Peta Perjalanan

Peta Perjalanan
Sebuah kumpulan puisi yang pernah memenangi Hadiah Galakan, Anugerah Sastera Darul Iman 3 (Asdi 3), anjuran Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) 1995.

DEDEKASI
Terima kasih. Terima kasih kepada mereka yang pernah mematangkan puisi-puisiku: Awang Abdullah, Rahman Shaari, Abham T.R, Mat Daud Molly dan Shafie Abu Bakar.


KANDUNGAN
Pengalaman Kreatif

PETA KE NEGERI WAHYU

Islam 1
Peta ke Negeri Wahyu       2
Cinta Allah    3
Iman            4
Persoalan               5
Nombor        6
Di Sekolah Syahadah  (1)            7
Di Sekolah Syahadah  (2)            8
Alam Semesta         9
Kimia  10
Yang Ku Lihat Itu    11
Ayahku         12
Gadis Dakwah         14

PERJALANAN KE PULAU HAKIKI
Perjalanan ke Pulau Hakiki 16
Angin 17
Kubawa Nama-Mu             18
Nilainya Kita           19
Kalau Kau Izin                   20
Di Celah-Celah Mazhab      21
Doa    22
Imam al-Ghazali      23
Pintu  24
Hidupku, Tuan         25
Sketsa Diri: Mengenangkan Kematian     26
Di Kampung Milosevic        27
Nur Syuhada  (1)     28
Nur Syuhada  (2)     29

SEJAK KAU HADIR
Sejak Kau Hadir       31
Sejak Kau Hadir  (1) 32
Salam untuk Kekasih                   33
Khalifah                  34
Etika di Makmal Minda Saintis Islam       35
Dalam Gelap Malam 36
Malam Ini Kita Lupakan Nasi        37
Kecil Pun Terasa di Titik Kehidupan        38
Dengan Iman          39
Peempuan Zaman Ini                  40
Kubur  41
Rahsia 42
Tuhan Itu Berkuasa  43
Titik   44               

Pengalaman  kreatif

1.
Peta Perjalanan (judul asalnya Sejak Kau Hadir ) merupakan  sebuah manuskrip puisi berunsur Islam dan pernah memenangi Hadiah Galakan, Anugerah Sastera (Puisi) Daruliman 3 (ASDI 3)  tahun 1995, anjuran Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita). Pertandingan  terbuka kepada seluruh warga nusantara yang menggunakan Bahasa Melayu. Panel telah menerima sebanyak 67 buah manuskrip puisi karya penyair dari Indonesia, Singapura dan Malaysia. Menurut panel hakim,

Kumpulan Sejak Kau Hadir membawa tema keislaman yang kental dan padat berhubung dengan soal akidah keislaman, pemikiran dan kehidupan. Kesemuanya diungkap secara terkawal dan menarik.

2.
Saya anggap sajak-sajak dalam kumpulan Peta Perjalanan   ini terdiri daripada sajak-sajak ilmu. Kebanyakan sajak-sajak itu terhasil ketika saya sedang mengikuti kuliah Diploma Falsafah Sains Islam di Institut Pengajian Ilmu-Ilmu Islam (ISISn) pada tahun 1992/1993. Saya banyak terpengaruh dan terpesona dengan ilmu-ilmu yang baharu dipelajari. Saya pada waktu itu  mendalami ilmu-ilmu sains Islam hasil pemikiran Ikwan al-Safa, al-Biruni, Ibn Rusd, al-Ghazali, Seyyed Hossein Nasr, Zainuddin Sadar  dan lain-lain. Saya juga banyak menalaah buku-buku berkenaan pemikiran falsafah sama ada buku dari Malaysia mahupun Indonesia (asli dan terjemahan).

Saya memanfaatkan ilmu yang diperoleh dengan cara mencatat intipati ilmu itu dan menulisnya dalam bentuk puisi. Prosesnya bermula dengan catatan-catatan ringkas. Dari catatan itu saya olah dan tulis kembali dalam bentuk kreatif. Pada mulanya saya berbuat demikian sebagai satu langkah untuk memudahkan saya memahami dan mengingati ilmu yang baharu dipelajari. Cara itu ternyata berkesan kepada saya. Kaedah ini bersesuaian dengan jiwa saya yang minat  membaca dan menulis sajak.

