bas kemalangan,
soalan pertama harus anda tanya ialah;
"PEMANDUNYA ADA BERAPA SAMAN TERTUNGGAK?"

Isnin, 20 April 2009

Dua Buah Sajak Terjemahan


DEMIKIAN

Alkisah, maka berkata fakir yang hina,
'Siapakah geranggan tuan hamba?"

Adapun jawab Nuruddin,
"Hamba ini tanah
hamba tanah dari hati bumi
tanah berwarna putih hitam kuning
hamba tanah wangi harum kasturi
tanah bermandi lautan ketuhanan
hamba tanah kecil cantik berseri
tanah bersifat akan sifat ketuhanan
tanah terendam air 40 tahun
tanah terpanggang api 40 tahun
tanah beruli air dan api 40 tahun
tanah jasad putih hitam kuning
tanah roh Tuhan Ilahi
tanah sakral lagi mulia."

Adapun pada fakir yang hina itu,
maka fahamlah ia seraya berkara:
"Kalau demikian olehmu, tuan,
maka hamba ini:
tanah yang kembali ke tanah
tanah yang kembali ke Tuhan."

Berita Minggu, 9 Mei 1999


THUS

As the story goes, then spoke the humble seeker,
"Who are you sir?"

Then Nuruddin answered,
"I am this earth
i am the earth from the heart of the land
the earth coloured white black yellow
i am the earth fragrant with the scent of kasturi
i am the earth bathed in heavenly waters
i am a small piece of earth, of radiant beauty
the earth, god-like in its aspects
the earth soaked in water for 40 years
the earth roasted in fire for 40 years
the earth forged in water and fire for 40 years
the earth fleshed out in white black yellow
the earth soul of God Almighty
the earth sacred ang beneficient."

and the humble seeker
understood and said:
"if it be thus sir
then I am:
earth that returns to earth
a god who returns to God."

Berita Minggu, May 9, 1999
Translated by FADILLAH MERICAN




MENIMBA LAUT
(Satu episod cinta)

Bertahun-tahun dia
menimba laut
dan menggarami tubuhnya
laut tak juga kering
dan tubuhnya
tak juga masin
betapapun, dia
tak bisa berhenti
menimba laut
kerana katanya:
"Di sini, di dalam laut inilah
bertakhta
Tuan Puteri Mahtabul Bahri."

Dewan Sastera, Januari 1992



BAILING THE SEA
(An episode of love)

For years he
bailed the sea
and seasoned his body
but the sea did not became dry
and his body
did not get salty,
yet, he
could not stop
bailing the sea
because he said:
"Here, under the sea
is enthroned
Princess Mahtabul Bahri!"

Dewan Sastera, January 1992
Translated by FADILLAH MERICAN.

Terjemahan kedua-dua sajak di atas diterbitkan dalam MALAY LITERATURE Volume 15 Number 1, 2002 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur


