Isnin, 5 Oktober 2009

Reaksi Bedah Siasat Sayembara Puisi Perlu

SABAN tahun acara sayembara puisi berlangsung di negara ini dan ia membabitkan peruntukan khas yang bukan sedikit. Apakah acara ini berjaya memartabatkan sastera negara dan melahirkan deklamator yang disegani? Ikuti wawancara wartawan Sastera dan Budaya, HASSAN OMAR, dengan beberapa tokoh berhubung perkara ini.
PENSYARAH Maktab Tuanku Bainun, Bukit Mertajam, Nasurry Ibrahim, berkata sayembara puisi khususnya Sayembara Puisi Kebangsaan adalah medan terbaik untuk mencungkil bakat baru dan mengangkat martabat sastera pada perspektif masyarakat.
“Sayembara Puisi Kebangsaan mencapai kemuncaknya pada 1996 apabila ia berjaya menghasilkan deklamator terbaik, Ahmad Shukri Abdullah tetapi selepas itu saya lihat kebanyakan pemenang tidak mencapai tahap persembahan seperti beliau.
“Saya difahamkan sesetengah sayembara puisi peringkat negeri kini tidak sempat dianjurkan kerana tidak mendapat sambutan dan sesetengah peserta wakil negeri adalah bidan terjun kerana dipilih berdasarkan penyertaan tahun sebelumnya.
“Saya berharap acara deklamasi puisi diadakan di lokasi yang mempunyai kemudahan pengangkutan awam bagi memudahkan golongan berpendapatan rendah turut sama menikmatinya.
“Satu ketika dulu sayembara puisi diadakan dalam maktab polis dan ia tidak mendapat sambutan kerana orang awam keberatan untuk hadir di tempat sedemikian sedangkan acara ini boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan seni sastera negara ini,” katanya.
Timbalan Pengarah Yayasan Warisan Johor (YWJ), Md Ismail Zamzam, yakin sayembara puisi boleh meningkatkan seni terbabit selain mempamerkan sikap masyarakat yang mulai memahami dan menyanjung puisi.
“Sayembara puisi membuka ruang lingkup genre ini untuk dilihat secara lebih bermakna sehingga ia tidak lagi menjadi milik penyair tetapi masyarakat keseluruhan dan kini sudah ada kalangan orang politik, penyanyi dan ulama mendeklamasikan puisi.
“Sebenarnya apabila kita menganjurkan program sayembara puisi, kita secara tidak langsung mengangkat apresiasi puisi dan nampaknya ia bukan setakat meningkatkan genre puisi malah kualiti deklamasi serta karya.
“Justeru sayembara puisi perlu diteruskan manakala sektor swasta sewajarnya memberi sokongan dengan memberi bantuan kewangan bagi menggerakkan usaha memasyarakatkan puisi,” katanya.
Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Talib Samat, sependapat dengan Md Ismail dan melihat sayembara puisi khususnya Sayembara Puisi Kebangsaan, sememangnya membuka peluang untuk masyarakat mendekatkan diri kepada sastera.
“Bagaimanapun sejak kebelakangan ini saya perhatikan sayembara terbabit kurang mendapat sambutan dan ini dapat dilihat melalui penampilan peserta yang sama saban tahun.
“Saya berharap deklamasi puisi tidak menjadi sekadar kegiatan mengisi masa lapang kerana ia boleh dimanfaatkan untuk mengangkat martabat sastera negara dan kerana itu peserta perlu membuat kajian mengenai tentang kaedah persembahan deklamasi.
“Sayembara puisi sewajarnya dijadikan sebagai medan untuk mengangkat genre puisi, mendekatkan masyarakat dengan sastera dan menyampaikan mesej baik kepada pemerintah mahupun masyarakat.
“Justeru minat mendalam terhadap puisi, penciptaan dan pendeklamasian perlu ditanam pada peringkat sekolah kerana pendekatan ini dapat membantu sayembara puisi menjadi mekanisme untuk menyampaikan mesej dalam pembentukan sahsiah diri.

Berita Harian, 27 November 2004

6 ulasan:

puzi hadi berkata...

Asm Sdr Nassury. Terima kasih masuk blog saya sejak 14 September lalu. Baru perasan. Selamat Hari Raya AF - Maaf Zahir Batin. Tolong dapatkan no. Telefon Bimbit sdr. Salam dari saya Puzi Hadi.

NASSURY IBRAHIM berkata...

Sdr Puzi, menatap nama Sdr saya terkenang manuskrip sajak saya yang Sdr nilai - terbit th 2008. Satu lagi manuskrip yg dihantar pd tahun 2003 juga, sudah beberapa tahun siap dinilai (bukan Sdr), masih belum terbit sampai hari ni. Pegawainya sudah bertukar dan saya sudah berpindah. Tak tahu apa nasibnya. No. tel dan emel saya ada pada muka blog ini.

zizie ali berkata...

gaya biar tersendiri. jangan semua mau jadi rendra, agi atau marzuki ali.

NASSURY IBRAHIM berkata...

Saya sokong padangan anda Zizie. Biarlah gaya kita tak diterima pada zaman ini, namun ia terus hidup pada zaman akan datang. mencari gaya memang sukar.

edolah berkata...

terharu kawe dlm wawancara dgn demo...kredit nama kawe ! Ttak dok apo kawe nak bagi...cuma ucapan terima kasih kerana dihargai !
Sesungguhnya sayembara puisi skg dah menjadi pelengkap kalendar tahunan tanpa ada sebarang kemajuan, malah lebih malang semakin ke belakang..

NASSURY IBRAHIM berkata...

Shukri, aku x perasan tahun ni ada tak sayembara baca puisi. aku ingat kita kena ubah program kepada Sayembara Baca Puisi 1Malaysia pula. Tentu ada sambutan.