Kebetulan pada waktu itu terlintas di hati saya mahu mencari kelainan dalam penghasilan sajak. Saya mendapat idea melakukan kelainan dengan menghasilkan sajak-sajak yang saya anggap mempunyai ilmu akademik. Saya mengistilahkan idea saya itu sebagai sajak-sajak berilmu. Kebetulan kebanyakan sajak yang saya temui terasa penghasilannya bertolak daripada imaginasi dan pengalaman peribadi penulis semata-mata. Amat jarang  sajak yang saya temui ditulis berasaskan kepelbagaian disiplin ilmu.

Dari niat awal menjadikan sajak sebagai teknik pembelajaran kini telah beralih kepada penghasilan sajak. Saya berusaha mengolah sekreatif mungkin. Hasilnya tercipta sebahagian daripada  sajak-sajak dalam kumpulan Peta Perjalanan ini. 

Dalam kumpulan ini tidak semua sajak-sajaknya berasaskan ilmu yang saya pelajari dalam bilik kuliah berkenaan. Terdapat juga sajak-sajak yang saya tulis kemudian yang berasaskan ilmu dari buku yang saya baca. Terdapat juga sajak-sajak yang berasaskan imaginasi kerana kumpulan Peta Perjalanan turut memuatkan sajak-sajak sebelumnya.

3.
Sajak pertama, Islam, sangat sederhana mesej dan bentuknya. Saya memberi definisi Islam mengikut kefahaman sendiri. Kita selalu difahamkan bahawa bukti pengislaman seseorang ialah dengan lafaz dua kalimah syahadat. Ia merupakan pengakuan pertama keIslaman orang berkenaan. Malah, ia adalah permulaan semiotika keislaman. Tetapi, adakah dengan pengucapan itu sudah mencukupi dan dapat membuktikan keislamannya?

Selain perbuatan, Islam juga mementingkan niat. Niat keIslaman seseorang  harus jelas.  Pengislamannya bukan kerana  paksaan atau kerana dijanjikan akan diberi harta atau jawatan. Atau, pengislamannya bukan kerana mahu berkahwin dengan pasangan Islam. Pengislaman mesti atas kerelaan hati dan kesedaran jiwa akan kebesaran Allah. Maka, niat pengislaman itu mesti kerana Allah, bukan kerana dipaksa, harta, jawatan atau manusia dan sebagainya.

Namun niat tidak menjamin kekekalan keislaman seseorang. Seseorang dianggap beragama Islam apabila  hidup dan matinya dalam Islam.  Kematian yang diingini ialah kematian yang berakhir dengan ucapan kalimah syahadat. Ucapan kalimah syahadat merupakan tanda permulaan dan pengakhiran keIslaman seseorang. Ia harus bermula kerana Allah dan berakhir (matlamat) kerana Allah, sebagaimana isi sajak berkenaan.

Bermula dengan syahadat
ke Allah niat
berakhir dengan syahadat
ke Allah matlamat

Di manakah ilmunya? Bagi saya keilmuan sajak ini kerana kebenaran isinya yang boleh dibuktikan. Bukti keislaman seseorang kerana pengucapan syahadatnya. Bukti ketaatan kepada Islam pula ialah apabila pengkahirannya juga dalam lingkungan syahadat. Demikian juga dengan sajak Cinta Allah yang menggambarkan ‘isi’ keIslaman seseorang sebagaimana disarankan oleh Islam.

Sajak ‘Nombor, Di Sekolah Syahadah 1, Alam Semesta’ berasaskan kepada pemikiran Ikhwan al-Safa, sebagaimana terdapat dalam buku Seyyed Hossein Nasr berjudul ‘Pengantar Kosmologi Islam’. Sajak ‘Nombor’ misalnya, sangat jelas membawa pemikiran Ikhwan al-Safa. Isinya turut diperbincangkan dalam kuliah oleh para pensyarah.