Gila Gelar


SEORANG Tan Sri, enam orang datuk dan tiga orang doktor menjuih bibir melihat Bulan Anak Langkau, diiringi seorang Peguam Muda, melangkah masuk ke kandang salah. Budak itu kelihatan kebinggungan. Matanya bagai rusa masuk pekan.
“Bulan anak Langkau,” Jurutuduh memecah kesunyian suasana.
Yang Ariff menjeling dari bingkai atas cermin rabun dekat sebesar jari kelingking bertenggek di atas hidung besar berkerutu miliknya. Bulan tidak berkata apa-apa. Menyahut tidak senyum pun tidak. Hanya mata melilau-lilau tidak ketentuan.
“Anda dituduh membaling 10 biji batu dengan sengaja hingga mencederakan seorang tan sri, enam orang datuk dan tiga orang doktor,” Jurutuduh berhenti sejenak, memandang Bulan anak langkau, dan kemudian menyambungkan suara, “ Adakah anda mengaku salah?”
Bulan anak Langkau masih diam. Hanya mata terkebil-kebil memandang Yang Ariff, Jurutuduh, Tuan Dakwa, Tuan Bela dan para tamu. Sikap membisu Bulan anak Langkau memaksa Jurutuduh mengulangi pertuduhan.
Hasil bantuan polis, Bulan anak Langkau mengangguk dan kemudian menggeleng. Mengangguk lagi dan menggeleng lagi. Yang Ariff merenung telatah Bulan dan bersuara, “Jawab ya atau tidak.”
“Ti … ti … tidak.”
Mendengar jawapan Bulan, Yang Ariff bertanya, “Adakah awak lantik peguam?” Tuan Bela bangun dan berkata, “Saya, guam belanya, Yang Ariff.
Yang Ariff memutuskan pembicaraan dijalankan segera.
Sambil menunjukkan objek, Tuan Dakwa bertanya Bulan akan nama objek itu. Dijawab oleh Bulan, “Batu.” Ditanyakan lagi akan kegunaan batu dan kemudian ditanyai sebab Bulan membaling batu ke arah tan sri, datuk dan doktor. Dijawab oleh Bulan bahawa dia tidak baling batu ke arah mereka.
“Habis, kepada siapa awak baling batu?” Tuan Dakwa memancarkan sinar retina pada muka bulan.
“Saja baling-baling batu,” agak lancar jawapan Bulan.
“Ke arah mereka?”
“Hutan kampung saya.”
“Anda ambil 10 biji batu dan baling tan sri, datuk dan doktor,” Tuan Dakwa memancing pertuduhan.
“Ke arah hutan di kampung saya.”
“Anda mencampak batu apabila melihat mereka?”
“Tidak.”
“Anda lempar batu ini ke arah mereka,” Tuan Dakwa menunjukkan sebiji batu.
“Saya tidak baling batu.”
“Bukan baling batu? Habis, awak baling apa?”
“Batu,”
“Tadi awak kata bukan baling batu. Kemudian, awak kata baling batu. Mana satu. Baling batu atau baling bukan batu?”
“Saya baling batu.”
“Awak jangan main-main. Ini mahkamah. Awak mesti cakap benar.”
“Saya baling batu.”
“Ya, bagus. Sekarang awak mengaku. Awak baling batu ke arah tan sri, datuk dan doktor?”
“Tidak. Saya baling-baling batu bukan baling batu.”
“Kenapa arah mereka?”
“Tidak. Saya tidak lihat mereka. Saya baling ke arah hutan, bukan ke arah orang.”
Melihat berlaku ketegangan, Tuan Bela bangun mencelah.
“Ya, Yang Ariff. Anak guam saya tidak baling batu, tetapi main baling-baling batu di kampungnya, Kampung Angin Dingin,” tegas Tuan Bela. “Di kampung mereka, Yang Ariff. Perkampungan orang asli. Mereka selalu main baling-baling batu. Itulah permainan mereka, Yang Ariff.”
Tuan Bela mengeluarkan keratan akhbar dan menghulurkan kepada Yang Ariff. Dibaca oleh Yang Ariff persis sebagaimana di bawah.
AlSutani – 10 November. Seorang penganalisis gelar dari luar negara melaporkan hasil kajiannya mendapati 90 % rakyat negara alSutani mempunyai gelar.
Katanya, dalam kertas kerja bertajuk “Gila Gelar,” antara gelar yang digilamiliki ialah datuk, tan sri dan doktor.
Beliau mengandaikan bahawa jika baling 10 biji batu ke mana-mana sahaja, enam biji terkena kepala datuk, tiga biji terkena doktor dan satu terkena tan sri.
Yang Ariff cepat-cepat lipat keratan akhbar dan bertanya kepada mangsa, “Di manakah kamu berada ketika terkena batu?”
Para mangsa itu serentak menjawab, “Di hutan di Kampung Angin Dingin. Kami sedang memburu.”
Mendengar jawapan itu, Yang Arif terus memutuskan bahawa kes ditutup. Tersentak Tuan Dakwa lalu bangun, “Tapi, Yang Ariff Datuk …” kata-kata Tuan Dakwa terhenti kerana Yang Ariff Datuk Hakim telah hilang si sebalik pintu kamarnya.
Seorang Tan Sri, enam orang datuk dan tiga orang doktor menjuih bibir melihat Bulan Anak Langkau, diiringi seorang Peguam Muda, melangkah keluar dari kandang salah. Budak itu kelihatan masih kebinggungan. Pun matanya masih melilau-lilau, bagai rusa masuk pekan.
Pengkalan Chepa
15 Mac – 18 April 2009

Ahad, 19 April 2009

Gila Pilihan Raya

Pilihan raya kecil (PRK) sesi PRU 12 bermula di Permatang Pauh (Pulau Pinang), diikuti Kuala Terengganu (Terengganu), Bukit Gantang (Perak), Bukit Selambau (Kedah) dan Batang Ai (Sarawak). Kecuali di Batang Air, semua PRK disertai oleh Parti Keadilan Rakyat mencapai kemenangan.
Barangkali kerana sering menang menyebabkan PKR berusaha untuk mengadakan PRK seterusnya di DUN Penanti (dalam kawasan Permatang Pauh). Saya fikir, PKR sudah mejangkakan bahawa jika ada PRK di DUN Penanti, PKR akan dapat mengekalkan kerusinya.
Pada pandangan saya, sikap PKR ini seperti orang gila pilihan raya. Alangkah baiknya, jika duit dan masa itu digunakan untuk memikirkan pembangunan negara. Dan, polis terus bekerja mengawal keselamatan negara, bukannya keselamatan bendera parti politik. Cari penjenayah yang menculik dan membunuh rakyat tanpa mengira fahaman politik.
Saya rasa malu apabila polis bertugas mengawal keselamatan bendera parti, sedang penjenayah dan pendatang haram meningkat dan bebas. Nak cari Helmi, disyaki penyebar gambar seksi E. Wong pun, tidak mampu. Sedangkan, air p ... r tumpah bertahun sudah dapat dicari.