Ikhwan al-Safa menggunakan nombor untuk mengenali Pencipta dan kebesaran-Nya. Ini adalah sesuatu yang asing kepada saya. Saya hanya mengetahui nama Pythagoras dalam ilmu matematik tanpa mengetahui peranan  Ikhwan al-Safa.

Dalam sajak ‘Nombor’ itu saya menggabungkan pendapat Ikhwan al-Safa dengan pendapat Pythagoras. Saya mencatatkan,

Dia warga Pythagoras
di negeri matematik
tiba-tiba menjadi
kunci kuasa
Ikhwan al-Safa

Dengan ‘kunci kuasa’ itulah Ikhwan al-Safa mentafsir kebesaran Allah di sebalik alam tabii sebagaimana termuat dalam buku mereka berjudul ‘Rasa’il’.

Sajak ‘Di Sekolah Syahadah 2’ boleh dikatakan pragmen yang terdapat dalam buku ‘Manusia dan Islam Jilid 1’ oleh sekumpulan penulis diketuai Dr. Haron Din. Saya mengambil intipati perbincangan yang berkaitan ‘ujian’ (halaman 24) sebagai alat menguatkan kefahaman Tauhid saya.

Panel penulis menyatakan bahawa tanpa ujian maka hidup kita adalah sama. Tidak ada erti perbezaan warna antara hitam dengan putih, atau seorang manusia dengan manusia yang lain. Dengan ujian kita dapat memahami rahsia sesuatu atau fenomena. Misalnya, dengan ujian kita dapat memahami rahsia perbezaan warna, garisan, putaran alam, manusia, haiwan dan sebagainya.

Kenyataan panel penulis itu termuat dalam rangkap pertama. Pada rangkap kedua saya mentafsir dan mengembangkan kenyataan mereka. Dan, kesimpulannya saya jadikan isi sajak pada rangkap ketiga.

Di sekolah syahadah aku berdiri
pasak iman oleh ujian
pasak Islam oleh pemahaman

Sajak ‘Kimia’ menggabungkan pemikiran al-Ghazali dan al-Razi dengan pemikiran Jabir (Arab) dan Tois (China). Kimia yang dicari oleh al-Ghazali dan al-Razi berbeza dengan Kimia yang dicari oleh Jabir dan Tois. Al-Ghazali dan al-Razi mencari kimia untuk kebahagiaan jiwa manusia. Ini berbeza dengan kimia yang dicari oleh Jabir dan Tois yang berusaha dengan pelbagai eksperimen untuk menukarkan pelamban kepada emas. Ibn Rusd menganggap kimia sebagai ilmu yang disalahgunakan oleh manusia hingga membawa kebinasaan.

Buku ‘Filsafah Islam’ karangan Dr. Oemar Amin Hoesin   membicarakan pendapat al-Ghazali tentang falsafah. Pengarang memetik pendapat Fuad yang menganggap al-Ghazali sebagai ‘pembunuh’ para failosof Islam. Pendapat ini berasaskan pemikiran al-Ghazali   dalam bukunya ‘Tahafut al Falasifah’. Kesan daripada buku itu melahirkan pelbagai kencaman kepada ahli falsafah dan sekali gus telah memberi saham kepada kemerosotan  pemikiran ilmu di kalangan umat Islam. Melalui sajak Imam Al-Ghazali, Saya bertanyakan: Adakah al-Ghazali anti falsafah atau orang yang membahas ‘Tahafut al-Falasifah’ yang tidak memahami pemikiran al-Ghazali?

Atau, gelap hati kami ini

kerana kekenyangan memakan
bangkai tahafut al falasifahmu
hidangan terhormat
si rabun ilmu?

Sajak ‘Etika Di Makmal Minda Saintis Islam’ bertolak daripada pendapat dan pemikiran Zanuddin Sadar dalam bukunya ‘Hujah Islam’ terjemahan Abdul Latiff Samian, juga pensyarah saya ketika itu. Saya merumuskan isi buku yang panjang itu. Ia menggambarkan dan membandingkan minda saintis Islam dengan minda saintis barat. Saintis Islam bertolak daripada konsep matlamat tidak menghalalkan cara. Saintis barat pula  bertolak daripada konsep matlamat menghalalkan cara. Wujud  perbezaan konsep kerana berlainan nilai budaya dan pegangan agama, sebagaimana terlihat dalam petikan sajak di bawah.