Pilihan raya hanya menambahkan siri pembohongan dan kejahatan orang politik. Sedang, nasib rakyat terus menderita dan menderita. Elakkan pilihan raya kecil.

Reti Bahasa VS Tak Reti Bahasa


Saya mulai tulisan ini dengan dua kisah benar. Semoga kisah benar ini memberi peringatan dan pengajaran kepada kita.
Kisah Benar 1
Suatu pagi, ketika aku sedang bersiap-siap ke bilik kuliah, tiba-tiba pintu bilik Jabatan Pengajian Melayu terbuka, muncul dua orang pelatih guru. Mereka kelihatan segak dan bergaya, ditambah dengan tali leher dan baju bersarung kemas. Mereka masuk terus menuju ke meja rakanku. Kebetulan, rakan aku itu tiada kerana menghadiri mesyuarat di Pulau Pangkor. Dua orang pelatih itu meninjau-ninjau sambil membelek kertas dan fail di atas meja. Sekeping kertas dikeluarkan dari salah satu fail. Mereka berlalu tanpa mempedulikan aku yang sedang memerhatikan gelagak mereka.
Kisah Benar 2
ketika aku sedang mengajar, tiba-tiba pintu bilik kuliah diketuk. Aku berpaling. Kelihatan seorang pelatih guru berdiri tegak sambil tersenyum. Aku pun berkata, “Ya, sila masuk.”
“Selamat pagi Encik Ahmad. Maafkan saya kerana mengganggu.”
“Ya, ada apa?”
“Izinkan saya berjumpa ketua kumpulan. Ada maklumat penting dari keluarganya.”
Dua kisah benar itu mewarnai kerjaya saya sebagai pensyarah Bahasa Melayu Komunikasi. Sekali gus menggambarkan perilaku pelatih guru. Ia menandakan tinggi dan rendahnya perilaku seseorang, dan petanda tinggi dan rendahnya perilaku pendidik (dan generasi) pada masa akan datang.
Dua orang pelatih guru masuk bilik seseorang tanpa izin, tidak menyapa / beri salam kepada penghuni di dalam, menggeledah dan mengambil tanpa izin, dan berlalu tanpa meninggalkan pesanan adalah persis seorang pencuri. Dalam ilmu bahasa, mereka dilabelkan sebagai ‘tidak tahu bahasa’ atau ‘tak reti bahasa.’ Dalam ilmu budaya pula, mereka dianggap ‘kurang ajar’ atau ‘kekurangan ajaran.’
Saya kecewa dengan sikap begini. Sia-sia mengajar ‘Kesantunan Berbahasa’ (salah satu tajuk dalam Bahasa Melayu Komunikasi). Saya mengajar cara berkomunikasi baik, mengguna panggilan hormat, sopan dan berdisiplin, mohon izin sebelum menggunakan hak orang dan menghormati orang jika mahu orang menghormati kita.
Saya ajar mereka bukan setakat beri ilmu kesantunan berbahasa, malahan mempraktik perilaku dan penggunaan bahasa dalam pelbagai situasi. Malangnya, padi yang di tanam lalang pula yang tumbuh. Mereka bukan ‘orang’ kerana orang seharusnya,
Di sana padi di sini padi,
Baru sempurna sawah dan bendang;
Di sana budi di sini budi,
Baru sempurna menjadi orang.
Manusia sempurna ialah manusia yang menjadi ‘orang.’ ‘Orang' ialah manusia yang berbudi tinggi. Budi bukan sahaja menggambarkan jasa, malahan menggambarkan perilaku, status, keturunan, dan kesempurnaan ‘ajaran’ yang diterima oleh manusia berkenaan.
Berburu di padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.
Manusia ‘kurang ajaran’ atau tidak menjadi ‘orang’ ialah manusia yang diibaratkan bunga kembang tidak sempurna. Dalam bahasa Sosiologi, manusia jenis ini dianggap cacat. Walaupun fizikal segak dan bergaya, namun hatinya cacat. Bagi masyarakat Baba-Nyoya, mereka dianggap masyarakat asing.
Nang bouti nang, kui bouti kui
(nak kata orang bukan orang nak kata hantu bukan hantu)
Kisah Benar 2 pula menggambarkan betapa tinggi nilai kesantunan bahasa dan perilaku pelatih guru berkenaan. Aku hormat dengan kehalusan budinya. Nada suara lembut, senyum, menambahkan lagi seri assessori diri. Sungguh bertuah mereka yang menjadi muridnya. Tentu pelatih guru ini berasal dari keluarga baik-baik. Kata pepatah Melayu,
Usul menunjukkan asal
Bahasa menunjukkan bangsa
Berbunyi bahasa tahulah bangsa
Dalam kehidupan harian, kita sering bertemu dengan dua jenis manusia di atas. Manusia sempurna menjadi orang akan dipuji dan didoakan agar hidupnya sejahtera. Berbeza dengan manusia yang berkembang (membesar) tidak sempurna, sebagaimana Kisah Benar 3 di bawah ini.
Kisah Benar 3
Suatu hari ketika aku menyusur kaki lima premis satu perniagaan, aku terdengar seorang penunggang motosikal sedang maki hamun, “Celaka tuan punya kereta,” katanya. Oleh sebab penunggang itu berada di depan aku, aku pun bertanyakan, “Kenapa?”
“Ini orang tak reti bahasa?”
“Apa pasal?” kataku kerana belum faham sebab kemarahannya.
“Tadak baca. Ini tempat parkir motor, bukan parkir kereta.” Katanya sambil tangan menunjuk papan tanda.
Alangkah sialnya kita jikalau setiap hari dimaki hamun dituduh ‘celaka.’ Bukan salah penuduh/ pemaki, sebaliknya kita yang tidak peka dengan tatacara hidup bermasyarakat, tidak menghormati hak orang. Sikap tidak reti bahasa kita boleh menjatuhkan maruah keluarga (terutama ibu bapa) dan guru (kerana mereka juga mendidik kita). Lebih malang lagi kita dianggap orang berkuasa, kaya, berpangkat, tetapi mempunyai otak kecil disebabkan sikap tidak reti bahasa kita itu. Kita mempunyai kekayaan material, tetapi miskin jiwa kemanusiaan / kemasyarakatan.
Manusia seumpama ini tidak layak menjadi guru kerana guru merupakan pemimpin dan model kepada murid-muridnya. Dikhuatiri perilaku buruk guru akan menular ke jiwa murid-murid. Jikalau kekhuatiri ini terjadi, maka maktab/universiti dianggap sebagai kilang menghasilkan guru/agen pendidik generasi tidak reti bahasa. SEKIAN.