Antara matlamat
diri dan sejagat
kami memilih
sejagat
sebab ia
adalah nilai
yang tak
terjangkau
hasrat

Demikian sekilas bicara tentang proses kelahiran sebahagian sajak-sajak yang termuat dalam kumpulan Peta Perjalanan. Tidak mungkin untuk saya membicarakan kesemuanya sebagaimana tidak semua sajak-sajak dalam kumpulan ini berasaskan sesuatu buku yang dibaca. Sajak, Di Celah-Celah Mazhab, umpamanya,  terilham daripada sketsa lukisan mata dalam majalah Tempo. Oleh sebab pada masa itu saya sedang bergelut dengan kuliah falsafah yang membicarakan perihal kemunculan pelbagai mazhab pemikir dalam Islam, maka sketsa lukisan mata itu cepat meresap ke dalam jiwa saya. Saya merasakan sketsa mata itu adalah saya sendiri yang cuba memahami mazhab yang manakah lebih benar di kalangan pelbagai mazhab itu.

4.
Sehingga kini saya masih berpegang kepada dua konsep kreatif yang saya jelaskan di atas, iaitu mencari kelainan dan menghasilkan sajak-sajak berilmu. Hal ini bukan bererti saya menolak penghasilan sajak imaginasi. Malah sehingga kini pun saya masih menghasilkan sajak yang mengaitkan realiti dengan imaginasi. Selamat membaca dan terpulanglah kepada anda menilaikannya.

PETA KE NEGERI WAHYU

ISLAM

Bermula dengan syahadat
ke Allah niat.
Berakhir dengan syahadat
ke Allah matlamat.


PETA KE NEGERI WAHYU

Tatap dan fahami
arah petunjuk Peta itu
pasti tidak tersesat
jalan pulang
jika kau turuti
petunjuknya.


CINTA ALLAH

siapakah yang mahu miskin
hidup ini?
Siapakah yang mahu sakit
hidup ini?
Siapakah yang mahu gagal
hidup ini?
Siapakah yang mahu buruk?

Jangan hina pada yang miskin
jika kaya itu kemiskinannya
jangan hina pada yang sakit
jika sihat itu kesakitannya
jangan hina pada yang gagal
jika jaya itu kegagalannya
jangan hina pada yang buruk
jika elok itu keburukannya

Miskin dan kaya ada rahsia-Nya
sakit dan sihat ada nikmat-Nya
gagal dan jaya ada hikmat-Nya
buruk dan elok ada rahmat-Nya

Cinta Allah akan hamba-Nya
bukan yang kaya atau yang miskin
bukan yang sihat atau yang sakit
bukan yang gagal atau yang jaya
bukan yang buruk atau yang elok
cinta Allah akan hamba-Nya
iman dan takwa jadi pilihan
iman dan takwa jadi nilaian.


IMAN

Terasa lebih bahagia
benihmu yang disemai
menguntum tenang

Nafas yang hidup
di tengah resah
terasa begitu rapuh
tanpa kewujudanmu
dalam diri.


PERSOALAN

Berfikir
sejauh fikir
sekularisme
melerai
tali persoalan
yang kusut
dengan teori
dan pendekatan
dengan kaedah
dan teknik
sofistikated
dan terkini,
persoalan tetap
bersoalan
simpulnya
bercucu dan
bercicit,
dan
kusut tali
menjadi
semakin rumit.


NOMBOR

Dia warga Pythagoras
di negera matematik
tiba-tiba menjadi
kunci kuasa
Ikhwan al-Safa

Dengan kunci itu
Ikhwan buka pintu tabii
pintu penghubung faham
antara manusia di luar
dengan Pencipta di dalam

Dengan kuasa itu
Ikhwan tafsir rahsia alam
rahsia memberi faham
antara hakikat kebatilan
dengan Hakikat Kebenaran

Dengan warga Pythagoras
di negara matematik
tiba-tiba menjadi
lombong tinta
Ikhwan al-Safa
menulis Rasa’il
demi Rasa’il.