Khamis, 16 April 2009

Buku Terbaharu: Konteks Sastera dan Budaya Melayu

Dalam sebuah sajak pendek berjudul Nikmat, saya mencatatkan sebagaimana rangkap di bawah:


Apabila berjauhan
baru terasa
betapa nikmatnya
saat berdekatan.

(Elipsis, DBP: 67)

Sajak ini lahir kesan daripada perjalanan hidup saya sebagai generasi kedua selepas merdeka (lahir tahun 1960-an) yang telah dewasa. Saya dapati banyak nikmat yang dikecapi pada zaman kanak-kanak (tahun 1970-an) semakin mengecil dan menghilang. Tidak ada lagi permainan seperti tarik upih, main nusuk, berdikir dan berwayang kulit. Tidak ada lagi aktiviti sepakat seperti berderai, dan bewah. Tidak lagi kenal keris, rakit, pistol buluh, senapang ikan, jerat burung dan binatang hutan. Memang tidak betah lagi saya ulangi, namun setidak-tidaknya saya berharap dapat melihat pada kanak-kanak kini. Mereka semakin jauh dari akar Melayu. Justeru, mengapa mereka harus mencintai Melayunya? Itu generasi saya, dan tentu lebih lagi bagi generasi sebelum. Saya tidak sempat melihat Awang Belangga berbari tujuh hari tujuh malam, Main Puteri, Makyong dan sebilangan adat yang tidak sempat mewarnai jiwa saya. Justeru, saya tidak mengetahui rupa parasnya dan hanya tertarik oleh Pandai Cerita dan rakaman budayawan.