DI SEKOLAH SYAHADAH (1)

Kita ini bak pelajar
belajar di sekolah syahadah

di sini kita hadapi ujian
ujian dari Maha Berkuasa
di dewan dunia

usia adalah tempoh ujian
yang kita miliki
kehidupan adalah soalan
yang kita hadapi

keputusannya menghantar kita
ke Syurga atau ke Neraka
di Negara Abadi.


DI SEKOLAH SYAHADAH (2)

1.
tanpa ujian:
hitam dan putih adalah sama
lurus dan bengkok adalah sama
terang dan gelap adalah sama
hidayat dan sesat adalah sama
baik dan jahat adalah sama
mulia dan hina adalah sama
tinggi dan rendah adalah sama
jaya dan gagal adalah sama
jahil dan berilmu adalah sama
insan dan haiwan adalah sama

ujian membezakan:
yang mana hitam yang mana putih
yang mana lurus yang mana bengkok
yang mana terang yang mana gelap
yang mana hidayat yang mana sesat
yang mana baik yang mana jahat
yang mana mulia yang mana hina
yang mana tinggi yang mana rendah
yang mana jaya yang mana gagal
yang mana jahil yang mana berilmu
yang mana insan yang mana haiwan

2.
di sekolah syahadah aku berdiri
pasak iman oleh ujian
pasak Islam oeh pemahaman.


ALAM SEMESTA

Engkau kitab Allah di ruang terbuka
kitab tidak berhuruf tidak berangka

engkau kitab Allah tidak bersuara
mengambil memberi kepada manusia

engkau tidak mengajar manusia belajar
engkau mendidik manusia belajar

engkau tidak mendidik manusia mencari ilmu
engkau mendidik manusia menangkap ilmu

engkau kitab Allah di ruang tebuka
kitab menterjemah wahyu Allah.


KIMIA

Bukan kimia China
bukan kimia Jabir
kimia kucari

bukan kimia Tois
bukan kimia Polanyi
kimia kurindui

kucari kimia batin
al-Razi
kurindui kimia sa’adah
al-Ghazali

kimia ini dapat
membahagia jiwa
yang berserabut

kimia ini dapat
mententeram dunia
yang kalut.


YANG KAU LIHAT ITU

Yang kau lihat itu
ALAM
sebuah lanskap
di kanvas dunia
seninya memancar tenang
setiap pencinta keindahan

yang kau lihat itu
ALAM
sebuah lanskap hidup
seni agung Maha Pencipta
hadiah kepada umat-Nya

yang kau lihat itu
ALAM
dan kita kecil
di dalam ciptaan-Nya.


AYAHKU

Ayahku petani desa
Adalah antara ribuan petani malang
yang bahagia
membuka tanah dengan sendiri tenaga
balak tiga pemeluk ditumbangkan dengan kapak
sengsara mengeluh, menggelepar dan mengaduh!

Ayahku petani malang 
dengan perahu tabah dia menyusur keluar
dari jeram miskin ke tenang kuala
menjala hidup di laut batas
timun, sawi, lada dan petola
sahamnya di pasar niaga

ayahku petani miskin
yang kaya budi bahasa
tidak kenal pasaran saham
membuka akaun pun tidak pernah
(kecuali asn/asb)
demikian juga bersekolah
betapapun dia lelaki bijaksana
setiap malam selepas mengaji
kami diajar jujur
pada diri sendiri
ayahku petani tabah
mengajar kami semangat diri
seorang lelaki berani
tahu hak dan kewajaran
memberi dengan ikhlas
meminta dengan hormat
kira salah berkirim tegur
kira benar berucap syukur
dan setiap yang retak
bukan untuk dihancurkan

ayahku petani desa
tidak pernah kecewa
setiap amanah dijaga dan dijaga
kepada kami dia selalu berkata:
“jujurlah kepada diri sendiri
jangan generasimu menyumpah
di sini kita hanya sementara.”