Saya rasai terlalu banyak yang sepatut saya tahu tidak saya ketahui. Melihat satu persatu identiti dan jati Melayu reput dan hilang di tanah air sendiri kerana dicatur, digadai dan dilepaskan oleh bangsanya sendiri. Apabila mendengar Pulau Batu Putih terlepas daripada hak milik, disebabkan sikap tidak peduli, saya tertanya sendirian: Apakah orang Melayu ada sifat nasionalis? Atau kepentingan kuasa, perut dan bawah perut itu lebih mendominasi diri. Keputusan Makhamah Antarabangsa pada 23 Mei 2008 terhadap tuntutan bertindah Pulau Batu Putih oleh Malaysia dan Singapura menyedarkan saya bahawa kalau tanah air boleh hilang dan berputih mata, inikan pula budaya nonmaterial. Ini semua petanda kehancuran yang telah, sedang dan akan berlaku. Maka hiduplah generasi pasca merdeka dalam dogengan orang tua, bahawa Survanabumi ini tanah yang perlu dicintai, kaya dengan semangat juang, kesantunan dan adabnya. Malangnya, ia dikhianati oleh generasi terdahulu. Maka jadilah saya (mungkin juga anda) sebagai perindu nikmat dan kejatian bangsa.

Demikian aspek yang mendominasi buku ini, yang saya bahagikan kepada dua bahagian. Bahagian Pertama berkenaan perihal Kesusasteraan. Saya rakam usaha mengecilkan fungsi bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu dalam bab 2, kehilangan cinta sejati kerana keterpesonaan individu terhadap modenisasi hingga tokohnya hilang jiwa dan kejatian diri (bab 3), konsep seni Melayu yang semakin hilang pengamal dan khalayak (bab 6), dan kehilangan moral dan keintelektualan dek pengisian kuasa, perut dan bawah perut (bab 7). Manakala, dalam bab 1 dan 4 adalah berkenaan usaha generasi kedua dan ketiga pascamerdeka bangkit mencitrai diri sebagai pengarang beridealisme. Mereka adalah sekelompok kecil generasi yang mencari akar bangsa yang hilang dalam genggaman bangsanya sendiri.

Dalam Bahagian Kedua pula berkenaan perihal budaya. Saya rakam konsep kejadian alam bagi orang Melayu yang dinafikan oleh sesetengah pihak (bab 1), konsep orang dalam sosio budaya Melayu yang semakin kecil peranannya (bab 2), ciri-ciri rumah Melayu yang semakin sukar dicari (bab 3), sistem nilai Melayu yang semakin bercelaru (bab 4), keindahan seni Melayu yang kian terpadam (bab 5), peranan penaung terhadap seni Melayu yang bertukar milik dan mengecil fungsi (bab 6) dan konsep seni bina masjid yang semakin tidak diketahui oleh generasi (bab 7). Semua ini adalah neonostalgia yang tidak mungkin kembali seperti asalnya. Maka jadilah saya sebagai perindu nikmat, dan kecelaruan jiwa bagi generasi muda.

Buku Konteks Sastera dan Budaya ini berusaha menggali kesarjanaan silam bangsa. Walaupun tidak menyeluruh, namun ia diharapkan sedikit-sebanyak dapat memberi pengetahuan berguna kepada generasi yang mencari akar bangsa. Baca dan tambahlah di mana kurang, tampal di mana bocor, seru di mana dapat, dan petik di mana nikmat. Hal ini kerana guru yang paling baik dan membijaksanakan muridnya ialah guru yang bergelar Sejarah, sebagaimana saya tegaskan dalam sajak Di Rumah Sejarah di bawah.

Masa lampau adalah rumah kita
yang mesra dan pemurah
di sini kita berhias bukan dengan cermin
di sini kita berhias dengan duri.

(Di Rumah Wiramal, Pustaka Nusa: 34)

Dan, dalam pantun di bawah pula tergambar rintihan dan kekesalan sekelompok manusia pulau yang semakin mengecil fungsi diri dan tanah pulaunya. Dulu mereka tinggal di depan pulau, kini mereka tinggal di balik pulau, dan akan datang saya percaya mereka akan tinggal di bawah pulau. Bunyi pantun karangan mereka itu ialah sebagaimana di bawah.

Pulau Pinang bandar baharu,
Kapten Light menjadi raja;
Kalau dikenang zaman dahulu,
Air mata jatuh ke riba.

Timbanglah betul-betul dan fikirlah bulat-bulat agar sebarang keputusan kita tidak membinasakan bangsa dan kebangsaannya. Selamat membaca.

Terbitan: Karisma Publication, 2009
Harga: RM25.00. Boleh pesan terus dari pengarang, guna kiriman wang tanpa palang.
Tel: o13-4141454.