ADIS DAKWAH

Wajah suteramu mengingatkan aku
kepada baris-baris al-Quran
berbunga di sepanjang
batas bibir Muhammad saw

adalah rahsia tidak tertafsir
kewangian-Nya
adalah usaha tidak tertanding
penciptaannya
oleh Dia,
Yang Maha Berkuasa.


PERJALANAN KE PULAU HAKIKI


PERJALANAN KE PULAU HAKIKI

Berkayuh di laut dunia
mahu atau tidak
kita terpaksa bertempur
bertempur dengan ombak hidup
keras dan ganas

pecahnya akan
memberikan nikmat duniawi
memperjelaskan hakikat Ilahi
memandu pengembaraan diri

ke Pulau Hakiki
ke Pulau Hakiki.


ANGIN

Angin yang mengamuk
merentap harta & air matamu
bukan kehendak hatinya
sekadar mengingatkan
bahawa
di Sana ada api tidak pernah padam
di Sana ada titi mengerunkan
di Sana ada padang kita dihimpunkan
tersesak-sesak nafas
iman ketinggalan 

angin yang keluar dari mulut langit
tidak pernah takut atau
berputar arah
kerana membawa perutusan daripada Tuhan
di sini pernah berlaku kekejaman
dia diperintah mengembalikan keagungan
“TIADA TUHAN YAN DISEMBAH
     MELAINAN ALLAH.”


KUBAWA NAMA-MU

Kubawa nama-Mu
ke dalam mimpiku
waktu matahari
merebahkan dirinya
ke dalam kelam
waktu bulan
menutup tirainya
di langit kelabu

saat titis-titis hujan
mematahkan perjalanan
saat kesepian mencengkam
di dalam dada
kubawa nama-Mu

ketika tubuhku yang satu
di bumi asing
ketika harapku menggunung
diputar digiling
kubawa nama-Mu

kubawa nama-Mu
ke mana-mana
azimat hidupku
di mana-mana
kubawa nama-Mu.


NILAINYA KITA
(buat anak-anakku)

zat takwa
antara manusia
zat akal
antara makhluk
nilainya kita,
berkelip
berkelip-kelip:
di Negara Syahadah
di Negara Syahadah.


KALAU KAU IZIN

Kalau Kau izin
zat fikir ini
menjadi kapal Nuh
dengan kapal itu
aku ingin mengelilingi
laut kosmos

kalau Kau izin
zat fikir ini
menjadi Cermin Hikmat
dengan cermin itu
aku ingin mencari
Pohon Hakikat

kalau Kau izin
zat fikir ini
menjadi pohon ilmu
dengan pohon   itu
aku ingin meneduhkan
anak-anak.


DI CELAH-CELAH MAZHAB

Aku
mata-mata
mencari Mata
Mata yang lebih
terang
daripada matahari
Mata yang lebih
lembut
daripada mata bulan
Mata yang pantas
menangkap
gema di bukit
Mata yang pintar
menangkap
hama di alis

aku
mata-mata
mencari Mata
Mata yang lebih bening
daripada mata bayi
Mata yang mampu
membawa
roh hati ini
ke Rumah Syurga
Ilahi.


DOA

Ibrahim, ajarkan aku
ilmu air
agar dapat aku
memadam api
membakar
amarah diri.
Musa, ajarkan aku
ilmu tongkat
agar dapat aku
membunuh ular
melilit
pohon takwa.
Yusuf, ajarkan aku
ilmu cahaya
agar dapat aku
menerangi jalan
Kebenaran
di negara kalbu.
Muhammad, ajarkan aku
ilmu ghaib
agar dapat aku
melepaskan diri
daripada kepungan
sang ilblis.


IMAM AL-GHAZALI

Benarkah kata Fuad
kau menyembelih Duniamu
apabila kau menolak fikiran
para failosof
seperti seorang penyembelih
menyembelih ayam
bertelurkan emas?

Atau, gelap hati kami ini
kerana kekenyangan memakan
sekunder tahafut al-falasifah
hidangan terhormat
si rabun ilmu?


PINTU

Pintu ialah sempadan rumah
yang menghubungkan halaman
ke ruang dalam yang cantik

di hadapan aku ini
ada berpuluh pintu
apakah berpuluh pula
ruang dalam yang cantik?

Atau, seperti kata ustaz
antara 73 baris mukmin itu
sebaris hanya
yang lurus dan cantik

oh, Tuhan Yang Maha Tahu
antara berpuluh pintu ini
pintu yang manakah menghubungkan
ke ruang dalam yang cantik?


HIDUPKU, TUAN

Hidupku, tuan
pada zat
sehelai daun-Nya.


SKETSA DIRI: MENGENANGKAN KEMATIAN

Bukan. Bukan kematian
menggugat rasa
tetapi, penerimaan-Nya
pada segala tiba.


KAMPUNG MILOSEVIC
(mengenangkan negara Bosnia)

dari rumah Yugoslavia
kau keluar ke padang merdeka
membina rumah dikari
membina rumah Ilahi
membina diri sendiri

malangnya
rumah dikari kau bina
dirobohkan
rumah Ilahi kau bina
diruntuhkan
diri sendiri
diperkosa dipancung
penghulu Milosevic

saudara,
apakah esok di Bosnia
masih ada dikari berdiri
mewarna siangnya?
Masih ada sinar Ilahi
menerangi malamnya?
Masih ada diri mewarisi
zat keturunannya?
Dan pohon-pohon iman itu
yang ditanam dahulu,
apakah esok
berbunga berbuah
berbunga dan berbuah
di kampung Milosevic?


NUR SYUHADA (1)

1.
Nur kami dambakan
bukan cahaya bulan
bukan cahaya matahari
pun lampu jalanan,
nur kami dambakan
nur Ilahi
mengelilingi dirimu
mengelilingi kami

syuhada kami dambakan
bukan lapangan perang
bukan lapangan syaitan
pun diri sendiri,
syuhada kami dambakan
pada kalam Ilahi
merdekakan zat fahaman
daripada syirik tradisi

2.
kalau kau jumpa retak
ia bukan untuk dihancurkan
kalau kau jumpa racun
ia bukan untuk ditakutkan
dengarlah nyanyi pujangga:
“ cinta pengikat seribu retak
madu penawar seribu racun.”


NUR SYUHADA (2)

Belajarlah daripada air
betapa lembut
oleh kesabaran
pecah dan terukir juga
keras batu.



SEJAK KAU HADIR


SEJAK KAU HADIR

Kamar kecil ini tidak lagi sunyi
luar jendela murai menyanyi riang
jauh di sudut hati segalanya telah
berganti. Sejak kau hadir
aku tidak lagi sunyi
hari-hari yang singgah kian bererti.


SEJAK KAU HADIR (1)

Sejak kau hadir
sejak kau hadir
di dalam hidupku
kubawa namamu
kubawa namamu
ketika meredah
peta
ke Negara Wahyu

kubawa namamu
kubawa namamu
dalam perjalananku
mencari
Pulau Hakiki
kubawa namamu
kerana engkau
adalah
penawar duka
kepada diriku
kepada diriku

Sejak kau hadir
sejak kau hadir
dalam diriku
kubawa namamu
kubawa namamu
kerana engkau
adalah diriku
adalah diriku.


SALAM UNTUK KEKASIH

Salam kekasihku kerna menabur sifat
dan kuasa-Mu di laut, di gunung dan
meniup perahuku hingga kini masih
belayar di laut waktu.
Dan, mengejutkan aku
daripada igauan mimpi indah.
Syukur alhamdullillah, kekasih
perahuku masih tenang belayar.


KHALIFAH

Kita adalah khalifah
kita berkuasa mematikan
mencipta dan memusnah
kita khalifah
pemurah dan pengasih

kita khalifah memerintah
manusia, haiwan dan tumbuhan
khalifah di darat dan di laut
kita khalifah kerajaan kita
kerajaan besar dan gagah

tetapi, kita bukan Tuhan
kita tidak berkuasa menghidupkan
manusia, haiwan dan tumbuhan
patung yang kita cipta
sujudlah kepada Allah Azzawajalla
Tuhan yang Maha Berkuasa
kerajaan di langit dan di bumi

kita adalah khalifah
memerintah diri dan alam kita
Allah Maha Besar
memerintah kita dan alam ini
dengan kuasa ghaib.