Rabu, 15 April 2009

Autobiografi: Rumah Kenangan



Aku lahir di Pasir Puteh, Kelantan, di Kampung Telaga Gayung. Namun begitu, aku membesar di Kampung Tok Kah, Dungun, Terengganu. Setelah tamat belajar di tingkatan enam atas di SMK Tengku Intan Zaharah, aku kembali ke Pasir Puteh (1984 – 1987, 1990 dan 1995 - 1999). Tinggal bersama bapak saudara bernama Awang Yacob dan Saudi Yacob, dan kawan bernama Yudin Mat. Gambar-gambar di bawah ialah rumah yang pernah menggulit mimpiku.
Ini rumah emak saudaraku bernama Che Mah binti Idris. Terletak di Kampung Telaga Gayung, Pasir Puteh. Aku tidak tahu rumah sebenar aku dilahirkan kerana rumah berkenaan telah tiada. Walau bagaimanapun, tempat lahirku di kawasan sekitar rumah ini. Apabila aku kembali ke Pasir Puteh, rumah Mak Da Che Mah ini antara destinasi mimpiku. Aku juga menyusu Mak Da Che Mah. Emmmm ... sedapnya!

Kali pertama aku berhijrah dari Dungun ke Pasir Puteh, tahun 1984, aku tinggal di rumah ini. Menumpang Bapak Saudara bernama Awang Yacob (Pak Tih Awang). Beliau bekerja sebagai mekanik di Balai Polis Pasir Puteh. Rumah ini terletak di cabang 3 ke kompleks sekolah Kamil. Ia terletak di belakang Kedai kopi Pok Mat. Semasa di sini aku bersekolah di Institut Azam Malaysia.

Sekitar tahun 1985, Pak Tih Awang berpindah ke kuarters di Balai Polis Pasir Puteh. Aku ikut serta. Rumah kami di tingkat empat Blok D, bertentangan dengan Klinik Kesihatan. Aku tidak lagi bersekolah. Masa ini aku mulai bergiat aktif dalam Persatuan Penulis Pasir Puteh (Puspa), menjadi penulis sepenuh masa, di samping menjual buah tembikai di Pasar Pasir Puteh.

Dalam tahun 1985, aku berpindah dan tinggal bersama bapak saudaraku bernama Saudi bin Yacob (Paksu Udi). Rumah ini terletak di belakang SK Perempuan, Pasir Puteh. Kami menjual buah tembikai di Pasar Pasir Puteh.
Apabila Paksu Udi berkahwin, kami berpindah ke rumah ini yang terletak di Kampung Dalam Kemunting.
Sekitar tahun 1986, Paksu Udi berpindah ke Kampung Husin Pajak. Rumah itu sudah tiada. Ia terletak di tapak banglo ini. Semasa di sini, aku menyambung pelajaran di Sekolah Adabi Pasir Puteh.
Paksu Udi berpindah lagi ke rumah di hadapan tapak banglo di atas. Masa ini, Paksu Udi telah dapat seorang cahaya mata. Kini, rumah itu sudah buruk dan terbiar tanpa penghuni.
Tidak lama kemudian, aku berpindah ke rumah ini yang terletak di Kampung Kelubi. Aku tinggal bersama Yudin Mat. Beliau masih bujang, bekerja sebagai Posman di Pejabat Pos Pasir Puteh. Yudin Mat seorang pelukis dan aktivis persatuan.
Beberapa bulan kemudian, aku dan Yudin Mat berpindah ke rumah ini yang terletak di Kampung Baru. Rumah ini berhampiran Sungai Semerak. Sering juga le aku melepas kat sungai tu!
Sekitar tahun 1987, aku berpindah ke rumah ini yang terletak di Rumah Murah Bukit Gedombak. Selain menulis, aku turut jadi wartawan sambilan Majalah Ekonomi Rakyat yang berpengkalan di Kompleks Stesen Bas Butterworth. Inilah rumah terakhir zaman bujang aku. Semasa di sini aku telah mendapat tawaran Inspektor Polis dan maktab perguruan. Aku memilih maktab perguruan. Nasib baik aku pilih bidang ini, kalau tidak tentu aku jadi penjenayah kolar biru.



Tahun 1990 aku telah berkahwin. Ini merupakan rumah mentuaku yang terletak berhadapan dengan rumah sewaku dulu, di Rumah Murah Bukit Gedombak.

Semasa aku sambung belajar d UM, gajiku hanya tinggal RM500.00 sahaja. Untuk jimat pembelanjaan, aku berkongsi dengan rakan-rakan sepengajian di Kondominium Bukit Angkasa. Isteri dan dua anakku, aku hantar pulang dan menyewa di rumah ini, tidak jauh dari rumah mentuaku. Kini, ia terbiar.


Ini ialah rumah Pak Tih Awang, selepas tinggal di Kuarters polis. Rumah ini terletak di Taman Kobena, Pasir Puteh. Masa zaman bujang (dan selepas berkahwin juga), rumah ini menjadi destinasi aku apabila balik ke Kelantan, atau dalam perjalanan dari Dungun ke Pulau Pinang.

Demikian, secebis kisah hidupku. Tak sangka, banyak juga rumah yang pernah mengulit mimpiku dan kini jadi kenangan.


Adakah DS Najib Akan Jadi 'PM Boneka?'

Pada 6 April 2009 saya menerbitkan satu berita bertajuk, "Membaca Idealisme Kepimpinan Malaysia." Salah satu kandungannya, saya mejangkakan bahawa 'Dr M akan kembali menguasai kerajaan' dan 'PM DS Najib akan jadi PM boneka kepada Dr M @ PM berpelembagaan.' Nampaknya, kemungkinan hipotesis itu adalah cerah. Alasan;
  • DS Najib melantik Mukriz sebagai anggota kabinet dan menafikan hak Khairi, sedang Khairi berjawatan Ketua Pemuda Umno. Adakah DS Najib 'tidak' menerima Khairi sebagai Ketua Pemuda Umno;
  • DS Najib / TPM Muhyidin belum mampu beri keputusan untuk mansuhkan PPSMI yang diperkenalkan oleh Dr M, sedangkan isunya lebih hangat dan semasa berbanding isu tahanan ISA, penggantungan Harakah dan Suara Keadilan, dan kaji semual ISA;
  • khabarnya ada cadangan daripada Dr M agar PM DS Najib untuk melaksanakan projek jambatan bengkok yang pernah disekat oleh Tun A; dan
  • masih melantik orang-orang Dr M menganggotai kabinet

Apapun, rakyat berharap DS Najib dapat menyambung karisma dan kedaulatan ayahnya. Imej PM terdahulu dari persepsi rakyat ialah

  1. Tunku Abdul Rahman - PM Perjuangan
  2. Tun Abdul Razak Hussin - PM Khidmat
  3. Tun Hussein Onn - PM Diam (Tak Buat Kerja)
  4. Tun Dr Mahathir - PM Niaga
  5. Tun Abdullah Ahmad Badawi - PM Bulan Madu (Tidur)
  6. DS Najib Tun Razak - ?

PPSMI Tidak Akan Dimansuhkan

Saya mulakan dengan hipotesis: PPSMI tidak akan dimansuhkan. Alasan saya, pertama, kandungan memorandum Kementerian Pelajaran Malaysia yang telah dikatakan hampir siap untuk dibawa ke kabinet dan diluluskan. Akhbar BH 3 April 2009 melaporkan 7 syor yang terkandung dalam memorandum Kementerian Pelajaran Malaysia untuk pelaksanaan PPSMI ke Kabinet. Antara 7 syor itu ialah;
  • menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di peringkat sekolah rendah dan menggunakan bahasa Inggeris di peringkat sekolah menengah;
  • memulakan PPSMI di Tahun 4 hingga ke peringkat sekolah menengah;
  • menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah dan menengah;
  • menggunakan bahasa pengantar untuk Sains dan Matematik ditentukan oleh sekolah;
  • menggunakan bahasa Melayu atau ibunda di Tahun 1 hingga 3, dwibahasa di Tahun 4 - 6 dan bahasa Inggeris di sekolah menengah;
  • Mansuh mata pelajaran Sains di Tahap 1 - 3 tetapi ajar ilmu Sains dalam mata pelajaran lazin.

Berdasarkan syor di atas didapati pemberatannya masih ke arah mendaulatkan bahasa Inggeris.

Kedua, Dr M masuk UMNO. PPSMI diperkenalkan dan diprojekkan oleh Dr. M. Sepanjang pemerintahan Tun A, kerajaan BN tidak dapat memansuhkan PPSMI disebabkan sokongan padu daripada anak didik Dr M. Kini, Dr M mempunyai kuasa di belakang pemerintahan DS Najib. Tidak mungkin Dr M membiarkan sewenang-wenangnya PPSMI dimansuhkan kerana pemansuhan itu bererti Dr M tersilap langkah memperkenalkan PPSMI.

Ketiga, berdasarkan pembentukan kabinet baharu, nampaknya PM DS Najib tidak berupaya menjadi PM berdaulat. Seakan ada tangan ghaib mengawal DS Najib, menerima dan menolak seseorang, institusi dan perancangan.

Apapun, kita sama-sama tunggu keputusannya.

Isnin, 13 April 2009

Surat SN Shahnon Ahmad bertarikh 12 April 2004


Sdr Nassury Ibrahim yang baik.