ETIKA DI MAKMAL MINDA SAINTIS ISLAM

Antara matlamat
diri dan sejagat
kami memilih
sejagat
sebab ia
adalah nilai
yang tak
terjangkau
hasrat.


DALAM GELAP MALAM

Lampu telah musnah
dimakan waktu
tetapi, cahaya yang pernah hidup
pada pucuk sumbunya
masih bersinar segar
di hati kami

dengan cahaya itulah
kini kami meredah
gelap malam
berjalan dan berjalan
menuju ke Taman Impian.


kita lupakan nasi
sebab nasi
tidak pernah mengenyangkan
malam ini kau makanlah,
wahai anakku,
kau makanlah al-Quran dan hadis
sebab ia akan mengenyangkanmu
di gurun pun kau berdiri.


KECIL PUN TERASA DI TITIK KEHIDUPAN

Segunung kebesaran menjadi kecil
di satu titik kehidupan
kecil daripada kebesaran abadi
lemah daripada keagungan Ilahi
di sini kita akan lebih mengerti
kuasa yang terpendam.


DENGAN IMAN
(mengenangkan Mujahid)

jiwa yang terbang
kembali pulang
menghafal memahami
fakulti diri
wajah alam dan ruang
persekitaran

akhirnya
yang besar menjadi kecil
oleh pemahaman
yang kecil menjadi besar
oleh penghayatan

dialah para kekasih
setia memberi kasih
pada setiap bara api
dia hadapi
bak hujan rahmat.


PEREMPUAN ZAMAN INI

Perempuan zaman ini
ladang yang kemarau
tidak mempunyai roh

saudara lihat gadis ini
tidak mempunyai roh
pohon tubuhnya kemarau Seri
saudara lihat wanita ini
tidak mempunyai roh
pohon tubuhnya kemarau Cinta
saudara lihat isteri ini
tidak mempunyai roh
pohon tubuhnya kemarau Setia

perempuan zaman ini
tidak mempunyai roh
pohon tubuhnya
kering dan layu.


KUBUR

di atas kubur zaman ini
telah tumbuh larangan
yang kau larang

telah tumbuh masjid
tempat sembahyang
di atasnya
telah tmbuh lampu
tempat pesta
di atasnya
telah tumbuh syirik
tempat mengadu
di atasnya
telah tumbuh kaabah
tempat tawaf
di atasnya
telah tumbuh hajar aswad
tempat mengucup
di atasnya
telah tumbuh sekolah
tempat menulis
di atasnya
telah tumbuh
tugu ingatan

di atas kubur zaman ini
telah tumbuh larangan
yang kau larang
berbunga dan berbuah
api neraka.


RAHSIA

Tak terahsia rahsia
kau rahsiakan

dalam batu hati, dalam
laut kalbu, pun jauhar

kepada Kebenaran Pertama
yang memberi Kebenaran

dan akal menggali rahsia
rahsia yang dirahsiakan.


TUHAN ITU BERKUASA

Kau tahu,
aku sudah wujud
walau belum ada

wujud,
dalam catatan-Nya
dalam sulbi ayahku

kau tahu,
aku tidak mati
walau tidak ada

Tuhan itu berkuasa
mengatur segalanya.


TITIK

Bermula dengan gerak
berakhir dengan titik
hidup ini

gerak ialah awal langkah
ke pintu hidup
titik ialah akhir gerak
di pintu maut

Tuhan telah berapa titik
Kau beri kepada manusia?

Gerak yang Kau beri kepadaku
titiklah dalam redha-Mu.


RUJUKAN

Haron Din et. al. 1990. Manusia  dan Islam Jilid 1. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Oemar Amin Hoesin 1959. Filsafah Islam. Jakarta: Bulan Bintang.

Sayyed Hoesein Nasr (terjemahan Baharuddin Ahmad)1992. Pengantar Kosmologi Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Yusuf al-Qardawi (terjemahan Abdul Majid bin Abdullah) 1987. Pengertian Tauhid. Kuala Lumpur: Pustaka Salam.