Terima kasih banyak atas ingatan kiriman senaskah Di Rumah Wiramal. Baru pagi tadi saya terima. Saya kini banyak berada di kampung di Sik berdialog hanya dengan hutan belantara, gunung-ganang, sungai dan pokok. Ilham pun banyak tertumpu ke alam barzah & kematian. Jemputlah datang ke Banggol Derdap, Sik. Nombor rumah tak ada tapi kalau sampai di Sik, tanya rumah Cunong, semua orang tahu. Lagi sekali terima kasih kerana kirim DRW. Saya tak pandai menggubah puisi tapi suka pada puisi kerana menjadi pusat / titik untuk renungan. Saya dapati Sdr banyak bertolak dari pelabuhan diri untuk belayar mencari makna yang lebih jauh tersirat. "Rumah" boleh ditakwilkan dengan berbagai (pelbagai) tapi dalam DRW saya dapati sorotan lebih kepada diri dengan asosiasi kepada makna kehidupan yang jarang-jarang terlintas kepada mereka-mereka (mereka) yang popular. Sebagai seorang politik yang gagal, saya tersenyum bila meneliti "Di Rumah Kroni" & "Di Rumah Politik." Sdr bermula dengan "Di Rumah Diri (1)" memang mengharukan. Memang kita semua akan mati tapi apa isi akan kita bawa bersama? Tentang mati ini diulangi lagi dalam "Di Rumah Diri (11)." Puisi-puisi Sdr meskipun kontot-kontot tapi merupakan titik ide yang menerjah renungan memulangkan alam nyata, "go beyong" alam ghaib tapi tidak sesat kerana selalu terarah kepada Yang Satu: Allah. Syukur. Salam.


SHAHNON AHMAD
12/4/04

Ahad, 12 April 2009

Aku Bangga Kerja di IPGM

Aku bekerja di salah satu jabatan di salah sebuah institusi tertua di Malaysia. Namanya IPGM. Dulu bernama training college, kemudian ditukarkan nama kepada maktab perguruan ke institut perguruan dan kini Institut Pendidikan Guru Malaysia. Aku bangga bekerja di IPGM. Rakan-rakan di sekolah selalu bertanya tentang IPGM. Macam-macam soalan. Aku jawab melalui visual di bawah.

Ini pintu bilik ke pejabatku. Luasnya sama dengan luas bilik darjah sebab memang asalnya bilik darjah. Dalamnya ada 16 orang pekerja akademik. 13 lelaki 3 wanita. Teringat aku pada bilik darjah waktu bersekolah dulu.

Ini meja aku. Maaf le ada banyak buku, kertas dan tugasan pelajar bersepah atas meja. Dalam karbinet 'tu pun ada banyak buku dan dokumen. Maklumlah, tiada tempat dan ruang. Suasananya memang tidak merangsang minda. Apa boleh buat sebab itulah taraf kami. Bilik kami tak ada langsir, maka cahaya dapat masuk banyak. Dapatlah kami berjimat cermat pembelanjaan kerajaan. Cermin tingkap begitulah. Ada gril untuk elak kecurian. Malangnya, kecurian tetap berlaku. Ada aircon. Kipas pun ada. Alhamdullillah.

Ini barisan meja aku dan rakan-rakan. Ada lima orang. Kami duduk di tengah sebab bahagian tepi, depan dan belakang telah dipenuhi. Macam menumpang di jabatan sendiri pulak! Masa lapor diri bertugas dulu, selalu duduk meja tengah. Dua hari baru dapat meja kekal dan sudut sesuai. Kami ni dah setahun lebih duduk meja tengah, sebab tak ada tempat lagi. Tengah pun tengahlah. Tak mengapa. Tetapi, maaflah wahai rakan di belakang kerana setiap hari melihat buntutku. Berada di sini, teringat aku masa di sekolah dulu. Mejanya besar sikit dan agak lapang.

Dalam bilik jabatan aku ada 15 + 1 (KJ) pekerja, 05 almari, 13 rak, 02 meja komputer , satu komputer (dikongsi 15 orang) dan sebagainya. Agak sesak sikit. Justeru, segala buku, dokumen, fail, kerja kursus pelajar (mesti simpan) kami letak di atas meja, rak, tepi meja dan juga bawah meja. Boleh buat alas kaki!

Demikianlah jabatan aku. Jabatan-jabatan lain di IPGM pun begini juga. Serupa saja sebab ruang terhad. Cuma aku harap tiada sesiapa gatal tangan datang cucuh api, sebagaimana terjadi pada trak polis di Stadium Sultan muhammad, Kelantan, sebab dalam bilik kami ada banyak kertas dan bahan mudah terbakar. Walau bagaimanapun, aku bangga kerja di IPGM. Cuma kemudahan dan pengurusan tempat IPGM aku bekerja amat mengecewakan.